Saturday, 29 September 2012

Bajet untuk rakyat, Dari Kerajaan yang dipilih rakyat, Dengan harapan akan dipilih semula oleh rakyat!


… ulasan Menteri Besar mengenai pembentangan Bajet Negara 2013 oleh Perdana Menteri.

Dan Pahang, turut menerima ‘buah tangan’ secara langsung dan khusus daripada Bajet Negara 2013 yang bernilai RM251,600 juta (RM251.6 billion) ini menerusi;

@ Pelancaran RapidKuantan bermula 1 Disember ini, ke arah menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas berkualiti bagi manfaat rakyat teramai di sini,

@ Pekan dan Rompin ialah antara empat kawasan di negara ini diiktiraf sebagai jelapang padi baharu ke arah melestarikan jaminan bekalan makanan pada masa depan,

@ Kuantan ialah antara lima (5) bandar utama di negara ini yang bakal menjadi lokasi bagi pembinaan 50,000 unit rumah melalui peruntukan RM500 juta oleh Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).   

UCAPAN BAJET NEGARA 2013... Dato' Sri Mohd Najib sedang menyampaikan ucapan bajet dua jam 13-minitnya. Akhirnya, semua golongan menerima manfaat daripadanya, sama ada secara langsung ataupun tidak. 


KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN“Bajet untuk rakyat, dari Kerajaan yang dipilih oleh rakyat, dengan harapan akan dipilih semula oleh rakyat”.

Inilah yang disimpulkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media selepas menyaksikan menerusi siaran langsung televisyen di sini, pembentangan Bajet Negara 2013 oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Razak di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur petang Jumaat, 28 September.

“Bajet ini adalah bajet yang dinanti-nantikan oleh rakyat,” katanya mengenai ucapan bajet selama dua (2) jam 13 minit itu, yang bermula pada 4.04 petang dan berakhir pada 6.17 petang.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, satu daripada fokus utama dalam ucapan bajet ini ialah ke arah mensejahterakan rakyat, sepertimana juga terangkum pada tajuk ucapan tersebut – ‘Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat : Sebuah Janji DiTepati’.

“Kita tengok sama-sama tadi, memang banyaklah perkara-perkara yang boleh mensejahterakan rakyat. BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) ada lagi, lepas itu disebarkan pula kepada golongan bujang.

SEMUA GOLONGAN DAPAT FAEDAH DARIPADA BAJET INI

“Selain daripada itu (ialah) bantuan pendidikan, kesihatan, pelepasan cukai pendapatan, dan juga ‘real property gains tax’ – kita dapat lihat tadi, dikurangkan mengikut kategori tertentu,” katanya.

“Yang penting ialah, seperti kata YAB Perdana Menteri tadi, Bank Negara telah dapat menentukan polisi ‘monetary’ yang baik, perkhidmatan awam telah melaksanakan sistem penyampaian yang baik, dan pihak ‘treasury’ telah menjalankan ‘fiscal policy’ yang baik; (maka) dapat diberikan bonus kepada semua orang.

“Secara keseluruhannya, semua golongan di Malaysia ini mendapat faedah dari bajet ini khususnya rakyat terbanyak. ‘For the common people I think, they get so much from this budget,” kata Menteri Besar itu lagi.

Beliau seterusnya menempelak puak-puak pembangkang yang akan menganggap bajet ini sebagai bajet pilihanraya, bagi menguatkan kedudukan parti pemerintah, Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Jika itulah matlamat Kerajaan katanya, tidak mungkin Perdana Menteri turut menyebut tentang penarikan balik subsidi sebanyak 20 sen terhadap barangan keperluan harian  gula. Sewajarnya subsidi tersebut ditambah, bagi meningkatkan lagi popularitinya.

BAJET INI BUKAN USAHA ‘POPULIST’

“Kalau kita kira bajet pilihanraya, tak perlu tarik balikpun tak apa. Tambah lagipun… Tapi, Perdana Menteri telah menggunakan kebijaksanaannya dengan memberikan rasional bahawa gula mendatangkan masalah kencing manis sebagainya, (maka) subsidi dikurangkan 20 sen.

“(Menarik balik subsidi 20 sen) bukanlah tindakan ‘populist’. Tidaklah seperti bajet Pakatan Rakyat – tol hapus, PTPTN. Kalau begitu, hapus segala bendalah. Pinjaman bank tak payah bayar… Kalau ikut Pakatan Rakyat punya bajetlah,” katanya menyindir puak-puak berkenaan yang sehari-dua sebelum ini, mengumumkan apa yang mereka kenali sebagai Bajet Pakatan Rakyat.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengulas pemberian bonus satu setengah (1 ½) bulan gaji kepada kakitangan Kerajaan. “Kita mungkin kata, kenapa tak bagi terus dua (2) bulan, Dua  bulan setengah (2 ½), tiga (3) bulan bonus?

“Perdana Menteri ada perkiraan, mengambil-kira kemampuan kewangan negara dengan keadaan yang ada – sebulan setengah. Maknanya, kita ni bekerja setahun, (tapi) dapat gaji 13 bulan setengah!”

Beliau juga berkata, “Saya tertarik dengan bahagian penutup (ucapan) YAB Perdana Menteri tadi, bagaimana beliau minta supaya rakyat mengadili Kerajaan dengan kritikal dan rasional. Memilih di mana omong-omong, di mana kenyataan, mana realiti.

‘RAKYAT AKAN BERSAMA-SAMA DENGAN KITA (KERAJAAN BN)’

“Dan saya percaya,” katanya, “Rakyat akan bersama-sama dengan kita (Kerajaan pimpinan BN), bersama-sama dengan Perdana Menteri”

Dato’ Sr DiRaja Adnan juga diminta mengulas mengenai beberapa perkara yang turut disentuh oleh Dato’ Sri Mohd Najib dalam ucapannya itu, yang mempunyai kaitan secara langsung dengan negeri ini.

Antaranya ialah mengenai mewujudkan jelapang padi baharu di daerah-daerah Pekan dan Rompin, pelancaran perkhidmatan bas RapidKuantan, serta, pembinaan unit-unit rumah mampu-milik di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Kuantan.

Mengenai jelapang padi baharu di Pekan dan Rompin katanya, Kerajaan Negeri telah membuat permintaan mengenainya sebelum ini lalu berterima kasih kerana permintaan itu ditunaikan pada bajet kali ini.

“Menjadikan Pekan dan Rompin sebagai jelapang padi maka petani atau penanam padi di kedua-dua tempat ini akan mendapat banyak insentif, dan ini akan menggerakkan mereka untuk lebih berusaha lagi.

RAPIDKUANTAN – KUANTAN KE GAMBANG

“Dan ini langkah, strategi yang baik sebab, dunia akan akan menghadapi kekurangan makanan. Dengan menambah lagi jelapang padi ini, insya-Allah, kita akan mendapat menyiapkan daripada segi ‘food security’,” katanya.

Perkhidmatan bas RapidKuantan pula yang akan berkuatkuasa 1 Disember ini katanya, akan dilaksanakan menurut tiga (3) fasa. Fasa pertama ini, laluan perkhidmatan telah dipanjangkan meliputi Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Gambang, ke bandar Kuantan daripada yang asal cuma antara bandar ini hingga ke Batu 11, Jalan Kuantan-Gambang.

“… yang menariknya ialah, insya-Allah, bas dalam keadaan yang sangat baik, selesa. Selain daripada itu, kekerapan laluannya – ada tempat 15 minit satu bas, ada tempat setengah jam satu bas. Mungkin ada 20 minit satu bas.

“Ini sedang dikaji tapi yang pastinya, lebih kerap,” katanya lagi.

Antara yang turut bersama-sama Dato’ Sri DiRaja Adnan mengikuti ucapan Bajet Negara 2013 oleh Perdana Menteri ialah Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Dato’ Lias Mohd Noor;

Pengarah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Dato’ Rosman Yahya; Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-PEN), Dato’ Mahadiah Mohamed; Pengarah, Jabatan Pelajaran Negeri Pahang (JPNP), Encik Yahya Zainal Abidin;

PAHANG-KU TV MULA OPERASI

Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Roslan Harun; Pengarah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Dato’ Zulkefli Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP), Dato’ Mohd Zahari Md Isa; Pengurus Besar, Tenaga Nasional Bhd (TNB) Pahang, Dato’ Sharuddin Mohd Simin; dan Pengurus Besar, Yayasan Pahang, Dato’ Saariah Saad.

Selain itu ialah lebih 20 wartawan tempatan sama ada media cetak mahupun elektronik, termasuk yang baharu memulakan operasi – sebuah organisasi berita internet, Pahang-ku TV. – Khabar


MATA KE MATA ;

*** “Bajet ini adalah bajet yang dinanti-nantikan oleh rakyat.”
 
*** “Secara keseluruhannya, semua golongan di Malaysia ini mendapat faedah dari bajet ini khususnya rakyat terbanyak. ‘For the common people I think, they get so much from this budget.”

*** “(Menarik balik subsidi 20 sen) bukanlah tindakan ‘populist’. Tidaklah seperti bajet Pakatan Rakyat – tol hapus, PTPTN. Kalau begitu, hapus segala bendalah. Pinjaman bank tak payah bayar… Kalau ikut Pakatan Rakyat punya bajetlah.”

*** “Saya tertarik dengan bahagian penutup (ucapan) YAB Perdana Menteri tadi, bagaimana beliau minta supaya rakyat mengadili Kerajaan dengan kritikal dan rasional. Memilih di mana omong-omong, di mana kenyataan, mana realiti.

“Dan saya percaya, rakyat akan bersama-sama dengan kita (Kerajaan pimpinan BN), bersama-sama dengan Perdana Menteri”