Tuesday, 19 February 2013

"Mesti yakin, inilah Kerajaan terbaik," kata semangat Menteri Besar

… pada program ‘Ramah Mesra Anggota KEMAS Bersama YAB Dato’ Sri DiRaja Menteri Besar Pahang’ dengan kehadiran 1,400 orang dari seluruh daerah  

RAMAH-TAMAHNYA MENTERI BESAR KITA... Pada hujung program, Menteri Besar telah beramah-mesra dengan hadirin dalam kalangan anggota KEMAS termasuk yang berkerusi roda ini. Sebelum itu, beliau turut menyertai mereka dalam majlis makan malam.


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob meniup-naikkan semangat perjuangan anggota-kerja Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri ini dengan turut meminta mereka menampakkan keyakinan tinggi terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada.

“Mesti yakin, inilah Kerajaan yang terbaik,” katanya pada program dikenali ‘Ramah Mesra Anggota KEMAS Bersama YAB Dato’ Sri DiRaja Menteri Besar Pahang’ dengan kehadiran 1,400 orang pada malam Selasa, 19 Februari di sini.

“Jangan kita lupa Kerajaan (BN yang ada),” katanya lagi dalam ucapan luar teks kira-kira sejam pada program yang turut dihadiri oleh Pengerusi, Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau seterusnya menyusur-galurkan tentang tugas dan peranan anggota-anggota KEMAS sejak penubuhannya lebih 50 tahun lepas pada 1961, semasa Allahyarham Tun Abdul Razak ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.

“Apakah tujuan kita?” tanya beliau sambil turut menjawab, “… untuk memajukan masyarakat, untuk mengemaskan masyarakat.

SEGAK, KEMAS MENYANYIKAN LAGU 'NEGARAKU' SENADA...


‘KITA TAK PERCAYA PARTI LAIN BOLEH MEMERINTAH SEBAGAIMANA KITA MEMERINTAH’

“Selain daripada itu, apakah tujuan kita? Bertindak sebagai mata dan telinga kepada Kerajaan. Menasihatkan Kerajaan dari masa ke semasa, untuk teruskan kuasa pemerintahan negara.

“Sebab, kita tak percaya parti lain boleh memerintah sebagaimana kita memerintah,” tegas Menteri Besar sambil mengungkap alasan kukuh Kerajaan disebalik pengenalan dan pelaksanaan pelbagai bantuan langsung kepada golongan yang memerlukan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menurutnya, Kerajaan berbelanja sehingga RM20,000 juta (RM20 billion) setahun bagi menampung pelbagai subsidi bagi memastikan harga barangan keperluan termasuk minyak petrol, berada pada harga yang relatif rendah lalu berdaya-mampu.

Sedangkan katanya, yang menikmati kemudahan tersebut (hasil daripada subsidi bernilai RM20,000 juta) bukan sahaja golongan bawahan yang memerlukan, tetapi turut meliptui golongan yang berada.    

Program-progran bantuan langsung seperti BR1M katanya, khusus menjurus kea rah golongan sasaran yakni golongan yang memerlukan (dengan pendapatan bulanan ketua isi rumah cuma RM3,000).

TAK MUNGKIN ZALIM…

“Apa sangat RM3 billion ini (berbanding RM20,000 juta yang dibelanjakan untuk subsidi ke atas pelbagai barangan keperluan)?” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, sebagai tanda sokongan penuh terhadap program BR1M tersebut.

Beliau seterusnya mempersoalkan usaha sesetengah pihak untuk menjatuhkan Kerajaan yang ada menerusi pendekatan ‘Arab Spring’ – pendekatan penentangan besar-besaran rakyat di beberapa negara Timur Tengah bagi menjatuhkan Kerajaan-kerajaan yang ternyata zalim di sana.

“Tak mungkin Kerajaan BN zalim sedangkan ia (Kerajaan BN yang ada, yang) perkenalkan pelbagai program membantu rakyat,” tegasnya lagi.

Yang turut hadir dan menyampaikan ucapannya sebelum Dato’ Sri DiRaja Adnan ialah Pengarah, KEMAS Negeri, Puan Halimahton Mansor. – Khabar