Sunday, 3 February 2013

Terapkan semula semangat gotong-royong, tolong-menolong dan setiakawan, saran Menteri Besar

… sempena pelancaran program belia bergotong-royong jagai alam sekitar ‘My Beautiful Malaysia’ peringkat negeri  

BERGOTONG-ROYONG KITA... Dato' Sri DiRaja Adnan ditemani Dato' Sri Ahmad Husni (terselindung) serta Dato' Maznah dan Dato' Dr Noorul Ainur; sedang bersama-sama mengecat tiang pondok wakaf di pantai Teluk Chempedak. 


TELUK CHEMPEDAK, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar program seperti ‘My Beautiful Malaysia’ diperbanyakkan bagi menerapkan kembali semangat gotong-royong khususnya dalam kalangan belia.

Ketika bercakap pada persidangan media selepas melancarkan program itu peringkat negeri pada pagi Ahad, 3 Februari di sini katanya, “Saya risau sikit kerana keadaan sekarang ini (masyarakat kita seolah-olah) telah mengenepikan nilai-nilai manusia sejagat.

“Oleh sebab itu, dengan ada program yang lebih banyak seperti program hari ini (‘My Beautiful Malaysia’), mungkin dapat terapkan semula gotong-royong, kemudian tu tolong-menlong, semangat setiakawan”.  

Menurutnya, program hari ini yang melibatkan kira-kira 6,000 orang khususnya belia, ialah lanjutan kepada pengumuman Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak tentang Tahun Kesukarelawan 2013 melibatkan peruntukan RM100 juta.

Pengumuman tersebut katanya lagi, telah dibuat oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, semasa membentangkan Bajet Negara 2013 pada persidangan Parlimen, akhir tahun lepas.

'I AM FOR YOU...I AM FOR YOU'... Menyanyikan lagu '1M4U' bersama-sama para belia-remaja kita dalam kalangan pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kita.   


TIADA GARIS PEMISAH; PEMIMPIN DAN BELIA KITA... Bersama-sama dengari ucapan Perdana Menteri secara 'live' dipancar pada skrin elektronik besar di pantai ini.  


BERSIHKAN KAWASAN, ERATKAN PERPADUAN

Sebenarnya kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, rakyat negara ini mempunyai semangat gotong-royong, tolong-menolong serta perasaan muhibbah yang sangat tinggi tetapi ‘agak ketinggalan’ sejak akhir-akhir ini.

Ia ekoran peredaran masa dan pula rakyat katanya, ‘berkejar-kejar mengejar’ kemewahan dan kesenangan sehingga seolah-olah mengabaikan nilai-nilai manusia sejagat yang positif, seperti semangat gotong-royong, tolong-menolong dan perasaan muhibbah itu.

“Dengan adanya program yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri ini saya percaya, bukan sahaja kita dapat sebagai contoh pada hari ini, membersihkan kawasan-kawasan tertentu;

“Tetapi juga pada ketika yang sama, boleh mengeratkan lagi semangat silaturrahim antara sesama Islam, semangat muhibbah antara orang Islam dan bukan Islam. Sementelah pula sekarang ini, berbagai-bagai isu yang ditimbulkan.

“Elok sangat program seperti ini diperbanyakkan lagi supaya semangat perpaduan, muhibbah antara kita rakyat Malaysia tak kira kaum, tak kira ugama; kalau boleh dieratkan seperti zaman kita dahulu sebelum ini, zaman pra-merdeka dan zaman post-merdeka”.

'BURGER, BURGER'... Oleh kerana petugas di restoran makanan segera di pantai ini tidak 'menang tangan' dengan kehadiran pelanggan yang ramai, Dato' Sri DiRaja Adnan yang berteduh seketika sementara menantikan hujan lebat reda di luar sana, telah tanpa kekok mengambil-alih tugas mengagih-agihkan 'burger' yang dipesan dan dibelanjanya, kepada para belia-remaja kita.   


BUKAN SETAKAT BELIA-REMAJA, ANAK KECILPUN SAYANG KEPADANYA... Foto ini dirakam semasa berehat di bawah khemah selepas bergotong-royong dan menanti siaran lintasan dari Taman Medan, Petaling Jaya bagi mengikuti ucapan pelancaran Perdana Menteri. 


PELANCARAN SERENTAK LIBATKAN 390 LOKASI SELURUH NEGARA

Pelancaran peringkat negeri di sini, ialah selari dengan pelancaran program ‘My Beautiful Malaysia’ peringkat kebangsaan serentak seluruh negara yang disempurnakan oleh Perdana Menteri di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor pagi yang sama.

Termasuk di Teluk Chempedak ini, 389 lokasi lain turut terpilih yang menyaksikan kira-kira 1.1 juta orang khususnya dalam kalangan belia, menyertainya.

Antara yang turut hadir pada majlis pelancaran di sini ialah Menteri Kewangan II, Dato’ Sri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah yang mewakili Kerajaan Persekutuan; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Maznah Mazlan; dan, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Dr Noorul Ainur Mohd Nur. 

MAKA BERSIH LAGILAH PANTAI POPULAR KITA... 
Khabar