Sunday, 24 February 2013

Peliharalah hak-hak pekerja dan majikan, demi perhubungan perusahaan yang baik - Menteri Besar


“… (dalam) kontrak kerja, majikan ada hak dia, pekerjapun ada hak dia. Apakah hak-hak itu? (Hak-hak untuk mendapat) pendapatan yang lebih baik, faedah yang lebih baik, tempat kerja yang lebih baik; untuk pekerja.

“Tapi, untuk mendapat ketiga-tiga ini, apa pula (hak-hak yang wajar) untuk majikan? Mestilah produktiviti yang tinggi (yang akan menjamin) keuntungan untuk syarikat. Kalau syarikat rugi, tutup (dan) kita (pekerja juga yang) hilang kerja.”

DATO' SRI DIRAJA ADNAN BERSAMA KEPIMPINAN MTUC & MTUC PAHANG...


KOMPLEKS DAGANGAN MAHKOTA, INDERA MAHKOTA, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar masing-masing pekerja dan majikan, sentiasa memelihara hak-hak mereka demi melangsungkan perhubungan perusahaan yang baik di negara dan negeri ini.

Saranan ini dibuat dalam ucapan 35-minit luar teksnya sempena mesyuarat penubuhan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Bahagian Pahang pagi Ahad, 24 Februari di sini.  

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, sepertimana pekerja mempunyai hak-hak mereka yang harus diberikan oleh majikan, begitulah juga majikan turut mempunyai hak-hak tertentu yang perlu diberikan oleh pekerja kepadanya.  

“… (dalam) kontrak kerja, majikan ada hak dia, pekerjapun ada hak dia. Apakah hak-hak itu? (Hak-hak untuk mendapat) pendapatan yang lebih baik, faedah yang lebih baik, tempat kerja yang lebih baik; untuk pekerja.

“Tapi, untuk mendapat ketiga-tiga ini, apa pula (hak-hak yang wajar) untuk majikan? Mestilah produktiviti yang tinggi (yang akan menjamin) keuntungan untuk syarikat. Kalau syarikat rugi, tutup (dan) kita (pekerja juga yang) hilang kerja,” katanya.

MENTERI BESAR YANG JUGA 'MESRA-PEKERJA'... Oleh kerana sikap bersahaja dan mesranya yang terserlah dalam ucapan 35-minitnya, menyebabkan para hadirin dalam kalangan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja, begitu suka dan riang dengannya.   


MASALAH TIMBUL BILA SYARIKAT UNTUNG, TAPI…

Masalah timbul apabila syarikat yang memperolehi keuntungan kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, tidak menunaikan ketiga-tiga hak kepada para pekerja lalu berlaku eksploitasi, yang dengan itu boleh dipertikaikan.

“Tapi, ramai juga pekerja-pekerja yang tuang – patut kerja lapan (8) jam (tapi) kerja enam (6) jam. Kemudian, lat-lat hari ambil M.C (Medical Certificate atau cuti sakit). Ini kita kena fikir.

“Oleh sebab itu, dalam (pada) kita aktif dalam kesatuan (dengan memperjuangkan hak-hak pekerja), kita kena juga berfikiran secara rasional.

“Kita pastikan pekerja-pekerja kita adalah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh majikan (dan) kita berikan yang terbaik. Majikan pula juga, mestilah menentukan bahawa (apabila) mereka dapat untung, mereka tidak mengeksploitasi bahkan mesti menjaga kebajikan pekerja-pekerja,” tegasnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara yang sama pada persidangan media kemudian kata Menteri Besar, perhubungan baik pekerja-majikan menjadi lebih perlu sementelah pelaburan semakin banyak bakal berlaku di negeri ini dengan terlancarnya Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) baru-baru ini.

'ORATOR' YANG TIDAK KURANG JUGA HEBATNYA... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan memberi reaksi positif kepada ucapan Encik Shahrizat. Antara lain yang disebut Encik Shahrizat ialah betapa beliau hingga hendak menitiskan air mata kerana menyaksikan Dato' Sri DiRaja Adnan hadir bersama-sama sungguhpun bilangan kecil khalayak yang hadir pada majlis itu menurutnya, tidaklah setimpal dengan kedudukan tinggi Menteri Besar. 

"Inilah pemimpin berjiwa rakyat sebenarnya," kata Encik Shahrizat mengenai Dato' Sri DiRaja Adnan yang serentak itu menerima tepukan para hadirin dalam kalangan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja di negeri ini.    


JANGAN BERLAKU EKSPLOITASI

Sehubungan itu katanya, MTUC perlu memberi perhatian yang lebih kepada perkembangan ini agar tidak berlaku gejala-gejala eksploitasi pekerja oleh syarikat-syarikat yang tidak bertanggung jawab.

“Tetapi pada ketika yang sama juga,” beliau mengingatkan, “MTUC mesti juga menekankan bahawa majikan-majikan bertanggungjawab (adalah) dialu-alukan. Jangan pula kita menyebabkan pelabur-pelabur lari”.

Dalam ucapannya 35-minitnya juga, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut meminta para pekerja agar dapat hidup dan berbelanja menurut kemampuan sendiri yang mana, “Kita kalau gaji kecil, buat cara gaji kecil”.

“Masalah kita ini, kita hidup di luar kemampuan, ini tak boleh. Kita kucing nak berak gajah, tak boleh,” katanya yang menderaikan ketawa hadirin. “Gajah boleh berak kucing bila gajah sembelit,” katanya menyebabkan hadirin ketawa lagi yang disusuli dengan tepukan.

“Dan saya ingin tegaskan, saya adalah sentiasa sahabat saudara-saudara. Kalau ada apa-apa beritahu…,” katanya lalu mendapat tepukan lagi. “Kalau ada maklumat-maklumat yang patut kita kongsi bersama, kita kongsi.

MEDIA TETAP DILAYANINYA... 


TAKKAN BIARKAN KALAU ADA PENINDASAN

“Saya bukan musuh saudara-saudara. Saya adalah sahabat dan insyaAllah, akan menjaga kepentingan pekerja-pekerja dan saya tidak akan membiarkan kalau ada penindasan berlaku. Sebarang penindasan kita lawan habis-habis,” tegasnya.

Beliau turut mengumumkan pemberian RM25,000 yang akan disalurkan ke dana MTUC Pahang bagi digunakan untuk urusan pentadbiran harian, manakala permintaan untuk geran tahunan sedang dipertimbangkan.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Presiden MTUC, Encik Mohd Jaafar Abdul Majid; Setiausaha Penaja, MTUC Pahang, Encik Shahrizat Abu Bakar; serta, Pengerusi Penaja, MTUC Pahang, Encik Rosaini Ramli. – Khabar      
             


Saturday, 23 February 2013

"Ini tempat kita hidup, ini tempat kita mati," kata Menteri Besar

mengingatkan pentingnya memelihara perpaduan antara pelbagai kaum dalam negara milik kita bersama.    

REKOD KEBANGSAAN... Sama-sama bergaya dengan sijil Malaysia Book of Records dengan penerima angpau paling ramai - 5,241 orang dalam satu majlis. 
  

TOKONG TOW MOO KEONG, JALAN HAJI JUNID, KUANTAN“Ini tempat kita hidup, ini tempat kita mati,” kata Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengingatkan pentingnya rakyat pelbagai kaum memelihara perpaduan dalam negara milik kita bersama.

Kata-kata ini dilafazkan pada penghujung ucapan luar teks 21-minitnya pada Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Warga emas petang Sabtu, 23 Februari di sini, yang benar-benar terkesan hingga kelihatan ada hadirin yang dalam kalangan wargatua, agak syahdu dengannya.

Menurutnya, segala usaha Kerajaan dalam membangunkan negara ini demi kesejahteraan rakyat, adalah terhasil ekoran adanya perpaduan antara kaum hingga membolehkan Kerajaan mampu merangka dan menjayakan pelbagai program yang memanfaatkan rakyat juga.

“Ini semua (segala dasar, program dan projek pembangunan) kita buat,” katanya, “… untuk tolong sama orangramai. Kasilah tahu anak, cucu. Sebab mereka tak dak tahu ini hal. Mereka besar tengok Malaysia sudah ini macam.

“Dia orang (anak-cucu atau generasi baharu) tak dak tahu macam mana kita kerja kuat mahu bikin ini negara ini macam (sekarang, dengan pelbagai pembangunan yang dimanfaati rakyat,” katanya .

SUMBANGAN DIBERI, TANDA KASIH & INGATAN KERAJAAN NEGERI...  


PASTIKAN SEMUA ADA TEMPAT DALAM MALAYSIA

“Itu sebab yang mustahak kita mesti tengok, mesti pastikan, anak-cucu, budak kecil-kecil punya, dalam perut semua kira; dia ada tempat (atau dapat hidup sejahtera) dalam Malaysia.

“Saya mana boleh balik Indonesia lagi. Ini Dato’ Hazmi mana boleh balik India lagi. Ini tuan-tuan, puan-puan semua, mana boleh balik China lagi, tak boleh. Ini tempat kita hidup, ini tempat kita mati,” tegasnya.

“Yang penting tuan-tuan dan puan-puan, kasi tahu sama anak-anak, kasi tahu sama cucu bagaimana kita sama-sama boleh duduk ini Malaysia. Kasi tahu sama anak-anak, cucu-cucu, ini negara kita punya. Kita mesti jaga ini negara. Kita boleh jaga kalau Melayu, Cina, India boleh hidup, boleh duduk baik-baik.

“Ini negeri, ini negara boleh aman kalau Melayu, Cina, India tak dak gaduh. Sudah berapa lama kita duduk ini negara Malaysia kita aman, sebab kita tak dak gaduh. Dulu ada sikit kacau. Jepun mari. Komunis kacau. Konfrantasi sama Indonesiapun kacau.

“Tapi semua ini kita boleh selesai, kita boleh atasi sebab Melayu, Cina, India bersatu-padu,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

BERSATU KITA (PELBAGAI KAUM) TEGUH... Wargatua dalam kalangan pelbagai kaum turut hadir pada majlis petang Sabtu ini. 


BANYAK, SIKIT TAK PENTING. YANG PENTING INGATAN

Mengenai majlis petang Sabtu ini katanya, beliau tidak teragak-agak untuk hadir serta memberi sokongan khususnya dalam bentuk penyampaian ‘angpau’ yang Kerajaan peruntukkan kepada 5,241 wargatua di daerah Kuantan ini.

Nilai ‘angpau’ ini ialah RM1,000 seorang kepada yang berusia 100 tahun ke atas; RM500 seorang kepada yang antara 90 dan 99 tahun; RM250 kepada yang antara 80 dan 89 tahun; serta, RM100 kepada yang berusia 79 tahun dan ke bawah.

“Dan, Kerajaan suka hati mahu kasi sikit angpau. Banyak, sikit angpau tak dak penting. Yang mustahak, itu tanda Kerajaan ingat sama orang lama, orang tua,” kata Menteri Besar lagi.

Beliau turut memberikan analogi yang menggambarkan betapa pentingnya keikhlasan dalam satu-satu usaha yang dilakukan, yang tentunya lebih baik daripada dilakukan tanpanya.

“Yang mustahak, ingat itu penting. Kalau laki kasi bini kereta besarpun tapi laki tak dak ingat sama bini tak dak guna.

SYAHDU DENGAN UNGKAPAN 'INI TEMPAT KITA HIDUP, INI TEMPAT KITA MATI'...


‘KITA MESTI MAHU MATI SIHAT’

“Kalau isteri di rumah masak murah punya barang tapi banyak sedap, dia ingat sama kita; itu lagi baik. Anggaplah ini ingatan dari Kerajaan. Orang Melayu ada cakap, kalau barang banyak, kita boleh dapat banyak. Kalau barang sikit, kita mesti makan sikit-sikit,” katanya.

Pada akhir ucapannya, Menteri Besar mengingatkan wargatua agar dapat terus menjagai kesihatan masing-masing  dan jika meninggal duniapun kelak, “kita mesti mahu mati sihat”.

“MB cakap, kalau matipun mesti mahu sihat. Tapi kita boleh fikir, orang sihat mana boleh mati! MB cakap, kita jaga kesihatan, kalau sampai punya masa kita pergi (meninggal dunia), kita pergi. Tapi sebelum kita pergi, kita jaga kita punya kesihatan,” katanya.

Antara yang turut hadir ialah tuanrumah – Pengerusi, Tokong Tow Moo Keong, Dato’ Ng Chong Kwang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; ahli Parlimen, Dato’ Abdul Manan Ismail (BN – Paya Bdesar); wakil rakyat-wakil rakyat Dato’ Chang Hong Seong (BN – Teruntum) dan Dato’ Phang Tsu Ming (BN – Semambu);  serta Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Nurhayad Ahmad.

Pada majlis yang sama juga, pihak penganjur dianugerahkan sijil Malaysia Book of Records atas kejayaan mengumpulkan jumlah penerima angpau yang paling ramai (5,241 orang) dalam satu majlis. – Khabar  
   

Wednesday, 20 February 2013

'Rakyat negeri Pahang ini mahukan kita (Barisan Nasional [BN]) menang 14 par 14', kata Menteri Besar

… merujuk kepada kerusi parlimen yang bakal dipertandingkan, sebagai menjawab soalan wartawan mengenai peluang BN di negeri ini pada pilihanraya umum yang bakal diadakan.

RM1.4 JUTA UNTUK 5,642 PELAJAR... Dato' Sri DiRaja Adnan menyerahkan secara simbolik, cek olok-olok bernilai RM1.4 juta kepada Puan Siti Jariah.   


DEWAN SRI MAKMUR, POLITEKNIK SULTAN AHMAD SHAH (POLISAS), KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob membayangkan kemungkinan Barisan Nasional (BN) Negeri yang turut dipengerusikannya, akan berjaya dengan cemerlang pada pilihanraya umum kali ini, berdasarkan sambutan rakyat yang diterima sehingga kini.

Menurutnya, rakyat khususnya para pengundi di negeri ini, adalah agak berbeza berbanding di negeri lain, dengan sokongan mereka terhadap BN adalah menggalakkan hingga meningkatkan keyakinannya tentang peluang kemenangan BN pada kali ini.

“Kalau dahulunya saya katakan bahawa Pahang akan menguasai, dengan sokongan rakyat – tolong tulis ya, jangan nampak saya takbur; dengan sokongan pengundi-pengundi, sokongan rakyat, dahulu saya katakan kita akan dapat 40 daripada 42 kerusi dewan (undangan) negeri dan 13 daripada 14 kerusi parlimen.

“Sejak akhir-akhir ini saya perhatikan, nampaknya, rakyat negeri Pahang ini mahukan kita menang 14 par 14 – bukan saya (kata) ya. I put it this way – It is not me that who says we will win, but the people want us to win. The people want us to win all the 14 seats.

“Maknanya, KPI (Indeks Prestasi Utama) yang ditentukan oleh YAB Presiden parti bahawa Barisan Nasional Pahang mesti menang 14 kerusi ini insyaAllah, akan dapat ditunaikan oleh rakyat sendiri. Rakyat yang akan menunaikan. Begitulah tahap (sokongan rakyat terhadap BN) yang ada setakat hari ini,” katanya.

SESI FOTO BERKUMPULAN BERSAMA-SAMA WAKIL-WAKIL PENERIMA... Selain Puan Siti Jariah, yang turut kelihatan dalam foto berkumpulan ini ialah Puan Jamaliah (kanan) dan Encik Amiruddin (barisan kedua, kiri sekali). 


‘AHLI, PEMIMPIN PARTI JANGAN BERPECAH-BELAH’

Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata demikian pada persidangan media Majlis Penyerahan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada 5,642 pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS) pada petang Rabu, 20 Februari di sini.

Antara lain, beliau yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri, telah ditanya mengenai peluang BN Negeri dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang bakal diadakan tidak beberapa lama lagi.

“Yang penting sekarang ini,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, “… sebagaimana biasalah, ahli parti sendiri, pemimpin-pemimpin parti, janganlah pecah-belah. Janganlah ada tidak puas hati, merajuk”.

 “Keseluruhannya, jentera Barisan Nasional Negeri Pahang bersedia dan insyaAllah, rakyat akan memberi sokongan kepada kita. Itu saya yakin. Saya bercakap selaku Pengerusi Barisan Nasional Negeri,” katanya lagi .

Mengenai kekuatan BN Negeri katanya, ia terletak pada keprihatinan terutamanya wakil rakyat-wakil rakyat BN yang selama ini telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik khususnya dalam menjagai hal-hal kebajikan rakyat.

ANAK-ANAK PELAJAR POLISAS YANG BERKESEMPATAN HADIR... Lihatlah tekunnya mereka mendengar ucapan luar teks Menteri Besar, yang turut menyentuh tentang nilai-nilai murni yang turut harus dipegang oleh masyarakat termasuklah para pelajar kita. Tentunya tekun mendengar ucapan pemimpin ialah satu daripada nilai murni tersebut.  


KEUTAMAAN KEPADA KEBAJIKAN RAKYAT YANG TIDAK BOLEH DINAFIKAN

“Apa yang rakyat mahukan ialah di peringkat ini, kerja-kerja ataupun perhatian kita kepada kebajikan rakyat, itu penting. (Soal-soal melibatkan) pendidikan, orang kurang upaya, orang tua, orang miskin. Yang ini kita beri keutamaan, tiada siapa dapat nafikan,” tegasnya.

Beliau seterusnya memberikan contoh bagaimana agensi Kerajaan Negeri seperti Yayasan Pahang (YP), yang telah membelanjakan kira-kira RM750 juta bagi membiayai pendidikan pelajar-pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan sekolah-sekolah sejak penubuhannya pada tahun 1983 hinggalah sekarang.

Mengenai calon-calon yang akan dikemukakan oleh BN Negeri katanya, kesesuaian calon yang dipilih tentu akan memainkan peranan dalam memastikan rakyat khususnya pengundi, member kemenangan kepada mereka.

“Seperti kata YAB Presiden parti, calon tu mesti ‘winnable’. Tapi masalah kita ni, semua kita ingat kita ‘winnable’,  orang lain tak ‘winnable’, ha ini problem. Ini bukan (masalah dihadapi oleh) parti Barisan Nasional sahaja. PKRke, DAP… (sama sahaja). Tengok dalam Pakatan Rakyatpun, PKR dengan DAP dah bergaduh di Johor dah… Ini contohlah.

“So, everybody think that he or she is winnable when the actual position is, its not such. Its not that way. So, terpulanglah. Kita akan letakkan calon yang kita anggap paling ‘winnable’, boleh menang. Itu mesti, wajib,” tegasnya.

MENGHADAPI DAN MELAYANI MEDIA...


THE OPPOSITION’S PSY-WAR

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya oleh wartawan akhbar berBahasa Inggeris milik Parti Cina Malaysia (MCA) mengenai kenyataan kumpulan pertubuhan bukan Kerajaan yang menamakan diri Himpunan Hijau, mahu menaikkan ‘base camp’ di Bentong bagi meraih undi rakyat memenangkan calon pembangkang yang mungkin dilihat sebagai satu ancaman terhadap peluang kemenangan BN di situ.

“No, this is not a threat. In war, there will always be the psy-war side of it. We have the psy-war, psy-ops; we have the propaganda machine(ry). So, when they say they want to put (up) the base camp there to win votes for the opposition, that means that they don’t have the confidence.

“They know that they are not going to win. But then, in order to show that they are strong, so as not to lose the confidence of the voters; so they try to show strength by talking big and by setting up base camp,” katanya.

Pada persidangan media 18-minitnya itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut mengulas kembali apa yang telah disampaikannya pada ucapan luar teks 32-minit sebelum itu dengan antara lain menekankan tentang sistem nilai dalam masyarakat.

“Saya telah memberikan sikit sebanyak nasihat mengenai sistem nilai; jika boleh dihidup dan dipegang kembali nilai-nilai murni yang kita pegang dari zaman dahulu, yang sesuai dengan ugama, bukan sahaja ugama Islam bahkan ugama lain juga memegang nilai-nilai yang sama.

YANG LEBIH PENTING, PELAKSANAAN TANGGUNGJAWAB ITU

“Contohnya, menghormati guru-guru, mengasihi ibubapa dan menyayangi rakan-rakan, menghormati orang tua, mengasihi orang muda.

“Selain daripada itu, saya juga menerangkan serba sikit makna tanggungjawab. Semua orang menjalankan tanggungjawab ataupun memang kerja mereka menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Tapi (yang lebih) penting daripada itu ialah sejauh mana tanggungjawab yang kita letakkan pada sesorang itu, telah dapat dilaksanakan dengan baik. Ini termasuk pihak institusi pengajian seperti POLISAS, termasuk juga ibubapa dan termasuk juga Kerajaan,” katanya.

“Kemdian itu, saya bangkitkan juga tentang pentingnya mengenang jasa, mengenang budi termasuklah budi, jasa ibubapa, guru-guru dan sikit-sebanyak, termasuk juga Kerajaan,” katanya lagi.

Mengenai nilai baucar RM250 itu katanya, ia memanglah tidak besar namun ia lebih bermakna berbanding sekiranya Kerajaan tidak memperkenal dan melaksanakannya yang menyebabkan pelajar tidak menerimanya langsung.

RM250 TAK BESAR TAPI LEBIH BESAR BERBANDING TIADA LANGSUNG

“Memang RM250 tidak besar tetapi tidak ada langsung daripada (memiliki baucar bernilai) RM250 itu atau tidak satu senpun, maknanya, dengan dibandingkan dengan RM250, RM250 (itu) menjadi besar,” katanya.

Antara yang turut hadir ialah tuanrumah – Pengarah POLISAS, Puan Siti Jariah Ibrahim; Timbalan Pengarah Akademiknya, Puan Jamaliah Ahmad; serta, Timbalan Pengarah Sokongan Akademiknya, Encik Amiruddin Mahmud. – Khabar  

Tuesday, 19 February 2013

"Mesti yakin, inilah Kerajaan terbaik," kata semangat Menteri Besar

… pada program ‘Ramah Mesra Anggota KEMAS Bersama YAB Dato’ Sri DiRaja Menteri Besar Pahang’ dengan kehadiran 1,400 orang dari seluruh daerah  

RAMAH-TAMAHNYA MENTERI BESAR KITA... Pada hujung program, Menteri Besar telah beramah-mesra dengan hadirin dalam kalangan anggota KEMAS termasuk yang berkerusi roda ini. Sebelum itu, beliau turut menyertai mereka dalam majlis makan malam.


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob meniup-naikkan semangat perjuangan anggota-kerja Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri ini dengan turut meminta mereka menampakkan keyakinan tinggi terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada.

“Mesti yakin, inilah Kerajaan yang terbaik,” katanya pada program dikenali ‘Ramah Mesra Anggota KEMAS Bersama YAB Dato’ Sri DiRaja Menteri Besar Pahang’ dengan kehadiran 1,400 orang pada malam Selasa, 19 Februari di sini.

“Jangan kita lupa Kerajaan (BN yang ada),” katanya lagi dalam ucapan luar teks kira-kira sejam pada program yang turut dihadiri oleh Pengerusi, Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau seterusnya menyusur-galurkan tentang tugas dan peranan anggota-anggota KEMAS sejak penubuhannya lebih 50 tahun lepas pada 1961, semasa Allahyarham Tun Abdul Razak ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.

“Apakah tujuan kita?” tanya beliau sambil turut menjawab, “… untuk memajukan masyarakat, untuk mengemaskan masyarakat.

SEGAK, KEMAS MENYANYIKAN LAGU 'NEGARAKU' SENADA...


‘KITA TAK PERCAYA PARTI LAIN BOLEH MEMERINTAH SEBAGAIMANA KITA MEMERINTAH’

“Selain daripada itu, apakah tujuan kita? Bertindak sebagai mata dan telinga kepada Kerajaan. Menasihatkan Kerajaan dari masa ke semasa, untuk teruskan kuasa pemerintahan negara.

“Sebab, kita tak percaya parti lain boleh memerintah sebagaimana kita memerintah,” tegas Menteri Besar sambil mengungkap alasan kukuh Kerajaan disebalik pengenalan dan pelaksanaan pelbagai bantuan langsung kepada golongan yang memerlukan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Menurutnya, Kerajaan berbelanja sehingga RM20,000 juta (RM20 billion) setahun bagi menampung pelbagai subsidi bagi memastikan harga barangan keperluan termasuk minyak petrol, berada pada harga yang relatif rendah lalu berdaya-mampu.

Sedangkan katanya, yang menikmati kemudahan tersebut (hasil daripada subsidi bernilai RM20,000 juta) bukan sahaja golongan bawahan yang memerlukan, tetapi turut meliptui golongan yang berada.    

Program-progran bantuan langsung seperti BR1M katanya, khusus menjurus kea rah golongan sasaran yakni golongan yang memerlukan (dengan pendapatan bulanan ketua isi rumah cuma RM3,000).

TAK MUNGKIN ZALIM…

“Apa sangat RM3 billion ini (berbanding RM20,000 juta yang dibelanjakan untuk subsidi ke atas pelbagai barangan keperluan)?” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, sebagai tanda sokongan penuh terhadap program BR1M tersebut.

Beliau seterusnya mempersoalkan usaha sesetengah pihak untuk menjatuhkan Kerajaan yang ada menerusi pendekatan ‘Arab Spring’ – pendekatan penentangan besar-besaran rakyat di beberapa negara Timur Tengah bagi menjatuhkan Kerajaan-kerajaan yang ternyata zalim di sana.

“Tak mungkin Kerajaan BN zalim sedangkan ia (Kerajaan BN yang ada, yang) perkenalkan pelbagai program membantu rakyat,” tegasnya lagi.

Yang turut hadir dan menyampaikan ucapannya sebelum Dato’ Sri DiRaja Adnan ialah Pengarah, KEMAS Negeri, Puan Halimahton Mansor. – Khabar  





   

Tuesday, 12 February 2013

Balairaya baharu untuk perkampungan Orang Asli Kedaik Asal, Rompin

… selain Pegawai Daerah Rompin diarah buat anggaran kos bagi pembinaan jambatan baharu merentangi Sungai Gayung, yang jika di bawah RM1 juta, akan guna peruntukan Menteri Besar.

SERAH BANTUAN BANJIR... Dato' Sri DiRaja Adnan yang diiringi Dato' Maznah, sedang menyampaikan bantuan banjir kepada mereka yang berkenaan.  


BALAIRAYA, KAMPUNG KEDAIK ASAL, ROMPIN – Dua (2) permintaan besar oleh penduduk perkampungan Orang Asli berpenghuni kira-kira 400 orang ini ditunai dan dipertimbangkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada lawatan luar jadualnya ke sini petang Selasa, 12 Februari.

Permintaan pertama ialah mengenai pembinaan balairaya baharu menggantikan balairaya sedia ada binaan papan dan berbumbing ‘zink’ ini yang agak usang, yang dibina sejak kira-kira 49 tahun lepas, pada tahun 1964.

Permintaan kedua ialah jambatan baharu menggantikan yang ada – yang sering dibanjiri pada musim tengkujuh dan tidak boleh dilalui untuk menyeberangi Sungai Gayung ke kampung ini dari jalan utama Bandar Muadzam Shah – Leban Chondong semasa lawatan luar jadual Menteri Besar.

“Segera, serta-merta Dato’ D.O, buat balairaya Kampung Kedaik Asal ini, buat baharu,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapan 30-minitnya pada perjumpaan sempena lawatan luar jadualnya itu, yang menerima tepukan hadirin dalam kalangan Orang Asli yang hadir.

“Kita buat (bina balairaya baharu tersebut) pakai kipas, tak payah ‘air-cond’, pakai kipas. Kita buat dinding tapi nak jaga elok-elok – nak bersewangpun boleh, nak menaripun boleh.

SMBUTAN MESRA ANAK-ANAK ORANG ASLI... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersalaman dengan anak-anak Orang Asli yang menyambut ketibaannya di perkarangan balairaya pada petang Selasa itu. 

Yang turut kelihatan dalam foto ini mengiringi Dato' Sri DiRaja Adnan ialah Encik Adnan (kanan, berbaju putih) yang dalam ucapannya telah turut menyentuh soal merajuk yang kemudian dijawab-balas secara bijaksana oleh Menteri Besar sendiri.    


‘ORANG MERAJUK SELALU RUGI’

“Buatlah malam-malam, mungkin tempat berbincang, tempat bermesyuarat, anak-anak mungkin boleh belajar. Kita atur elok-elok,” katanya pada lawatan yang turut disertai Pegawai Daerah, Dato’ Ahmad Fuad Syed Taha.

Yang turut mengiringi lawatan ini sambil menyampaikan bantuan banjir kepada mereka  berkenaan ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Maznah Mazlan yang juga wakil rakyat kawasan ini (BN – Muadzam Shah); dan Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Sahfri Ab.Aziz, yang juga wakil rakyat (BN – Ibam).

“(Permintaan untuk) jambatan tu, ha ini bukan janji. Kita tengok dulu. Saya dah khabar Dato’ D.O, buat ‘estimate’ berapa? Kalau RM1 juta ke bawah, ‘confirm’ kita buat selepas pilihanraya,” katanya dan menambah, akan meminta peruntukan dari Kerajaan Persekutuan jika melebihinya (RM1 juta).

Menurutnya, tidak perlulah untuk ‘merajuk-merajuk’ ataupun ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’ hanya kerana permintaan yang dibuat sebelum ini tidak ditunaikan oleh pihak-pihak berkenaan.    

“Biarlah merajuk bersebab. Seluang laut ke tengah lautpun pergi akhirnya balik ke tepi (pantai) juga. Sebab nenek saya khabar, orang merajuk selalu rugi,” katanya yang merujuk kepada ucapan Ketua UMNO cawangan kampung ini sebelum itu, Encik Adnan Bogi yang turut membangkitkan soal merajuk.  

BARISAN NASIONAL (BN) TETAP TERPAHAT DI HATI... Selain bendera BN yang dipasang di muka pintu/anak tangga ke balairaya ini, turut dipasang ialah bendera UMNO pada laluan masuk ke balairaya ini. Jelas buktikan, waima apapun - merajuk atau tidak, BN dan UMNO tetap di hati.  


YANG DAHULU, DIDAHULUKAN

Mengambil kesempatan itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh mengenai peranan sesebuah Kerajaan termasuklah ahli parlimen dan wakil rakyat, serta jabatan-jabatan Kerajaan yang menjadi jentera pelaksana kepada projek-projek yang Kerajaan luluskan.

“Dalam pada itu pula, masyarakat macam kita ni (masyarakat Orang Asli), kita mintalah. Balairaya dah lama, (kita) minta. Jambatan setiap kali (dinaiki air lalu) banjir, kita minta. Lepas itu, jalan rosak, kita minta.

“Ha… itu tugas kita (masyarakat) untuk meminta. (Peranan) wakil rakyat, tugas Kerajaan, pegawai-pegawai Kerajaan (ialah) mengirakannya, menyelaraskannya. Mana patut dulu, mana patut kemudian.

“Kerajaan pula, bukan bila sebut Kerajaan, duit dia banyak sangat... Duit sampai tak berhabis, tidak… Kena pula atur dulu – mana patut dapat dulu, mana patut dapat kemudian. Ha ini yang kita ada rancangan setiap lima tahun tu.

“Tak bolehlah minta, kita bagi semua,” katanya lalu memberikan analogi seorang ayah yang tidak mungkin dapat tunaikan permintaan oleh kesemua anaknya sekaligus, melainkan secara yang sewajarnya.

BALAIRAYA YANG AKAN DIPERBESAR DAN DIPERBAHARUKAN... Setelah 49 tahun berjasa, maka sampailah masanya masyarakat Orang Asli Kedaik Asal memiliki balairaya baharu yang lebih selesa kemudahannya. 


PELUANG BAIK UNTUK JUMPA ORANG ASLI KEDAIK ASAL

“Kita dengan anakpun tak boleh minta, bagi semua. Anak ini minta kasut, anak ini nak stokin. Anak ini nak seluar. Duit tak cukup. Jadi kita tengok; kasut anak boleh lagi, tak payah ganti. Awak (pula, anak yang lain yang kasutnya) koyak, boleh ganti,” katanya.

Pada awal ucapannya, beliau telah memberi latar belakang kepada lawatan luar jadualnya ke sini – perjalanan 144 km dari Kuantan melalui Bandar Muadzam Shah termasuk secara ‘off-road’ kira-kira setengah jam merentasi jalan ladang milik Far East Holdings Bhd – syarikat yang diapungkan di Bursa Malaysia majoriti sahamnya milik Kerajaan Negeri.

Pada bulan puasa yang lepas (Julai/Ogos 2012) katanya, beliau dijemput oleh Adnan untuk melakukan lawatan ke kampung ini dan beliau ketika itu bersetuju jika mempunyai masa yang terluang.   

Hanya petang semalam katanya, beliau telah maklumkan semula kepada Adnan mengenai keputusannya untuk datang dengan membawa bantuan makanan untuk mangsa banjir yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri.  

“Saya berasa sukacita kerana ini peluang yang baik untuk saya berjumpa dengan Orang Asli, terutama di Kedaik. (Sebelum inipun) saya berjumpa juga dengan Orang Asli dari Cameron dan juga Orang Asli dari Temerloh;

BARANGAN BANTUAN UNTUK DIAGIH-AGIHKAN...


MASALAH ORANG ASLI DI MANAPUN, HAMPIR SAMA

“Banyak masalah yang telah dikeluarkan (disuarakan) dan hampir sama (sahaja masalah tersebut) – (yang berkaitan dengan) soal tanah, soal balairaya, soal jambatan,” katanya.

Kata-kata beliau seterusnya dilihat begitu menyentuh perasaan Orang Asli yang hadir apabila dengan bersahaja menyebut; “Datang saya ini janganlah anggap Menteri Besar datang. Anggap saudara Tuan-tuan dan Puan-puan datang.

“Maknanya, macam Orang Asli juga datang. Saya tengok muka-hidung sayapun macam muka-hidung Tuan-tuan dan Puan-puan juga. Kalau tengok kulit saya, kulit Tuan-tuan dan Puan-puanpun lagi cerah daripada saya.

“Jadi, anggap kita ini macam saudara. Sebab, apapun keturunan kita, apapun ugama kita; susah Orang Asli, susah orang lain. Bukan bermakna (jika) Orang Asli susah, orang Melayu dia sedap sahaja, tidak… serupa sahaja (susah tersebut).  

“Kita ini manusia yang Allah Taala jadikan sama – ada tulang empat kerat, ada mulut, ada mata, telinga. Boleh bercakap, boleh mengenengahkan masalah. Tapi nasiblah kadang-kadang, awak senang sikit, kawan payah sangat. Awak susah, kawan senang sikit. Itu biasa,” katanya lagi.

MB PANDU SENDIRI TINJAU MASALAH

Dalam pada itu, Dato’ Sri DiRaja menegur sikap ibubapa yang membiarkan anak-anak mereka berhenti daripada meneruskan pengajian di sekolah lalu meminta mereka menghantar semula anak-anak tersebut ke sekolah yang dengan pelajaran, dapat menjamin masa depan yang lebih baik untuk mereka juga.

Sempena lawatan luar jadual itu juga, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah memandu sendiri kendaraan pacuan empat-roda meninjau sekitar laluan ke jambatan yang dibanjiri dan tenggelam tersebut, serta sebuah lombong berdekatan yang kerja-kerja pengorekannya telah menghakis tebing lalu mengancam kawasan pertempatan Orang Asli di kampung ini. – Khabar      


Kemakmuran yang dikecapi sekarang 'tidak datang bergolek', melainkan atas usaha pemimpin-pemimpin Kerajaan kita, kata Menteri Besar


… pada sambutan Tahun Baharu Cina anjuran bersama wakil rakyat-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Dato’ Phang dan Dato’ Chang yang dihadiri ribuan orang pelbagai kaum

MESRANYA MENTERI BESAR... Diapit kanan dan kiri oleh Dato' Phang dan Dato' Chang, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menyampaikan 'angpau' kepada kanak-kanak yang turut hadir pada sambutan Tahun Baharu Cina yang penuh meriah itu. 
  

RESTORAN MAKANAN LAUT SEKILAU, JALAN HJ AHMAD, KUANTAN – Kemakmuran negara yang dikecapi sekarang bukanlah sesuatu yang datang bergolek, sebaliknya terhasil atas daya-usaha para pemimpin negara sejak dahulu hingga sekarang.

Inilah yang diperkatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran wakil rakyat-wakil rakyat Dato’ Phang Tsu Ming (BN – Semambu) dan Dato’ Chang Hong Seong (BN – Teruntum) pada pagi Selasa, 12 Februari di sini.

Mengulanginya ketika ditemui wartawan kemudian, “Tadi saya telahpun mengingatkan semua pihak tentang pentingnya perpaduan kaum. Kita di Malaysia ini, tak rasa apa-apa sebab benda ini (kemakmuran negara) seolah-olahnya datang menggolek.

“Sebenarnya, ia (kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat) adalah diusahakan oleh pemimpin-pemimpin zaman dahulu (hingga sekarang) supaya semua kaum tidak merasakan mereka terancam oleh kaum yang lain.  

“Dan, kalau adapun sikit-sebanyak (ke)tidak sefahaman ataupun perkara yang perlu dibincangkan, kita (para pemimpin Kerajaan yang ada pimpinan BN) bincang dalam bilik mesyuarat”.  

AGIHAN BUAH LIMAU MANDARIN... Apakah agaknya yang diperkatakan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan hingga yang hadir turut tersenyum dengannya.  


PERPADUAN KAUM JAMINAN MASA DEPAN CERAH

Beliau seterusnya berkata betapa negara ini mempunyai masa depan yang bertambah cerah untuk meningkatkan lagi kemakmurannya ekoran sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat termasuk kaum Cina terhadap Kerajaan yang ada.      

Sokongan itu menurutnya, bukan sahaja tergambar menerusi kehadiran rakyat khususnya kaum Cina yang ramai ke Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina pada hari ini tetapi juga pada sambutan di Pulau Pinang pagi semalam, Isnin, 11 Februari yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.

“Saya percaya dengan sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat seperti pada hari ini, (dan) semalam, kita lihat di Pulau Pinang; saya yakin Malaysia mempunyai masa depan (yang bertambah cerah).

“Malaysia hanya mempunyai masa depan (yang bertambah cerah) kalau perpaduan kaum terjamin. Dan ini saya yakin terjamin. Insya-Allah. Adalah tempat untuk anak-cucu kita nanti, untuk tinggal dengan aman-damai berbilang kaum,” katanya.
   
Beliau turut memuji langkah penganjur majlis, yang telah menyediakan makanan halal yan g boleh dinikmati oleh semua yang hadir dalam kalangan pelbagai kaum dan latar belakang.

TEMUI MEDIA... Lihat sahaja kesesakan di pintu utama untuk memasuki ke restoran ini, yang jelas membuktikan sokongan rakyat khususnya kaum Cina kepada Kerajaan yang ada, terus meningkat dari masa ke semasa. 


BERGEGAS PULA KE KAMPUNG ORANG ASLI KEDAIK ASAL

“… ada sate, ada nasi dagang, selain daripada kita mula-mula sampai tadi, menggaul ‘yee sang’,” katanya lagi sebelum bergegas pula untuk ke Kampung Kedaik Asal, Rompin – kira-kira 144 km dari sini, bagi menyampaikan bantuan ihsan banjir kepada penduduk di sana. – Khabar  

Friday, 8 February 2013

'Selamat Tahun Baharu Cina 2013'


… kekalkan perpaduan dan terus beri sokongan kepada Perdana Menteri untuk memakmurkan lagi negara demi kesejahteraan rakyat berbilang kaum juga, kata Menteri Besar

GONG XI, GONG XI... Dengan kedua-dua tangan digenggam ke dada, Dato' Sri DiRaja Adnan mengucapkan 'Selamat Tahun Baharu Cina' kepada semua khususnya rakyat negeri dalam kalangan kaum Cina kita. 


NOTA EDITOR;

Berikut disiarkan Perutusan Tahun Baharu Cina 2013 Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang ditujukan kepada seluruh rakyat kaum Cina terutamanya di negeri ini. Semoga kita dapat turut sama-sama memanfatinya.    


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Saya ucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat kaum Cina khususnya di negeri Pahang, yang akan menyambutnya pada Ahad, 10 Februari ini.

Tahun 2013 ini sepertimana menurut kalendar Cina, ialah tahun ular atau secara khusus, ular air; yang bermula 10 Februari ini dan berakhir pada 30 Januari 2014.

Sempena sambutan Tahun Baharu ini, sukacitalah saya menyarankan agar kita sama-sama dapat terus mengekalkan perpaduan sesama kaum dan juga antara kaum, dalam negara kita yang majmuk ini.

Kepimpinan negara kita sendiri yang diketuai oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, telah bukan sahaja sering menyarankan tentang hal ini, malah membuktikannya.

Lihat sahaja kepada dasar-dasar dan tindakan-tindakan jangka sederhana dan panjang yang Kerajaan perkenalkan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA); yang sasarannya ialah untuk memakmurkan negara demi perpaduan dan kesejahteraan hidup rakyat tanpa mengira kaum di negara ini.

IKLAN AKHBAR... Inilah iklan 'Selamat Tahun Baharu Cina' memaparkan Dato' Sri DiRaja Adnan yang disiarkan dalam akhbar China Press keluaran Sabtu, 9 Februari atau sehari sebelum hari perayaan pada Ahad, 10 Februari. 

Iklan ini disiarkan sehari awal memandangkan akhbar-akhbar Cina seperti China Press milik Media Chinese International Ltd kepunyaan Tan Sri Tiong Hiew King - yang juga Pengerusi Eksekutif, Kumpulan Rimbunan Hijau; tidak ber'siaran' pada Ahad, 10 Februari dan Isnin, 11 Februari berikutan 'press-holiday' yang diambil oleh staf dan wartawannya pada kedua-dua hari Sabtu, 9 Februari dan Ahad sendiri, 10 Februari.    


TINDAKAN JANGKA PENDEK BAGI RINGANKAN BEBAN RAKYAT

Tindakan-tindakan jangka pendek seperti pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 1.0 dan 2.0, begitu juga yang lain seperti Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M) dan wang ihsan RM500 kepada mangsa-mangsa banjir; semuanya untuk dimanfaati oleh rakyat berbilang kaum lalu dapat mensejahterakan dan menyatu-padukan lagi perhubungan mereka.

Perdana Menteri juga sudah terkenal dengan program tinjauan mesranya (walkabout) dan tinjauan ini meliputi ke semua kawasan tumpuan kaum di negara ini, termasuklah sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Oleh itu, marilah kita sama-sama memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri khususnya kepada usaha-usahanya untuk terus memakmurkan lagi negara dan negeri ini, agar kita dapat terus hidup dalam keamanan dan kesejahteraan dalam sebuah masyarakat yang kukuh bersatu-padu.

Sekali lagi saya ucapkan, Selamat Tahun Baharu Cina 2013 kepada semua. – Khabar      

Thursday, 7 February 2013

Yang terlibat banjir tapi tak pindahpun dapat bantuan ihsan RM500


… hal dibangkitkan pada pertemuan tertutup dengan Perdana Menteri pada Selasa; beliau prihatin maka setuju, lalu arahkan bantuan ihsan turut diberi dan selang sehari, pada Khamis, ia disampaikan!  

BANTUAN IHSAN YANG DISEGERAKAN, ATAS KEPRIHATINAN KERAJAAN MENJELANG TAHUN BAHARU CINA... 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN – Asalnya, cuma mereka yang terlibat banjir pada akhir tahun lepas dan berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan sahaja yang diberi sumbangan bantuan ihsan RM500.

Ekoran itu, sungutan diterima daripada mangsa-mangsa banjir yang tidak berpindah, tentang mereka yang dikecualikan dan ini dibangkitkan pada pertemuan tertutup Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak dengan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) Negeri pada petang Selasa, 5 Februari.

Oleh kerana keprihatinannya, Dato’ Sri Mohd Najib bersetuju agar mangsa-mangsa banjir yang tidak berpindahpun wajar menerima bantuan ihsan lalu mengarahkan pembayaran segera dilakukan.

Hanya selang sehari, pada Khamis, 7 Februari, peruntukan RM3 juta dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) bukan sahaja disalurkan malah majlis bagi menyampaikannya di adakan pada sesi pagi dan petang Khamis di sini.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sendiri hadir bagi menyampaikan bantuan ini, dibantu oleh wakil-wakil rakyat terlibat dan diiringi oleh ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang berkenaan.

TEKUN DAN SUKANYA DENGARI KELETAH/UCAPAN MENTERI BESAR... Ini merupakan sebahagian daripada mereka yang hadir pagi Khamis itu. 

Kelihatan mereka sama ada tekun mahupun gembira dengan keletah/ucapan luar teks 34-minit Dato' Sri DiRaja Adnan yang menurutnya, agak panjang ekoran terjemahan yang lebih panjang oleh gadis penterjemah ke atas ucapan bersahaja dalam Bahasa Malaysianya. 


YANG TERTINGGAL, BOLEH LAGI RAYU

Pada persidangan media kemudian, beliau berkata, yang terlibat dengan majlis penyamapaian pada hari ini sahaja ialah kira-kira 3,000 ketua keluarga dan dijangka lagi 3,000 ketua keluarga akan menerimanya kemudian.

“Kalau ada lagi mangsa-mangsa banjir yang ketinggalan, mereka boleh merayu, berjumpa dengan pihak Majlis Kesalamatan Negara di negeri Pahang ataupun Pejabat Daerah Kuantan.

“Kita akan insyaAllah, timbangkan,” katanya dan menambah, “Janganlah datang, tengok nama tak ada (pada senarai penerima bantuan ihsan), balik. Tak usahlah marah-marah. Insya-Allah, Kerajaan akan timbangkan”.

Pada persidangan media yang sama, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut ditanya mengenai ugutan yang dibuat oleh Pengerusi kepada apa yang dikenali sebagai Himpunan Hijau, Encik Wong Tuck, yang mahu membakar kilang pemprosesan tanah jarang Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng jika BN masih berkuasa selepas pilihanraya umum kelak.

“Wong Tuck dah khabar dia mengikut macam MB jugalah, (kononnya menggunakan) bahasa kiasan. Saya, bahasa kiasan saya lain, dia lain,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan merujuk kepada bahasa kiasan yang digunanya sebelum ini bagi menyatakan keyakinan tingginya tentang peluang kemenangan BN di Bentong.

MESRA-RAKYAT, TERMASUKLAH DENGAN WARGATUA... Dato' Sri DiRaja Adnan sempat bergurau dengan penerima bantuan ihsan yang dalam kalangan wargatua Melayu ini. 
  

KESALAHAN UGUT YANG BOLEH DIDAKWA

“Dia (Wong Tuck) melakukan kesalahan tu, boleh didakwa di bawah – saya diberitahu oleh peguam-peguam; boleh didakwa di bawah Penal Code, Kanun Acara Jenayah, seksyen  28,  (kerana) mengugut,” katanya.

Kepada soalan sama ada ugutan tersebut boleh menjauhkan minat pelabur untuk melabur di negeri ini katanya, “Tindakan itu (ugut untuk bakal kilang LAMP) akan mendekatkan lagi pelabur dan akan menjauhkan (mereka daripada Wong Tuck). Kalau orang nak menyokong diapun, orang akan lari”.

“Kalau misalannya Lynas tak selamat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… takkan yang datang hari tu (pada pelancaran rasmi Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China, Selasa, 5 Februari) orang nombor empat dikalangan herarki politik China datang bawa pelaburan lebih RM10.5 billion?”.

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Khamis itu ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail; wakil-wakil rakyat – Dato’ Chang Hong Seong (BN – Teruntum) dan Encik Mohd Shohaimi Jusoh (Bn – Lepar); dan Pegawai Daerah Kuantan, Dato’ Norhayad Ahmad.

Penyampaian sumbangan bantuan ihsan kepada 3,000 ketua keluarga pada hari ini dibahagi kepada dua sesi, 1,500 orang menerimanya pada sesi sebelah pagi dan selebihnya pada sesi petang. – Khabar