Monday 21 April 2014

Lebih 10,000 unit sedang dibina daripada 15,000 unit rumah mampu milik yang Kerajaan Negeri janji bina antara 2014 dan 2018

... ini tidak sampaipun setahun selepas janji dibuat seperti terkandung dalam manifesto BN Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 pada Mei tahun lepas.



                         
TABIK TUANKU... 


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Lebih 10,000 unit rumah mampu milik kini sedang dibina, tidak sampaipun setahun selepas janji dibuat oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri untuk membina 15,000 unit rumah berkenaan dalam tempoh lima (5) tahun antara tahun ini (2014) dan 2018.

Janji ini sepertimana terkandung dalam Manifesto BN Negeri yang dilancarkan oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi, BN Negeri, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menjelang Pilihanraya Umum ke-13 pada Mei lepas.   

KDYMM Sultan Pahang telah menitah-sebutkan tentang rumah mampu milik ini serta perkembangannya sehingga kini, dalam titah kira-kira 20-minit Baginda semasa menyempurnakan perasmian Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13 pagi Isnin, 21 April di sini.

“Berhubung dengan perumahan, pada bulan Mei 2013, Kerajaan Beta berjanji akan membina sebanyak 15,000 unit rumah mampu milik di negeri ini, untuk tempoh lima (5) tahun, dari tahun 2014 hingga tahun 2018.

“Rumah mampu milik disediakan di negeri Beta untuk rakyat Beta yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 satu isi rumah.

TITAH DIRAJA 20-MINIT BAGINDA... 


KAWASAN TERLIBAT; 24 TAPAK SELUAS 1,230 EKAR

“Alhamdulillah, setakat bulan April 2014 sahaja, sebanyak 10,859 unit rumah mampu milik pelbagai jenis telah dimulakan pembinaannya, melibatkan 24 tapak dengan keseluruhan kawasan seluas 1,230 ekar.

“Lebih ramai rakyat Beta akan dapat peluang memiliki rumah sendiri nanti,” titah Baginda pada Istiadat yang turut dihadiri oleh YAM Tengku Muda Pahang, selain Menteri Besar sendiri serta para kenamaan lain termasuk wakil-wakil rakyat negeri sekelian.

Berikut ialah teks penuh Titah DiRaja itu;

Assalamu’alaikum warahmatullahi, wabarakatuh. Bismillah-hirrahma-nirrahim.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah izin dan inayahnya, Beta dapat berangkat menyempurnakan perasmian Istiadat Pembukaan  Persidangan Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Pahang yang ke-13, pada hari yang bersejarah ini.

KDYMM TUANKU DENGAN 'ORANG TUA BETA'... Baginda kelihatan berbual sebentar dengan Dato' Sri DiRaja Adnan sebelum berkenan ditemubual wartawan yang lebih menjurus kepada persoalan tentang sukan khususnya bolasepak yang Baginda ialah Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).    


LAKSANAKAN PENGURUSAN KEWANGAN DENGAN LEBIH CEKAP

Buat permulaan, Beta mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Beta yang dipimpin oleh Orang Tua Beta, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob kerana berjaya membentangkan Bajet 2014 Negeri Pahang dalam sidang belanjawan pada bulan November 2013 yang lalu.

Hasil pendapatan negeri dijangka berjumlah RM811 juta sementara perbelanjaan negeri dijangka RM808.8 juta. Jangkaan lebihan pendapatan atau ‘surplus’ dijangka RM2.2 juta.

Beta yakin dengan belanjawan yang telah dibentangkan itu, pengurusan kewangan negeri dapat dijalankan dengan lebih cekap dan rancangan pembangunan untuk rakyat dan negeri dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beta berpendapat Kerajaan Beta mesti terus memikirkan dan mencari jalan dan melaksanakan kaedah-kaedah yang sesuai untuk terus berusaha mencari punca hasil dan pendapatan baharu Kerajaan.

Punca hasil tradisi dari tanah, perhutanan dan air adalah tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan kos yang meningkat setiap tahun.

BUAT JULUNG-JULUNG KALINYA... Selain kebiasaannya dengan wakil-wakil rakyat, Baginda turut berkenan bersesi gambar berkumpulan dengan isteri wakil-wakil rakyat yang diketuai oleh isteri kepada Menteri Besar, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim (duduk, empat dari kanan).

Yang turut serta ialah DYMM Sultanah Pahang; YAM Tengku Muda Pahang; serta, paduka anakanda-anakanda puteri Baginda termasuk yang sulung, Tengku Seri Puteri Lela Wangsa Pahang (duduk, tiga dari kanan sebelah Datin Sri DiRaja Junaini).


PAHANG DAPAT RM100 JUTA SETAHUN WANG EHSAN, BERMULA TAHUN INI

Mulai tahun ini, sebagaimana diumumkan oleh Orang Tua Beta, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, negeri Pahang Darul Makmur akan menerima wang ehsan sebanyak RM100 juta setiap tahun.

Ini bermakna lebih banyak program pembangunan dapat dirancang untuk faedah rakyat dan negeri Pahang, insya-Allah. 

Perpaduan dan keharmonian kaum merupakan asas kepada keamanan dan kestabilan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran negeri.

Oleh sebab itu, Beta menyeru supaya semua pihak dari semua kelompok dan semua peringkat masyarakat menyedari hakikat ini dan berusaha terus memelihara perpaduan dan keharmonian kaum.

Semua ahli Dewan Undangan Negeri boleh memainkan peranan untuk terus menyuburkan keharmonian dan perpaduan rakyat dengan memberikan khidmat di kawasan masing-masing.

WAKIL RAKYAT PERLU JAGA KEPENTINGAN SEMUA KAUM

Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjaga kepentingan semua kaum di kawasan masing-masing. Pada ketika yang sama, Ahli-ahli Yang Berhormat boleh mengelak dari membangkit dan mengungkit perkara-perkara yang telah difahami dan diterima oleh semua pihak sebelum ini supaya dapat mengelakkan salah faham dan ketegangan.

Sikap ini jika diamalkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat boleh membantu menjamin keamanan dan kestabilan negeri.

Pada tahun 2013, Negeri Pahang telah mencatatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM32.72 bilion dengan kadar pertumbuhan enam (6) peratus, iaitu kenaikan 0.2 peratus berbanding pencapaian 5.8 peratus pada tahun 2012.

Pada tahun 2013, Kerajaan Negeri telah mencatat pelaburan yang diluluskan berserta insentif berjumlah RM7.76 bilion dan mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan mahir dan separuh mahir.

Pada tahun 2013 jumlah pelaburan luar yang masuk ke negeri Pahang adalah sebanyak RM9.47 bilion.

222 PROJEK BERNILAI RM13,362 JUTA JAYA DILAKSANA TAHUN LEPAS

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Negeri Pahang dijangka akan memperolehi komitmen pelaburan sebanyak RM6.94 bilion pada tahun 2014.

Pada tahun 2013, Negeri Pahang telah berjaya melaksanakan 222 projek dengan nilai pelaburan sebanyak RM13.362 bilion.

Kerajaan Beta komited memelihara dan meningkatkan syiar ugama Islam di negeri ini. Kerajaan Beta akan terus menyediakan kemudahan sama ada masjid, surau, maahad tahfiz, sekolah dan bantuan pendidikan untuk meningkat syiar ugama Islam.

Kegiatan dakwah dan penerangan akan terus dijalankan sama ada oleh jabatan, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Pada tahun 2013 Kerajaan Negeri telah meluluskan pembinaan 33 buah masjid   bernilai RM28.9 juta. Bagi mengukuhkan sistem pentadbiran undang-undang syarak di negeri ini,

KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI AKAN DIBINA

Sebanyak dua (2) buah mahkamah syariah iaitu di Bera dan di Maran sedang dalam pembinaan dengan kos (RM14 juta.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, pada tahun ini, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), akan membina sebuah kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang dengan siling kos RM37.6 juta.

Bagi memperkukuhkan pembangunan sistem pendidikan agama Islam di negeri ini,  sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan bagi pembelian peralatan ICT di sekolah-sekolah menengah agama. 

Berhubung dengan perumahan, pada bulan Mei 2013, Kerajaan Beta berjanji akan membina sebanyak 15,000 unit rumah mampu milik di negeri ini, untuk tempoh lima (5) tahun, dari tahun 2014 hingga tahun 2018.

Rumah mampu milik disediakan di negeri Beta untuk rakyat Beta yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 satu isi rumah.

RANGKAIAN JALAN CSR UNTUK ATASI KESESAKAN DI BARAT PAHANG

Alhamdulillah, setakat bulan April 2014 sahaja, sebanyak 10,859 unit rumah mampu milik pelbagai jenis telah dimulakan pembinaannya, melibatkan 24 tapak dengan keseluruhan kawasan seluas 1,230 ekar. Lebih ramai rakyat Beta akan dapat peluang memiliki rumah sendiri nanti.

Berhubung dengan jaringan rangkaian jalanraya dan kemudahsampaian, projek menaiktaraf jalanraya persekutuan sedang dalam perancangan dan pelaksanaan.

Projek ‘Central Spine Road’ yang menghubungkan Cegar Perah di Lipis, Raub, Bentong hingga ke Simpang Pelangai di Bentong, sedang giat dilaksanakan sama ada di peringkat reka bentuk atau peringkat pelaksanaan.

Projek ini boleh membantu mengurangkan kesesakan jalanraya di kawasan sebelah barat Pahang.

Dua (2) buah terminal pengangkutan darat iaitu di Kuantan dan Bandar Tun Razak, Jengka telahpun siap. Dua (2) projek seumpamanya akan dibina di Bentong dan di Temerloh.

PERLU FIKIRKAN KAEDAH SESUAI TANGANI BANJIR

Banjir besar telah melanda negeri Pahang pada bulan Disember 2013. Daerah Kuantan menerima kesan yang paling buruk. Daerah Pekan merupakan daerah yang menerima kesan kedua terburuk.

Daerah Rompin, Temerloh, Maran dan Jerantut turut terlibat tetapi tidak seburuk daerah Kuantan dan daerah Pekan.

Kementerian, jabatan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, pertubuhan sukarela telah memainkan peranan masing-masing membantu menyelamat dan memindahkan mangsa. Bantuan kewangan dan peralatan telah juga diberikan kepada mangsa.

Beta mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu semasa kejadian banjir baru-baru ini.

Kerajaan Beta perlulah memikirkan dan mencari kaedah dan jalan yang bersesuaian bagi menangani kejadian banjir. Ini termasuklah memperbaiki sistem saliran, membina empangan dan batasan sebagai sebahagian daripada kerja-kerja penebatan banjir.

YAYASAN BELANJA RM840 JUTA BAGI MANFAAT LEBIH 900,000 PELAJAR

Berhubung dengan modal insan dan sumber manusia, Kerajaan Beta akan terus menyediakan bantuan dan sokongan. Dari tahun 1983 sehingga sekarang, Yayasan Pahang sahaja telah memberikan bantuan sejumlah RM840.87 juta kepada 923,713 pelajar sebagai menyiapkan mereka menjadi tenaga modal insan pada masa hadapan.

Pahang Skill Development Centre (PSDC) menyediakan latihan kepada pekerja industry bagi meningkatkan kemahiran mereka. Beta mendapat maklum lepasan pelajar PSDC dibayar gaji lumayan oleh syarikat multinasional yang beroperasi di Gebeng.

Beta gembira kerana rakyat Beta anggota masyarakat Felda, dapat menikmati kehidupan lebih baik berkat usaha gigih mereka dan bantuan berterusan Kerajaan.

Yang penting, masyarakat Felda mesti bersatu-padu dan berterusan menyokong usaha Kerajaan membaiki kehidupan mereka. Beta percaya pada satu masa nanti, petempatan Felda akan menjadi pusat pertumbuhan ekonomi yang sangat penting.

Berhubung dengan masyarakat Orang Asli, Kerajaan Beta tidak akan meminggirkan kepentingan dan kebajikan Orang Asli. Melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), agensi seperti Risda dan Felcra, Kerajaan Beta akan meneruskan proses merizab dan menggazet tanah Orang Asli yang bersesuaian.

LUNASKAN PINJAMAN, TINGKATKAN MUTU PRODUK

Berhubung dengan belia, Beta berharap Kerajaan Beta akan memberikan fokus dan tumpuan kepada pembangunan belia. Lebih banyak kursus, seminar, bengkel wajar dianjurkan untuk golongan belia terutamanya golongan lepasan sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Kerajaan Beta akan terus memberi perhatian kepada bidang pertanian. Pertanian sudah menjadi satu industri. Jika diberi perhatian sepenuhnya, pertanian boleh memberi pulangan yang baik kepada petani. Kegiatan hiliran yang mempunyai nilai tambah hendaklah diberikan penekanan.

Kegiatan hiliran yang mempunyai nilai tambah boleh mewujudkan golongan usahawan kecil dan sederhana.

Beta diberi fahaman bahawa, ramai usahawan kecil dan sederhana telah wujud di negeri Pahang. Kemudahan kredit dan kursus bimbingan yang diberikan telah banyak membantu memajukan perusahaan masing-masing.

Yang penting ialah mereka mesti rajin bekerja, melunaskan pinjaman mereka dan mesti terus meningkatkan mutu produk sama ada daripada segi kualiti mahupun daripada segi pembungkusan supaya produk lebih mudah dipasarkan.

HTAA PUNYA KEPAKARAN LAKUKAN RAWATAN JANTUNG  

Negeri Beta dianugerah Allah keadaan alam semulajadi yang cantik dan indah. Tanah tinggi, tasik, pantai, pulau merupakan destinasi pelancongan yang menarik di negeri ini.

Destinasi dan produk pelancongan yang terdapat di negeri ini perlu ditambah baik untuk menarik kedatangan pelancong. Beta percaya, kehilangan pesawat MAS MH370 memberi kesan negatif kepada sektor pelancongan bukan sahaja di negeri Pahang tetapi juga Malaysia keseluruhannya.

Beta berpuas hati dengan kemudahan kesihatan dan tahap kesihatan rakyat Beta setakat ini. Kemudahan kesihatan di negeri ini berada pada tahap yang memuaskan. Beta berpendapat tahap kecekapan kemudahan kesihatan boleh dipertingkatkan lagi.

Beta berasa gembira kerana Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan sudah mempunyai kepakaran melakukan rawatan jantung. Setakat ini, HTAA telah melakukan lebih kurang 200 prosedur pembedahan terbuka, 4,500 prosedur ‘angiogram’ dan 1,500 prosedur ‘angioplasty’.

Dunia sekarang adalah dunia teknologi dan komunikasi. Kerajaan Beta sedang berusaha supaya negeri Beta menikmati kemudahan jalur lebar secara lebih meluas.

GUNAKAN ICT UNTUK KEBAIKAN

Beta sukacita jika negeri Beta ditingkatkan capaian (coverage) tanpa wayar. Beta berharap rakyat Beta menggunakan kemudahan ICT ini dengan sebaiknya. Gunakanlah ia untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan untuk dimanfaatkan oleh semua. 

Janganlah menyebarkan fitnah, pembohongan dan maklumat palsu. Kepada rakyat Beta yang menggunakan kemudahan ICT ini, mereka hendaklah menggunakan akal fikiran yang bijaksana bagi memilih dan membezakan antara yang benar dengan yang palsu, antara fakta dengan khayalan.

Keamanan dan kemakmuran yang kita capai pada hari ini adalah hasil daripada kecekapan anggota pasukan keselamatan yang sentiasa bersiap siaga dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

Beta mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua anggota keselamatan yang telah menjalankan tugas dengan amat baik. Beta juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah khususnya kepada Polis DiRaja Malaysia yang dapat menyelesaikan kes pembunuhan pegawai kanan Jabatan Agama Islam Pahang pada bulan November 2013 yang lepas.

Beta mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada Orang Tua Beta, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob kerana berjaya mengendalikan urusan pentadbiran negeri dengan ikhlas dan telus untuk membawa pembangunan negeri ke arah yang lebih maju dan cemerlang.

JALANKAN TUGAS DENGAN AMANAH

Beta juga mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua Dewan, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan semua peringkat yang telah menjalankan tugas masing-masing yang telah diamanahkan dengan penuh rasa tanggung jawab, jujur, bersih, ikhlas dan berintegriti untuk kesejahteraan rakyat.

Dengan kalimah ‘Bismillah-hirrahman-nirrahim’, Beta dengan sukacitanya mengisytiharkan Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Pahang yang ke-13 pada hari ini.

‘Wabillahitaufik walhidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahhi wabarakatuh’. – Khabar