Friday 25 April 2014

Pahang raih nilai pelaburan terbesar antara negeri-negeri dalam ECER



… sejak 2007 hingga kini, Pahang perolehi RM30,460 juta nilai pelaburan atau kira-kira 48 peratus daripada keseluruhan RM63,580 juta nilai pelaburan ke negeri-negeri di bawah ECER yang turut merangkumi Terengganu, Kelantan dan daerah Mersing di Johor  

ALL FOR A PHOTO SHOOT... Semuanya bersedia untuk sesi berfoto kumpulan bersama-sama. Dari kiri ke kanan ialah, Dato' Jebasingam; Tan Sri Ali; Dato' Sri Abdul Wahid; Tan Sri Muhyiddin; Dato' Sri Mohd Najib; Dato' Sri DiRaja Adnan; Dato' Sri Ahmad; Dato' Ahmad; dan, Dato' Mohamad Khaled. 
 

JABATAN PERDANA MENTERI, KOMPLEKS PENTADBIRAN KERAJAAN PUTRAJAYA – Pahang mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih nilai pelaburan terbesar sebanyak RM30,460 juta atau kira-kira 48 peratus daripada keseluruhan RM63,580 juta nilai pelaburan yang memasuki negeri-negeri di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sehingga kini.

Angka ini ialah bagi tempoh kira-kira tujuh (7) tahun sejak penubuhan ECER pada tahun 2007, hinggalah ke akhir suku pertama tahun ini pada Mac lepas (2014).

Di belakang Pahang ialah Terengganu, dengan nilai kemasukan pelaburan sebanyak RM22,777 juta atau kira-kira 36 peratus; disusuli Kelantan, cuma RM9,740 juta atau kira-kira 15 peratus; dan, daerah Mersing, Johor, hanya RM610 juta atau kira-kira satu (1) peratus.

Angka-angka ini ada dinyatakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak Najib pada Majlis Penyerahan Rancangan Alam Sekitar Utama di negeri-negeri dalam ECER pagi Jumaat, 25 April di sini.

Majlis ini menyusul selepas Dato’ Sri Mohd Najib mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan ECER (ECERDC). Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir, begitu juga dengan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob;

PELABURAN RM24,450 JUTA BAGI SUKU PERTAMA TAHUN INI SAHAJA

serta juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Sri Ahmad Said; Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob; Menteri Besar Johor, Dato’ Sri Mohamad Khaled Nordin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Abdul Wahid Omar; serta, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; dan, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John.

Perdana Menteri turut mengumumkan kejayaan ECER menarik pelaburan kira-kira RM24,450 juta bagi tempoh suku pertama tahun ini sahaja lalu menyumbang kepada nilai pelaburan keseluruhan RM63,580 juta bagi tempoh tujuh (7) tahun ini.

Kejayaan ini menurutnya, adalah melepasi lebih daripada 57 peratus daripada sasaran pelaburan ke negeri-negeri di bawah ECER ini yang sebanyak RM110,000 juta menjelang tahun 2020.

“Pelaburan ini akan mewujudkan lebih daripada 65,000 peluang pekerjaan untuk rakyat, yang terdiri daripada 6,601 profesional, 19,800 pekerja mahir dan 39,599 pekerja separa mahir di ECER,” kata Dato’ Sri Mohd Najib sepertimana laporan berita oleh BERNAMA.

Dalam kenyataan media ECERDC yang diedarkan kepada wartawan pada majlis yang sama, ada menyebut tentang syarikat asing – Beijing Goldenway Biologi Tech Co Ltd (BGB), merancang untuk mendirikan kilangnya bernilai RM600 juta di negeri Pahang.

CADANGAN KILANG RM600 JUTA DI SUNGAI LEMBING

BGB – pengeluar asid biohumik terbesar dunia, bercadang untuk menghasil dan mengeluarkan asid humik, sejenis bioperangsang untuk pemulihan tanah di kilang tersebut.

Sungai Lembing dekat Kuantan, telah dikenal pasti sebagai tapak berpotensi untuk pembinaan kilang itu dan menurut kenyataan media tersebut lagi, pertukaran dokumen mengenai kerjasama untuk projek ini antara BGB dengan ECERDC dan Malaysian Biotechnology Corporation Sdn Bhd, telahpun dilaksanakan. – Khabar