Friday 11 April 2014

Pahang sasar 32 emas pada Sukan Malaysia XVII Perlis 2014



… dengan penyertaan 382 atlet ke kejohanan sukan antara 26 Mei dan 4 Jun nanti.

'SINGA UTARA' SEBAGAI CENDERAMATA... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menerima 'Singa Utara' daripada Encik Azlan, sambil maskotnya berdiri di tengah-tengah.
 

KOMPLEKS YAYASAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Pahang menyasarkan 32 emas, 36 perak dan 44 gangsa dengan penyertaan 382 atletnya ke Sukan Malaysia XVII Perlis 2014 selama 10 hari bermula 26 Mei ini.

Sasaran ini lebih rendah daripada pencapaian terbaik kontinjen negeri ini ketika menjadi tuanrumah kepada Sukan Malaysia XV Pahang 2012 iaitu, 45 emas, 40 perak dan 38 gangsa.

Antara sukan yang diberi keutamaan nanti ialah sukan menembak, menyasarkan enam (6) emas; pencak silat, lima emas; angkat berat, empat (4) emas; serta, kayak dan olahraga, masing-masing tiga (3) emas.

Ini ialah antara maklumat yang disediakan oleh Majlis Sukan Pahang (MSP) sempena kunjung-hormat ke atas Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob oleh rakan sejawatannya dari Perlis, Encik Azlan Man pada pagi Jumaat, 11 April di sini.

Encik Azlan turut diiringi para pegawai kanan Kerajaan Negerinya, serta mascot ‘Singa Utara’. Ini merupakan sebahagian daripada siri kunjungannya ke negeri-negeri, bagi menyilakan Menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri untuk ke kejohanan sukan dwi tahunan itu di Perlis nanti.  

BUAL MESRA SESAMA RAKAN SEJAWATAN...Pengerusi, Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato' Mohd Johari Hussain (kiri sekali), turut hadir pada majlis kunjung-hormat pagi Jumaat ini. 

YANG DIPERTUA MPK IALAH CHEF DE MISSION   

Ber‘Chef De Mission’kan Dato’ Zulkifli Yaacob yang juga Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) disamping Timbalannya, Dato’ Omar Othman yang juga bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri, menurut maklumat yang disediakan itu lagi;

Kem Motivasi bagi kontinjen negeri ini melibatkan kesemua 382 atlet itu, telah  ditetapkan selama empat (4) hari bermula 8 Mei, bertempat di Bukit Gambang Resort dekat sini.

“Tujuan kem diadakan ialah untuk meningkatkan tahap motivasi daripada segi mental dan fizikal, serta menaikkan semangat berpasukan dalam kalangan atlet yang bertanding pada Sukan Malaysia XVII Perlis 2014 nanti,” petikan daripada maklumat berkenaan.

Maklumat itu turut menyebut betapa KDYMM Sultan Pahang akan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Pahang pada Ahad, 11 Mei bertempat di Bukit Gambang Resort juga.

“Bendera ini akan diterima oleh Ketua Kontinjen Pahang iaitu Dato’ Zulkifli Yaacob sebagai simbolik kepada tanggungjawab yang diamanahkan bagi membawa kontinjen Pahang mencapai kejayaan yang cemerlang ke temasya Sukan Malaysia XVII Perlis 2014,” memetik kata-kata dalam maklumat itu lagi.

TEMUBUAL UNTUK RANCANGAN KHAS RTM SEMPENA SUKAN MALAYSIA XVII PERLIS 2014... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang bersedia untuk ditemubual sambil Dato' Johari dan Pengarah, MSP, Dato' Nik Nasaruddin Mohd Zawai mengapitinya. 

KADAR INSENTIF BAHARU MULAI SUKMA XVII PERLIS 2014 INI

Mengenai insentif kewangan, maklumat itu menyebut betapa Kerajaan Negeri telahpun meluluskan kadar pemberian insentif baharu yang akan mula digunapakai pada kejohanan Sukan Malaysia XVII Perlis 2014 ini.

Ianya ialah; bagi kategori individu/berpasangan (yang kadarnya dibahagikan dua) – RM3,000 untuk emas, RM2,000 untuk perak, dan, RM1,000 untuk gangsa.

Dan, bagi kategori bertiga/berpasukan pula – RM1,000 seorang untuk emas, RM600 seorang untuk perak, dan, RM400 seorang untuk gangsa. – Khabar