Wednesday 19 November 2014

Hentikan serta-merta penerokaan haram di Cameron Highlands - titah KDYMM Sultan Pahang



“... saya berharap Kerajaan Pusat akan membantu Kerajaan Negeri mengatasi masalah ini kerana mereka (Kerajaan Pusat) mempunyai kelengkapan secukupnya,” titah Baginda lagi sempena keberangkatan ke tanahtinggi ini.

MENGAMBIL BERATNYA BAGINDA... KDYMM Sultan Pahang kelihatan sedang menitahkan sesuatu tentang kerja-kerja pembersihan Sungai Bertam sambil Dato' Sri DiRaja Adnan serta yang lain, tekun mendengarnya.


LEMBAH BERTAM, CAMERON HIGHLANDS – KDYMM Sultan Pahang yang berkenan berangkat ke tanahtinggi ini lalu segera melawat kesan-kesan banjir lumpur khususnya di Lembah Bertam, telah menitahkan agar kegiatan penerokaan haram di sini dihentikan segera.

“Mereka ini (peneroka haram) melanggar undang-undang. Mereka juga yang bertanggungjawab terhadap segala kemusnahan yang berlaku di Cameron Highlands," titah tegas Baginda.

Dengan menyifatkan gejala berkenaan sebagai penyakit yang melarat titah Baginda, “Perkara ini telah lama berlaku, sejak zaman British lagi. Sudah tiba masanya kegiatan haram ini dihentikan serta-merta”.
                                    
Baginda bertitah demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan lawatan berkenaan, yang meliputi ke kawasan sekitar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lembah Bertam yang turut terjejas.

Sebelum itu, Baginda yang menaiki helikopter dari Ibunegara, telah tiba pada kira-kira 10 pagi, Rabu, 19 November di padang Kelab Golf Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata, disambut oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob serta kenamaan lain.

BUKANLAH SEGALA-GALANYA BURUK DAN GAGAL MENGENAI CAMERON HIGHLANDS... Foto ini dirakam dalam cuaca redup lagi mendinginkan pada lewat petang Rabu, 19 November dari atas pelantar sebuah restoran santai minum teh kepunyaan pemilik ladang teh yang sah lagi bertanggungjawab ini. 
  

TAKLIMAT BENCANA PADA ESOK

Lawatan Baginda kali ini ialah khusus untuk meninjau kesan daripada banjir lumpur yang melanda daerah ini khususnya Lembah Bertam, kira-kira dua (2) minggu lepas pada Rabu, 5 November.

Esok, Khamis, 20 November, Baginda telah turut berkenan untuk berangkat ke Majlis Taklimat Bencana Banjir di Pejabat Daerah dan Tanah di Tanah Rata, yang bakal dipersembahkan oleh Pegawai Daerah, Dato’ A.Rahman Hamzah.

KDYMM Sultan Pahang seterusnya menitahkan agar Kerajaan Persekutuan dapat memberi kerjasama dalam membantu Kerajaan Negeri dalam usaha mengatasi gejala yang telah lama berlarutan itu.

“… saya berharap Kerajaan Pusat akan membantu kerajaan negeri mengatasi masalah ini kerana mereka (Kerajaan Pusat) mempunyai kelengkapan secukupnya,” titah Baginda lagi.

Selain Dato’ Sri DiRaja Adnan, yang turut serta mengiringi Baginda pada lawatan ini ialah ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. – Khabar