Monday 3 November 2014

Penghargaan Kerajaan Negeri buat juara Piala Malaysia 2014




… kejayaan Pahang ialah hasil penat-lelah YAM Tengku Muda dalam memajukan bolasepak negeri, kata Menteri Besar.

SENTUHAN EMAS... YAM Tengku Muda dan Dato' Sri DiRaja Adnan di sisi Piala Malaysia buat simpanan Pahang kali kedua berturut-turut.


PERKARANGAN, STADIUM DARUL MAKMUR, KUANTAN – Kerajaan Negeri mengumumkan ganjaran berganda buat pasukan Pahang selaku juara Piala Malaysia edisi 2014, sebagai pernyataan penghargaannya.

Sambil itu, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, tidak lepas daripada memuji dan menghargai usaha YAM Tengku Muda Pahang yang juga Presiden, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dalam memajukan sukan bolasepak di negeri ini.

Ini sepertimana disebut oleh Dato’ Sri DiRaja Adnan kepada pemberita pada majlis sambutan kepulangan pasukan Pahang dari Kuala Lumpur petang Isnin, 3 November di sini.

Berikut ialah laporan berita oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) (dengan pindaan yang minimal) mengenai majlis sambutan hangat petang cuti peristiwa, Isnin, yang dikatakan dihadiri lebih 10,000 orang itu.
    
Kerajaan negeri Pahang bakal memberi ganjaran wang tunai dua kali ganda daripada jumlah yang diberikan tahun lepas kepada skuad Tok Gajah atas kejayaan membawa pulang Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut, musim ini.

KERAIAN BERSAMA... YAM Tengku Muda dan Dato' Sri DiRaja Adnan bersama-sama pegawai dan para pemain, meraikan kejayaan yang sungguh manis ini.


GANJARAN 2X GANDA

Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata, jumlah itu setimpal dengan usaha dan penat lelah pasukan itu untuk mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan akhir, Sabtu lepas.

“Saya tidak mahu beritahu berapa tetapi jumlahnya dua kali ganda dari tahun sebelum ini. Saya rasa ganjaran tersebut sangat berbaloi untuk mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan kepulangan dan meraikan kejayaan skuad Tok Gajah, bersama-sama penyokong pasukan itu di sini, petang Isnin ini.

Yang turut hadir, Presiden, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Hj Ahmad Shah.

Pada tahun lepas, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengumumkan ganjaran wang tunai RM30,000 kepada setiap pemain dan pegawai, termasuk imbuhan kepada pegawai sokongan skuad Tok Gajah berikutan kejayaan mereka memenangi Piala Malaysia 2013.

Mengulas lanjut, Dato’ Sri DiRaja Adnan berkata ganjaran tersebut akan diberikan kepada seluruh pasukan termasuk pemain, pegawai dan pegawai sokongan pasukan berkenaan.

PERARAKAN KEMENANGAN DI SEKITAR BANDAR KUANTAN...


TUKANG BUAT AIR JUGA DAPAT GANJARAN

“Semua yang terlibat kita akan beri termasuklah tukang buat air. Jumlah itu nanti kita umumkan tetapi yang pasti ganjaran ini kita akan berikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau juga berkata, kejayaan yang dikecapi oleh skuad Pahang itu adalah hasil usaha YAM Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman yang tidak mengenal erti penat lelah dalam memajukan bola sepak Pahang.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan Pahang, namun tanpa sokongan penyokong kita tidak akan sampai ke tahap ini,” katanya.

Pada aksi akhir Piala Malaysia 2014 kelmarin, Pahang menewaskan JDT 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa tambahan.

Terdahulu, skuad Tok Gajah diarak menaiki sebuah bas khas dua tingkat dari Plaza Tol Kuantan dekat persimpangan Rancangan Tanah Felda Bukit Goh, hingga ke Stadium Darul Makmur, dengan diiringi penyokong bolasepak negeri itu. – Khabar/BERNAMA