Monday 17 November 2014

Pahang terus dahului negeri-negeri ECER dengan RM35,230 juta kemasukan pelaburan hingga kini!




… atau kira-kira 49 peratus daripada keseluruhan RM72,260 juta nilai pelaburan ke Pahang, Terengganu, Kelantan, dan daerah Mersing, Johor, sejak penubuhan ECER pada 2007 sehingga kini.

SESI FOTO BERSAMA... 


BANGUNAN PARLIMEN, KUALA LUMPUR – Pahang terus mencatatkan kemasukan pelaburan tertinggi antara negeri-negeri dan daerah dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan nilai RM35,230 juta sejak penubuhannya pada tahun 2007 hingga kini.

Angka ini sahaja merupakan kira-kira 49 peratus daripada nilai keseluruhan RM72,260 juta yang dicatatkan oleh negeri-negeri itu yakni Pahang, Terengganu dan Kelantan, serta daerah Mersing, Johor.  

Selain Pahang dengan catatan kemasukan pelaburan RM35,230 juta; menyusul di belakang ialah Terengganu dengan pelaburan RM24,240 juta; Kelantan, RM11,170 juta; dan Mersing, RM1,610 juta.

“Sejak 2007 hingga kini, (negeri-negeri dan daerah di bawah) ECER berjaya menarik pelaburan bernilai RM72,260 juta dan berjaya mewujudkan 73,281 peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Nilai pelaburan ini (RM72,260 juta) menandakan 66 peratus daripada sasaran pelaburan ECER yang sebanyak RM110,000 juta menjelang tahun 2020,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) petang Isnin, 17 November, di sini.

MENJADI SAKSI PERTUKARAN DOKUMEN... Dato' Sri Mohd Najib, Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Ahmad Razif; sedang menyaksikan pertukaran dokumen antara Dato' Jebasingam dengan Dato' Abdul Farid. 


DUA PROJEK PERTANIAN BERSKALA BESAR DI PAHANG

Kenyataan ini ialah bersempena Pengemas-kinian Suku Ke-4 2014 ECER (ECER’s 4th Quarter 2014 Update) susulan kepada Mesyuarat Majlis Ke-2 ECERDC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.

Yang turut hadir selain Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob; ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman; Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yaakob; dan, Menteri Besar Johor, Dato’ Sri Mohd Khaled Nordin; serta, Menteri di Jabatan Perdana  Menteri, Dato' Sri Abdul Wahid Omar.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John; dan, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Dato’ Abdul Farid Alias, turut sama.

Pada majlis petang Isnin ini, turut menyaksikan pelantikan tiga (3) syarikat kemudi (ENG: anchor companies) bagi mengurus dan melaksanakan projek-projek pertanian komersil berskala besar di kawasan ECER.

Ketiga-tiga syarikat itu ialah The Holstein Milk Company Sdn Bhd; CSC Integrated Herbal Farm Sdn Bhd; dan, Genetic Improvement and Farm Technologies Sdn Bhd (GIFT).

PETANI DIJANGKA RAIH RM5,000 SEBULAN

The Holstein Milk Company Sdn Bhd dilantik sebagai syarikat kemudi bagi Pusat Penyelidikan dan Inovasi Ternakan Lembu Muadzam Shah (ENG: Muadzam Shah Cattle Research and Innovation Centre @ MSCRIC) di Muadzam Shah, Rompin, yang telah dibina oleh ECERDC.

The Holstein Milk Company Sdn akan melabur RM30 juta sebagai syarikat kemudi berkenaan, dan projek ini sahaja dijangka dapat mewujudkan kira-kira 100 petani ‘satellite’ – sebagai sebahagian daripada rangkaian sokongannya.

CSC Integrated Herbal Farm Sdn Bhd pula akan melabur, melaksana dan menguruskan Pembangunan Kluster Bersepadu Herba (ENG: Herbal Integrated Cluster Development @ HICD) yang turut dibina oleh ECERDC di Chegar Perah, Lipis.

Syarikat kemudi ini akan melabur RM20 juta menjelang tahun 2020, bagi penanaman pelbagai jenis herba serta pengeluarannya, yang dijangka dapat melahirkan 36 petani kontrak dan usahawan (ENG; contract farmers and entrepreneurs) dalam kalangan penduduk tempatan, dengan jangkaan meraih pendapatan RM5,000 sebulan.

Satu lagi syarikat – Genetic Improvement and Farm Technologies Sdn Bhd (GIFT), telah dilantik selaku syarikat kemudi bagi Pusat Pembiakan dan Inovasi Biri-biri Kuala Berang (ENG; Kuala Berang Sheep Breeding & Innovation Centre @ KBSBIC) yang juga dibina oleh ECERDC di Kuala Berang, Terengganu.

RM110 JUTA SEBAGAI BANTUAN KEWANGAN KEPADA USAHAWAN

Pada majlis yang sama, kerjasama antara ECERDC dengan kumpulan bank terbesar di negara ini, Maybank/Maybank Islamic Bhd di bawah Skim Keusahawanan ECER-Maybank, turut diumumkan, bagi penyediaan bantuan kewangan kepada para usahawan dalam kawasan ECER.

Buat permulaan, ECERDC memperuntukkan RM10 juta bagi menampung kadar faedah atau keuntungan pinjaman, sementara Maybank memperuntukkan RM100 juta lagi untuk pembiayaan perniagaan.

Skim ini dijangka mampu memberi manfaat kepada 2,000 usahawan mikro dan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di negeri Pahang ini, serta di negeri-negeri Terengganu, Kelantan serta daerah Mersing, menjelang akhir 2015

Kerjasama ini akan berterusan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (2016 - 2020), yang dijangka akan memanfaatkan kira-kira 6,000 usahawan dalam kawasan ECER menjelang tahun 2020. – Khabar