Monday 20 June 2016

‘Morale booster’ & galakan kepada BN untuk bekerja kuat bagi hadapi PRU-14


… ekoran kemenangan BN pada kedua-dua Pilihanraya Kecil kawasan Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Kita menang betul – semua orang bertumpu membantu sebagainya. Tapi hakikat bekas wakil rakyat, Ahli Parlimen bekerja kuat selama ini juga membantu. Sikit-sebanyak orang kenang juga jasa Arwah kedua-duanya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.  

RIANG-GEMBIRA SEMUANYA... Tentu ada sesuatu yang melucukan dikatakan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan hingga menyebabkan mereka - para penerima sumbangan terutamanya, ketawa-riang. 

Yang turut kelihatan berkongsi sama keriangan itu ialah Penghulu Mukim Pelangai, Encik Nasaruddin Ahmad (berbaju Melayu hijau); dan, Pegawai Khas kepada Menteri Besar, Dato' Ahmad Jaafar (di sebelah Encik Nasaruddin). 


PERKARANGAN MASJID, PROJEK AGROPOLITAN PELANGAI, BENTONG – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada kedua-dua Pilihanraya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar sebagai ‘morale booster’ atau penaik semangat kepada BN.

Yang dengan itu katanya yang juga Pengerusi BN Negeri, boleh menjadi daya galakan kepada ahli-ahli BN untuk bekerja kuat dalam menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

“Saya katakan kemenangan ini merupakan satu ‘morale booster’, penaik semangat kepada Barisan Nasional sebab - di kawasan kita, kita boleh tawan semula. Itu yang mustahak.

“Majoriti meningkat dan sebagainya itu, itu adalah merupakan satu galakan untuk kita bekerja kuat menghadapi PRU-14,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan kepada wartawan pada Majlis Berbuka Puasa Dewan Undangan Negeri kawasan Pelangai petang Isnin, 20 Jun di sini.

Dato’ Sri DiRaja Adnan diminta mengulas mengenai kemenangan BN dengan majoriti besar pada kedua-dua PRK di Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor pada Sabtu, 18 Jun lepas.  

SUMBANGAN KEPADA YANG MEMERLUKAN... Kakak ini ialah sebahagian daripada 1,400 orang penerima sumbangan pada majlis petang Isnin ini. Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang menyampaikannya.


BOLEH MENANG JIKA ‘JAGA’ KAWASAN

Kedua-dua PRK itu diadakan ekoran Ahli Parlimen-Ahli Parlimen sebelum itu, masing-masing – Dato’ Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Tan Sri Noriah Kasnon; meninggal dunia dalam kejadian helikopter terhempas di Sarawak pada awal Mei lepas.   

Pada kedua-dua PRK ini, BN memperolehi kemenangan besar dengan calonnya di Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid – isteri kepada Allahyarham Dato’ Wan Mohammad Khair-il Anuar, memperolehi majoriti 6,969 undi; 

Manakala, calonnya di Sungai Besar, Encik Budiman Mohd Zohdi memperolehi majoriti 9,191 undi.

“Logiknya, kalau semua kawasan seperti Kuala Kangsar, Sungai Besar; kawasan kita, kita menang semula, maknanya - kalau wakil rakyat BN, ADUN BN, Ahli Parlimen BN menjaga kawasan masing-masing; kita masih boleh menang, masih boleh memerintah.

“Yang mustahak, semua wakil rakyat sekarang ini jalankan tugas masing-masing sebagaimana Allahyarham Dato’ Wan (Mohammad Khair-il Anuar) di Kuala Kangsar, Allahyarham Dato’ Noriah Kasnon di Sungai Besar.

KETUA AGENSI NEGERI TURUT TURUN PADANG... Dato' Abdul Rahim turut diminta oleh Dato' Sri DiRaja Adnan untuk menyampaikan sumbangan sepertimana beliau laksanakan ini. beliau diiringi Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Encik Nordin Ibrahim (berdiri, kanan sekali).


JASA ARWAH DIKENANG

“Sebab mereka bekerja kuat maka faktor kemenangan itu sentiasa ada. Kita jangan nafikan.

“Kita menang betul – semua orang bertumpu membantu sebagainya tapi hakikat bekas wakil rakyat, Ahli Parlimen bekerja kuat selama ini juga membantu. Sikit-sebanyak orang kenang juga jasa Arwah kedua-duanya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Beliau seterusnya mengulangi betapa kemenangan di kedua-dua PRK ini akan menjadi ‘morale booster’ untuk ahli-ahli BN terus bekerja kuat bagi mempertahankan kawasan masing-masing.

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga diminta mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kemenangan BN pada kedua-dua PRK tersebut ialah kerana faktor pemberian – wang dan kebendaan, kepada pengundi-pengundi di sana.

“Itu bukan soalnya. Soal sekarang kita menang. Apa cara menang tu, macam-macam. Pembangkangpun ada cara dia juga, tapi tak menjadi. Kita ini ada cara kita, kita menjadi. Itu sahaja bezanya.

SABAR MENUNGGU WAKTU BERBUKA PADA 7.26 PETANG... Ini ialah sebahagian lagi para penerima sumbangan, yang sabar menunggu waktu berbuka puasa.
 

ARAHAN SEDIAKAN SENARAI NAMA GOLONGAN MEMERLUKAN

“Untuk menang pilihanraya, semua orang akan bekerja untuk nak menangkan parti dia. Apa cara - asalkan tidak menyalahi undang-undang, jalan (teruskan),” katanya lagi.

Beliau turut diminta mengulas ucapan luar teks 14-minitnya sebelum itu, khususnya mengenai arahannya supaya kesemua UMNO Cawangan di Bentong seterusnya Pahang, menyenaraikan mereka yang memerlukan untuk dibantu.  

“Saya telah minta Ketua-ketua Cawangan di Bahagian Bentong untuk mendaftarkan orang yang memerlukan – OKU, orang yang terlantar, golongan miskin, anak-anak yatim;

“Dan ini akan dipanjangkan ke Cawangan-cawangan (UMNO) seluruh negeri Pahang yang bertujuan untuk kita membantu meringankan beban mereka,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.

Pada Majlis Berbuka Puasa ini, kira-kira 1,400 orang dalam kalangan yang memerlukan di kawasan DUN Pelangai yang Dato’ Sri DiRaja Adnan ialah juga wakil rakyatnya; turut menerima sumbangan RM250 setiap seorang.

DITEMUBUAL EKSKLUSIF OLEH TV AL-HIJRAH... Stesen televisyen Al-Hijrah milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berpengkalan di Pusat Islam, Kuala Lumpur, turut turun padang dengan menyumbang bubur lambuk yang diperolehi dari Masjid Kampung Baru pada majlis ini. 

Selain Dato' Azhar (kanan sekali) dan Dato' Ir Sharuddin (kiri, berbaju Melayu merah); yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Hamdan (belakang Dato' Sri DiRaja Adnan), dan seorang penduduk tempatan, Dato' Ahmad Tauzan Abdul Ghani (berkopiah putih). 
 

KETUA PEGAWAI KORPORAT TNB TURUT HADIR

Yang turut hadir pada Majlis Berbuka Puasa ini ialah Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Azhar Arshad; Ketua Pegawai Korporat, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Dato’ Wira Ir Roslan Ab Rahman;

Pengurus Besar, TNB Negeri, Dato’ Ir Sharuddin Mohd Simin; Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Dato’ Abdul Rahim Mohd Ali; Ketua Pegawai Eksekutif, YP Plantation Holdings Bhd, Dato' Kamarudin Koskani Abd Hamid;

Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Dato' Hamdan Husin; Yang Dipertua, Majlis Daerah Bentong, Encik Mohammad Shahid Ismail; dan, Ketua Polis Bentong, Supt Mohd Mansor Mohd Nor. – Khabar