Wednesday 22 June 2016

Kurangkan pergantungan pada pekerja asing – Perdana Menteri


CENDERAMATA BUAT PERDANA MENTERI... Dato' Sri Mohd Najib mengamati cenderamata yang diberikan kepadanya sebagai penghargaan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-70 ACCCIM. 

Selain Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato’ Ter Liong Yap (tiga dari kanan); serta, Tan Sri Lim Sing (dua dari kiri).
     
  
SULTAN AHMAD SHAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SASICC), KUANTAN – Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak hari ini menggesa pemain industri dan sektor swasta di ngara ini supaya meningkatkan penggunaan inovasi dan teknologi bagi mengurangkan pergantungan pada pekerja asing.

Memberikan contoh dalam industri pembinaan, Dato’ Sri Mohd Najib berkata, pelaksanaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) – komponen dibuat dalam persekitaran terkawal atau teknologi robotic; telah terbukti berjaya meningkatkan produktiviti.

“Saya ada dengar bahawa perniagaan-perniagaan memerlukan lebih banyak pekerja asing untuk meningkatkan produktiviti, yang akan menjana lebih banyak pendapatan. Jika kita dapat gunakan teknologi yang lebih baik, kita boleh kurangkan pekerja asing.

“Saya mahu syarikat dan sektor swasta memberikan tumpuan dalam meningkatkan produktiviti di masa depan kerana kita perlu bersaing di peringkat lebih tinggi, bukan hanya peringkat kawasan tempatan,” katanya.

Dato’ Sri Mohd Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-70, Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) pada pagi Rabu, 22 Jun di sini.

SAMBUTAN HANGAT BUAT PERDANA MENTERI... Dato' Sri Mohd Najib sedang bersalaman dengan para hadirin sambil Dato' Sri DiRaja Adnan menyusul di belakang. 


DOKUMENTASI ANTIPENCATUTAN

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob turut hadir pada majlis ini. Yang turut hadir ialah Presiden ACCCIM, Dato’ Ter Liong Yap; serta, Presiden Persatuan Perniagaan dan Perindustrian Cina Pahang, Tan Sri Lim Sing.

Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab kata Dato’ Sri Mohd Najib, beliau sentiasa memberi perhatian terhadap isu dan masalah dibangkitkan oleh sektor swasta dan pemain industry bagi memastikan mereka menerima semua bantuan diperlukan untuk membangunkan perniagaan masing-masing.

“Dalam pertemuan sebelum ini dengan ACCCIM, anda ada sebut tentang kesulitan daripada segi dokumentasi Akta Antipencatutan dan ini merupakan sesuatu yang kami boleh kaji. Adakalanya birokrasi boleh mengatasi perkara yang betul.

“Saya percaya sebagai sebuah Kerajaan, kami perlu mempermudahkan untuk menjalankan perniagaan di negara ini dan undang-undang yang ada juga patut mempermudahkannya. Saya akan bangkitkan memorandum anda pada mesyuarat Kabinet akan datang.

“Diharapkan dengan saling bekerjasama, kita dapat memastikan perniagaan akan terus maju dan makmur di Malaysia,”
katanya yang disambut tepukan gemuruh daripada para hadirin.

SENYUM SEMUA... Dalam sesi berfoto kumpulan. 



PERLUNYA KESTABILAN DAN KEHARMONIAN

Dato’ Sri Mohd Najib turut menegaskan tentang perlunya komuniti perniagaan Cina dan Bumiputera saling bekerjasama dalam memperkukuhkan ekonomi negara dan pada masa sama membantu Kerajaan mencapai objektifnya untuk memperkukuhkan lagi perpaduan antara kaum.

“Kita tahu orang Cina bijak dalam menjana wang, tetapi anda perlukan kestabilan dan keharmonian yang dapat menarik kedatangan lebih banyak pelabur.

“Hanya Kerajaan Barisan Nasional (BN) dapat menjamin itu. Kita terjemahkan konsep 1Malaysia iaitu kita boleh menyertai program perniagaan dan bekerjasama dan berkongsi kekayaan bersama-sama.

“Beritahu kami bagaimana kami dapat lakukannya dengan lebih baik lagi. Saya boleh beri jaminan kepada anda bahawa saya seorang pendengar yang baik. Saya tidak cakap banyak dan saya akan lakukan yang terbaik dalam apa yang saya lakukan.

“Mari bekerja bersama-sama. Saya percaya kita dapat lakukan lebih baik lagi dalam tahun-tahun mendatang, insya-Allah,” katanya lagi.

PADA MAJLIS MAKAN MALAM... Dato' Sri DiRaja Adnan turut meluangkan masa hadir malam sebelumnya, Selasa, 21 Jun pada Majlis Makan Malam sempena Ulangtahun ke-70 Dewan Perusahaan dan Perniagaan Cina Pahang.
 

‘FAKTOR BERALIH SOKONGAN’?

Beliau yang juga Pengerusi BN, turut menyentuh tentang masyarakat Cina yang tampil memberikan sokongan psikologi kepada BN pada pilihan raya negeri Sarawak Mei lepas dan pada Pilihanraya Kecil Parlimen kawasan Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Sabtu lepas.

Apa yang boleh difahamkan daripada kemenangan BN itu ialah katanya, masyarakat Cina telah menunjukkan hasrat untuk menyokong BN – satu-satunya parti yang dapat menjamin perpaduan dalam kepelbagaian di Malaysia, kestabilan dan keharmonian yang amat penting untuk membolehkan perniagaan berkembang maju.

“Saya percaya, kebanyakan orang Cina tidak terikat kepada mana-mana parti, dan mungkin berlaku ‘faktor beralih sokongan’ dalam pilihan raya umum akan datang, kepada BN atau sebaliknya.

“Tetapi, terdapat petanda positif dalam tahun-tahun kebelakangan ini bahawa rakyat mula sedar bahawa perpecahan politik tanpa objektif dasar yang jelas sedang berlaku dalam parti-parti pembangkang,”
katanya. – Bernama/Khabar