Friday 24 June 2016

Berbuka puasa bersama media


“Saya bangga dengan ‘collaboration’ ini – Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Menteri Besar, serta dengan Pasdec, LKPP dan Yayasan Pahang,” kata Dato' Abdul Wahab 

CENDERAMATA BUAT SEMUA... Kelihatan, Dato' Shahaniza sedang menyampaikan cenderamata kepada Sdr 'Ben' - Ketua, Berita dan Ehwal Semasa (BES), RTM Pahang.

Yang turut kelihatan ialah (dari kiri ke kanan) Dato' Nik Naizi; Dato' Rozilan; Dato' Abdul Wahab; dan, Encik Nasrul Hakim (separuh terlindung). 
      

MANGALA RESORT & SPA, GAMBANG, KUANTAN – Kira-kira 100 pengamal media tempatan hadir pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media Pahang anjuran bersama Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Menteri Besar pada petang Jumaat, 24 Jun di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin turut hadir sebagai tetamu utama bagi meraikan mereka.

Yang turut hadir ialah Ketua Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Dato’ Abdul Rahim Mohd Ali; Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Dato’ Rozilan Salleh;

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Dato’ Abdul Wahab Mohamad Ali; Timbalan Pengarah Penyiaran Pahang, Encik Nasrul Hakim Mohamad Nor; dan, Presiden, Kelab Media Pahang, Dato’ Nik Naizi Husin.

Kesemua organisasi media – Bernama, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times, the Star, Sinar Harian, Kosmo!, Harian Metro, China Press, Sinchew Daily, RTM, TV3, Astro Awani, dan, TV Al Hijrah, serta, portal berita – PahangKu; telah diwakili pada majlis petang ini.

MESRA DALAM SESI BERFOTO KUMPULAN... Inilah sebahagian daripada yang hadir pada malam Jumaat ini.


PUJI KESEPAKATAN SESAMA PENGAMAL MEDIA PAHANG

Kakitangan-kakitangan pentadbiran dari Pejabat Menteri Besar dan dari Bahagian Komunikasi Korporat, Pasdec Holdings Bhd – anak syarikat PKNP; turut hadir bagi memeriahkan lagi majlis.

Kehadiran semua pada awal petang Jumaat ini telah disambut oleh kakitangan resort dengan penuh mesra, kemudian dibawa bersiar-siar ke sekeliling kawasan resort yang baharu dibuka dan terletak berhampiran Plaza Tol Gambang ini.

Berbuka puasa tepat jam 7.21 petang, majlis disusuli solat Maghrib berjemaah di surau berhampiran, persembahan-persembahan ucapan oleh Dato’ Shahaniza, Dato’ Rozilan, Dato’ Abdul Wahab dan Dato’ Nik Naizi, serta, penyampaian cenderamata disusuli sesi berfoto kumpulan.

Dalam ucapannya, Dato’ Shahaniza telah memuji kesepakatan dalam kalangan pengamal media di negeri ini sepertimana terserlah lagi dengan kehadiran mereka beramai-ramai ke majlis berbuka puasa ini.

Beliau turut memuji kesepakatan antara Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Menteri Besar sehingga berjaya menganjurkan bersama, majlis ini sepertimana juga yang telah dilakukan pada tahun lepas.

WAKIL-WAKIL DARI PENGAMAL MEDIA BUKAN MELAYU TURUT HADIR...  Selain Sdr 'Zek' dari Astro Awani (berbaju Melayu hitam) ialah wakil-wakil dari akhbar Sin Chew Daily dan China Press - Sdr Halim (berbaju Melayu biru) dan Sdr Wang (berbaju-T putih). 


BANGGA DENGAN ‘COLLABORATION’ PEJABAT PM/MB/AGENSI NEGERI

Oleh kerana adanya kesepakatan itulah juga, beliau mengesyorkan agar majlis yang lebih besar - Malam Media Pahang dapat dianjurkan dengan sekali lagi menjadikan dewan bankuet resort ini sebagai ‘venue’nya.

Sebelum itu, Dato’ Abdul Wahab dalam ucapannya, menyebut tentang penganjuran majlis ini yang merupakan hasil kerjasama Pejabat Perdana Menteri serta agensi-agensi Kerajaan Negeri - Pasdec Holdings Bhd, Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Negeri, dan, Yayasan Pahang.

“Saya bangga dengan ‘collaboration’ ini – Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Menteri Besar, serta dengan Pasdec, LKPP dan Yayasan Pahang. Selain cenderamata disediakan oleh Pejabat Perdana Menteri, Pasdec dan Yayasan Pahang; juadah berbuka dibiayai oleh LKPP.

“Saya berharap, kerjasama sebegini akan berterusan pada masa-masa akan datang,” katanya lagi. 

DALAM UCAPAN ALUANNYA... Dato' Abdul Wahab sedang menyampaikan ucapan alu-aluannya. 

KETENANGAN DAN KEDAMAIAN, DI MANGALA RESORT & SPA... Pemandangan dari arah kolam renang ke bangunan dewan bankuet di sana. – Khabar