Tuesday 14 February 2017

10,000 lagi rumah mampu-milik PR1MA Pahang akan dibangunkan tahun ini

… selain, 103 projek dengan 36,452 unit rumah sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

MENURUNKAN TANDATANGANNYA...


TAPAK, PR1MA PAHANG IBOL JAYA, MUKIM PULAU TAWAR, JERANTUT – Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan lagi 10,000 rumah mampu-milik PR1MA Pahang di seluruh negeri pada tahun ini.

Ini selain daripada 103 projek melibatkan 36,452 unit yang sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, bagi memenuhi sasaran pembinaan 15,000 unit untuk tempoh lima (5) tahun sepertimana akujanji dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 lepas.

“Saya ingin beritahu semasa Pilihanraya Umum ke-13 dulu,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, “Kita berjanji akan membina sebanyak 15,000 unit rumah mampu milik ini dan kita namakan PR1MA Pahang, ambil sempena PR1MA Malaysia.

“Tapi sehingga kini; dari tahun 2013 hingga tahun 2016, kita telahpun meluluskan sejumlah 36,452 unit, bermakna kita melebihi target kita. Dan jumlahnya setakat ini – bilangan projek 103 projek, dan unit rumahnya 36,452 unit yang pelbagai-bagai peringkat, status.

“Ada yang kelulusan baharu, 26 projek; dalam proses kebenaran merancang, 33 projek; sudah lulus kebenaran merancang, 23 projek; dalam pembinaan, 17 projek; siap, empat (4) projek,” katanya pada persidangan media sempena Majlis Pecah Tanah PR1MA Pahang Ibol Jaya petang Selasa, 14 Februari di sini.

MENGENDALIKAN JENGKAUT... Maka rasmilah majlis pecah tanah pagi Selasa ini.


FASA PERTAMA, 300 UNIT SIAP DALAM DUA TAHUN

Di tapak PR1MA Pahang Ibol Jaya ini, akan dibina sebanyak 646 unit rumah berkembar berharga RM150,000 sebuah. Fasa pertama pembinaannya melibatkan kira-kira 300 unit, dijangka siap dalam tempoh dua (2) tahun.

Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyatakan kesedihannya kerana rumah mampu milik PR1MA Pahang ini boleh dikatakan masih tinggi yang jika pasangan suami-isteri bekerja dengan pendapatan seisi rumah bulanan RM6,000 sahaja mampu membayar ansuran bulanan bagi pinjaman untuk memiliki rumah berkembar tersebut.

(Yang kerana itu jugalah, Kerajaan Negeri melakukan penambah-baikan dengan memperkenalkan Rumah Makmur – rumah teres setingkat berharga RM80,000 sebuah yang satu daripadanya sedang dilaksanakan di Kampung Tiram, Kuantan).

Sehubungan itulah katanya, beliau sendiri akan cuba menghadiri mesyuarat Majlis Perumahan Negara yang akan datang yang pada kebiasaannya dihadiri oleh Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Dan saya juga akan membawa perkara ini, untuk kita cari kaedah – bukan sahaja rumah (yang dibina) ini mampu milik, tapi juga mampu bayar.

BAKAL PEMBELI DALAM KALANGAN PARA HADIRIN SEKELIAN...


KENAPA BANK SUKAR BERI PINJAMAN RUMAH?

“Saya telah bertanya dengan pakar-pakar bank dan soal yang saya timbulkan ialah, kenapa bank sukar memberi pinjaman? Mereka memberitahu saya bahawa memang bank suka memberi pinjaman.

“Tapi mereka (pihak bank) kaji juga latar belakang pemohon berkenaan – berapa gajinya, berapa bayar hutangnya dan sebagainya. Dan mereka lihat kalau misalannya baki pendapatan bulanan tidak mampu membayar ‘loan’, maka tak boleh (diluluskan). Maknanya, patut jugalah (tidak beri pinjaman),” katanya.

Selain Dato’ Sri Wan Rosdy serta Ahli Parlimen Jerantut, Dato’ Ahmad Nazlan Idris dan wakil rakyat setempat, Dato’ Dr Ahmad Shukri Ismail (BN – Pulau Tawar); yang turut hadir ialah Pegawai Daerah Jerantut, Tengku Asmaliza Ku Lah.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 23-MINITNYA... Pada awal-awal ucapannya lagi, beliau berseloroh betapa bukan beliau hendak menyanyi apabila mengambil mikrofon untuk berucap luar daripada tempat 'rostrum'nya. – Khabar