Tuesday 14 February 2017

Apabila MB sebak, bergenang airmatanya

... semasa menyentuh tentang hubungan yang harus terus kekal mesra antara suami-isteri dalam kalangan peneroka, yang telah menempuhi susah-senang bersama sehinggalah perolehi suratan hakmilik tanah berkenaan.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 33-MINITNYA... Yang pada akhir ucapannya inilah, beliau sebak serta bergenang airmatanya.


DEWAN SEMAI BAKTI, RANCANGAN TANAH FELDA KOTA GELANGGI 02, JERANTUT – Suasana keceriaan dalam Dewan ini tiba-tiba hening apabila Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sebak serta bergenang air matanya seketika pada penghujung ucapan luar teks 33-minitnya;

Bersempena Majlis Penyampaian Suratan Hakmilik Tanah kepada 121 peneroka Rancangan Tanah Felda Kota Gelanggi 04 bersebelahan, yang diadakan di sini pagi Selasa, 14 Februari.

Dato’ Sri DiRaja Adnan sebak ketika mengisahkan tentang perlunya suami-isteri dalam kalangan peneroka yang ‘susah-senang’ bersama selama ini, supaya meneruskan hubungan akrab mereka sungguhpun kini memperolehi suratan hakmilik ke atas tanah dikerjakan.

“Masuk Felda sama-sama muda, sekarang dah tua…,” katanya yang jelas kedengaran dalam nada sebaknya.

“Kita tengok (semasa) dia tidur - ‘Inilah bini aku, susah-senang dengan aku’…,” katanya lagi sehingga menyebabkan Dewan yang dipenuhi peneroka dan orangramai, hening seketika.

MENYAMPAIKAN... Selain Dato' Sri DiRaja Adnan; yang turut kelihatan ialah Dato' Dr Ahmad Shukri (berbaju warna merah); Dato' Ahmad Nazlan (Bersongkok); Dato' Abu Bakar; dan, Encik Abdul Malek (di belakang, kiri sekali).


JANGANLAH TUKAR KERAJAAN

Dan Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya menganalogikan kisah hubungan suami-isteri ini dengan hal pemilihan Kerajaan – betapa tiada keperluan untuk menukar isteri atau suami, apatah lagi untuk menukar sebuah Kerajaan.

“Jadi maknanya, kalau suami, isteri; kita susah nak tukar, janganlah kita tukar Kerajaan. Bukan senang,” katanya lagi dalam nada sebak. “Buruk-burukpun, tok sah (jangan)…,” katanya yang serentak itu menerima tepukan.

Beliau turut meminta agar suratan hakmilik tanah yang diterima hari ini – selepas lebih 40 tahun mengerjakan tanah ladang masing-masing sejak rancangan tanah seluas 535 hektar ini dibuka pada tahun 1974, tidak mudah-mudah untuk dijualkan.

Dalam ucapannya juga, beliau turut mendedahkan betapa pada perkiraannya, kenaikan harga minyak khususnya jenis RON95 pada tahun lepas, hanyalah lima (5) sen pada keseluruhannya.

Adalah difahamkan, perkiraannya itu berdasarkan kepada harga minyak tersebut yang turun-naik pada setiap bulan, sepanjang tahun tersebut. Pada Januari, harganya ialah RM1.85 sen seliter; turun 10 sen kepada RM1.75 sen seliter pada Februari;

HADIRIN, HADIRAT SEKELIAN... Sebahagian daripada yang hadir pagi Selasa ini.


TURUN-NAIK HARGA MINYAK

Turun lagi 15 sen kepada RM1.60 seliter pada Mac; tetapi naik 10 sen kepada RM1.70 sen pada April; kekal pada harga RM1.70 sen seliter pada bulan-bulan Mei dan Jun; tetapi naik semula lima (5) sen kepada RM1.75 sen seliter pada Julai;

Kekal pada RM1.75 sen pada Ogos; turun pula lima (5) sen kepada RM1.70 sen pada September; naik 10 sen kepada RM1.80 sen pada Oktober; naik lagi 15 sen kepada RM1.95 sen pada November; dan turun pula lima (5) sen kepada RM1.90 sen pada Disember.

Pada persidangan media kemudian, Dato’ Sri DiRaja Adnan mengulangi perkara-perkara yang diucapkannya ini seterusnya mengulas isu-isu yang ditanyakan termasuklah soal keselamatan penduduk di tapak bekas lombong bauksit.

Ini adalah susulan daripada kejadian lemas yang mengorbankan tiga (3) kanak-kanak – Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10; adik beradik, Sasabella Zulhairi, 12, dan, Mahathir Mohamad,7; dalam kolam bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya, Kuantan pada petang 4 Februari lepas.

Lanjutan itu, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Ahmad Shah menitahkan agar langkah diambil oleh pihak-pihak berwajib, untuk menimbus kolam tersebut bagi mengelak kejadian yang sama berulang.  

MERASMI DAN MENINJAU SURAU AL-ATHAR, SURAU MODERN DI RANCANGAN TANAH FELDA KOTA GELANGGI 04...


PERMIT 4C DISALAHGUNAKAN?  

“Saya telah beritahu PTG (Pengarah Tanah dan Galian Negeri) untuk membuat siasatan dan kita dapati, tempat tiga (3) anak malang yang terkorban sebenarnya ialah kawasan hakmilik persendirian – bukan tanah Kerajaan, (tapi) tanah orang.

“Atas tanah orang itu mereka mengeluarkan bauksit secara haram,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

(Menurut sumber, pengusaha di tapak yang terdapat kolam berkenaan, telah memohon dan memperolehi Permit 4C. Dan Permit 4C yang diperolehi daripada pihak pentadbiran tanah, ialah bagi kebenaran mengeluar, mengalih dan mengangkut bahan batuan seperti laterit dan pasir.

(Bagaimanapun, pengusaha tersebut telah menyalahgunakan Permit 4C tersebut untuk mengeluar dan mengangkut bauksit yang diklasifikasikan sebagai mineral, yang dengan itu perlu mendapatkan Lesen Melombong).

(Menurut sumber yang sama, sejak Julai 2015 lagi, Kerajaan Negeri telahpun membatalkan kesemua Permit 4C berkenaan).

PTG DIARAH AMBIL LANGKAH SEWAJARNYA

“Pihak PTG akan menyusur langkah-langkah sewajarnya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

“Kita memang bersimpati. Ahli Exco (Kerajaan Negeri, Dato’ Shahaniza Shamsuddin) telahpun pergi ke rumah mereka. Keluarga ini memang perlu dibantu. Tiga anaknya cacat, ayahnya kerja pengawal keselamatan.

“Kita akan bantu keluarga dia,” katanya lagi.

Selain Ahli Parlimen, Dato’ Ahmad Nazlan Idris dan wakil rakyat setempat, Dato’ Dr Ahmad Shukri Ismail (BN – Pulau Tawar); antara yang turut hadir pada majlis pagi Selasa ini ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Abu Bakar Harun; Pegawai Daerah Jerantut, Tengku Asmaliza Ku Lah; dan, Pengurus Besar, Felda Wilayah Jengka, Abdul Malek Rani. – Khabar