Wednesday 15 February 2017

RM4.5 juta untuk bangunkan semula blok asrama terbakar, SMA Maran

… selain sumbangan Ahli Parlimen Maran, RM10,000, serta, daripada Yayasan Pahang, RM1,000 seorang bagi 73 pelajar terbabit kebakaran. 

MENINJAU KESAN KEBAKARAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menunjukkan sesuatu sambil yang lain memerhatikan. Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Dato' Syed Ibrahim (kiri sekali) dan Dato' Mahmud.   
 
 
SEKOLAH MENENGAH AGAMA (SMA) MARAN, MARAN – Blok asrama sekolah menengah ini yang terbakar pada kejadian 7 Februari lepas, akan dibangunkan semula dengan peruntukan antara RM4 juta dan RM4.5 juta sumbangan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).
 
Berita gembira ini diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan sempena lawatan kerja serta majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar-pelajar terbabit, pagi Rabu, 15 Februari di sini.
 
Kerja-kerja pembangunan semula – satu blok konkrit empat (4) tingkat menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, ECERDC Pahang, akan dilaksanakan segera dan dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua (2) tahun.
 
Selain ECERDC yang induknya dipengerusikan oleh Perdana Menteri, beliau juga mengumumkan sumbangan Ahli Parlimen Maran kepada pihak sekolah, RM10,000, serta, daripada Yayasan Pahang (YP), RM1,000 bagi setiap seorang daripada 73 pelajar yang terbabit kebakaran.
 
“… dalam satu-satu perkara itu adalah hikmahnya,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dalam ucapan luar teks 23-minitnya.
 
BUAT MELEGAKAN BEBANAN... Setiap seorang daripada 73 pelajar menerima sumbangan YP daripada Dato' Sri DiRaja Adnan. Selain Dato' Mahmud, yang turut kelihatan ialah Dato' Sri Ismail (bersongkok, berbaju warna biru).
 
 
ADA HIKMAH DISEBALIK SATU-SATU INSIDEN
 
“Apa hikmahnya? Ha, ini saya nak beritahu – pertama sekali, ECER yang saya pengerusikan juga di Pahang ini, telahpun bersetuju untuk membina semula asrama Sekoleh Menengah Agama Maran ini,” katanya yang serentak itu menerima tepukan.
 
“Kita akan bina semula empat (4) tingkat. Kos antara RM4 (juta) ke RM4.5 juta, jalan serta-merta…,” katanya yang sekali lagi mendapat tepukan.  
 
“… Dato’ Mahmud (Nawawi) jumpa saya dia kata Yayasan (Pahang; YP) boleh bagi RM500. Dato’ Mahmud, CEO (Pengurus Besar YP), Pengerusinya, MB lagi. MB tanya Dato’ Mahmud, duit ada? Ada (jawab Dato’ Mahmud).
 
“(Maka kata MB) bagi RM1,000. Jadi anak-anak ini akan dapat RM1,000 seorang,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan yang sekali lagi menerima tepukan gemuruh para hadirin di dalam dewan ini.
 
Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat yang telah tiba dengan cepat – lapan (8) minit, untuk memadamkan kebakaran pada hari kejadian.
 
LAGI PENERIMA, DISIPILIN BERATUR UNTUK MENERIMA SUMBANGAN MASING-MASING...
 
 
TAHNIAH KEPADA BOMBA
 
“Lapan (8) minit saya telah diberitahu, mereka telah sampai dan telah dapat mengawal kebakaran. Kalau ikut laporan oleh pihak Bomba tadi, kalau tak dikawal, dibiarlah api tu; satu kompleks ini boleh terbakar,” katanya.
 
Sambil itu, beliau mahukan kejadian 7 Februari itu dijadikan pengajaran kepada semua pihak tentang kepentingan untuk sentiasa berhati-hati terutamanya dalam aspek keselamatan.
 
Para pelajar juga dinasihatkannya supaya ‘belajarlah rajin-rajin, belajar bersungguh-sungguh’ kerana ilmu perlu terus dipelajari tidak kira usia, malah sehinggalah ke akhir hayat.  
 
“Sampai sekarangpun,” menurutnya yang sudah berusia 66 tahun, “Pak Long belajar lagi. Belajar balik semula undang-undang, kursus empat (4) tahun jadi dua (2) tahun sahaja. (Sudah) habis semester satu, tinggal tiga semester lagi. Mula 2016, tamat 2018.
 
“Tapi jangan cakap kuat-kuat; semester satu hari itu, (dapat keputusan) 4A 1A-,” katanya, serentak itu berderai tepukan. “CGPA (Cumulative Grade Point Average), 3.943,” katanya, sekali lagi tepukan.
 
BERKONGSI KEGEMBIRAAN... Dato' Sri Ismail, bersama-sama dengan Dato' Mohd Ghazali (depan, kanan sekali); Dato' Mohd Shahaimi (depan, kiri sekali); dan, Encik Shamsuri (depan, dua dari kanan); turut mengambil kesempatan untuk bersesi foto kumpulan dengan sebahagian daripada penerima pagi Rabu ini. 
 
 
NAK TUNJUKKAN CONTOH, BUKAN BANGGAKAN DIRI
 
“Ini bukan bangga(kan diri tapi) nak tunjukkan contoh kepada anak-anak. Kalau saya boleh belajar lagi, tak ada sebab anak-anak tak boleh belajar. Belajar rajin-rajin,” katanya penuh semangat.
 
Selain Ahli Parlimen Maran, Dato’ Sri Ismail Mutalib; antara yang turut hadir ialah Pengerusi, Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri, Dato’ Syed Ibrahim Syed Ahmad;
 
Anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Shafik Fauzan Sharif, Dato’ Shahaniza Shamsuddin dan Dato’ Norol Azali Sulaiman; wakil rakyat setempat, Puan Nurhidayah Mohd Shahaimi (BN – Luit);
 
Pegawai Daerah, Dato’ Syed Fuad Syed Taha; Timbalan Pengarah, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Mohd Ghazali Abdul Aziz; Pengurus Besar, Bahagian Korporat dan Perancangan Strategik, ECERDC, Dato' Ragu Sampasivam;
 
Yang Dipertua, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), SMA Maran, Dato’ Mohd Shahaimi Osman yang juga ayah kepada wakil rakyat, Puan Nurhidayah; dan, Pengetua sekolah ini, Encik Shamsuri Shamsuddin. – Khabar