Thursday 21 January 2021

Bantuan pasca banjir Kerajaan Negeri untuk rakyat

… termasuk pertimbangan sumbangan ‘one-off’, serta rebat bil air sehingga RM15 kepada mereka terkesan banjir.

DARI LUAR JENDELA... Dato' Sri Wan Rosdy sedang membersihkan tingkap sekolah yang kini kelihatan bersih berbanding kotor/berlumpur sebelumnya akibat banjir yang turut melanda sekolah menengah ini.

 

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN MENGKARAK, GUAI, BERA – Lagi sikap dan amalan peduli rakyat ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri, kali ini dengan pengenalan pelbagai usaha membantu mereka terjejas banjir dalam tempoh pasca banjir ini.

Antaranya, sepertimana diumumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail tengah hari Khamis, 21 Januari; ialah pertimbangan sumbangan tunai ‘one-off’ serta rebat bil air sehingga RM15 bagi bulan Januari ini, untuk setiap keluarga atau Ketua Isi Rumah (KIR).

Kepada peniaga-peniaga yang menyewa gerai-gerai milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan mengalami rosak teruk akibat banjir, mereka diberi pengecualian membayar sewa bulanan bagi satu tempoh sehingga gerai-gerai terbabit dipulihkan sepenuhnya.

“Dengan bantuan-bantuan yang dicadangkan ini setakat ini, diharap ia adalah memadai demi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini, In Sya Allah,” kata Dato’ Sri Wan Rosdy.

Beliau berkata demikian pada persidangan media sempena kehadiran dan penyertaannya pada program anjuran Sukarelawan Pahang membersihkan premis dan persekitaran terjejas banjir di sini.

KERJA-KERJA PEMBERSIHAN DI LUAR BANGUNAN... Antara yang turut kelihatan dalam foto ini ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang juga wakil rakyat setempat (BN - Guai), Dato' Sri Norolazali Sulaiman (tiga dari kiri).

BANJIR MELANDA NEGERI KECUALI CAMERON HIGHLANDS

Berikut disiarkan sepenuhnya kenyataan media beliau itu –

KENYATAAN MEDIA

YAB MENTERI BESAR PAHANG

 

Bantuan Pasca Banjir Pahang

Susulan bencana banjir yang melanda negeri ini kecuali Cameron Highlands baru-baru ini, Kerajaan Negeri bersetuju kepada beberapa cadangan bagi membantu mangsa-mangsa banjir menghadapi tempoh pasca banjir.

Ini sepertimana diputuskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang saya pengerusikan pagi Rabu, 20 Januari 2021, dan antara bantuan-bantuan yang dipersetujukan setakat ini ialah –

1) Menyediakan sejumlah peruntukan untuk tempoh masa tertentu kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang perlu menyewa rumah lain akibat kehilangan rumah mereka sepenuhnya (total lost) akibat banjir.

2) Pertimbangan untuk memberi sumbangan ‘one-off’ pada kadar tertentu kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dengan Pusat-pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) di daerah masing-masing.

3) Pemberian rebat kepada Ketua Isi Rumah (KIR) sehingga RM15 bagi kegunaan air domestik untuk bulan Januari 2021.

4) Bagi rumah yang kehilangan sepenuhnya (total lost), rebat penuh kegunaan air diberikan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) terbabit untuk bulan-bulan Januari dan Februari 2021.

5) Pengecualian sewa untuk bulan Januari 2021 kepada penyewa-penyewa di gerai-gerai milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terkesan banjir.

6) Pengecualian sewa gerai-gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk satu tempoh sehingga gerai-gerai terbabit dipulihkan sepenuhnya bagi gerai-gerai yang mengalami rosak teruk akibat banjir.

7) Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah (PDT) dikehendaki mengemas-kinikan maklumat terperinci tentang mangsa-mangsa banjir termasuk jenis kerosakan rumah dialami, bagi tujuan penyaluran bantuan susulan oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), serta sumbangan Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

8) Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah (PDT) akan menyelaraskan usaha mengesan rumah-rumah mangsa banjir yang perlu diberi bantuan kerja-kerja penyelenggaraan pendawain elektrik yang rosak akibat banjir.

9) Mempersetujukan cadangan pengwujudan Pusat Penempatan Serbaguna (PPS) secara kekal bagi penempatan mangsa-mangsa banjir terutamanya di daerah-daerah terkesan teruk iaitu Kuantan, Pekan, Maran dan Temerloh. PPS ini akan terbuka kepada kegunaan aktiviti lain semasa di luar musim banjir.

Dengan bantuan-bantuan yang dicadangkan ini setakat ini, diharap ia adalah memadai demi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini, In Sya Allah.

 

DATO’ SRI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL 

Menteri Besar Pahang

21 Januari 2021 

LUMPUR DI MERATA-RATA... – Khabar