Saturday 9 January 2021

Kerajaan Negeri tambah lagi RM8 juta jadi RM11 juta, untuk keperluan harian mangsa banjir

“Dengan peruntukan tambahan yang disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri ini diharap, kebajikan rakyat dalam kalangan mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri ini, dapat terus terpelihara,” kata Menteri Besar.

TINJAUAN BANJIR KE KAWASAN SENDIRI PAGI SABTU... Tinjauan banjir oleh Menteri Besar ke kawasan sendiri (BN - Jelai) pagi Sabtu, 9 Januari turut meliputi ke tebing jambatan gantung yang rosak akibat banjir di Kampung Bertang, Lipis. 

Selain Pegawai Daerah, Dato' Mohd Hafizi Ibrahim (kiri), yang turut kelihatan ialah pegawai khas Menteri Besar di kawasan, Encik Asyhar Amin Ahmad (kanan) yang juga Penghulu Mukim Hulu Jelai.   


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri telah menambah peruntukan lagi RM8 juta menjadikan RM11 juta bagi memenuhi keperluan harian mangsa-mangsa banjir terutamanya ditempatkan di Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini.

Menurut Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, peruntukan tambahan RM8 juta ini diluluskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pagi Jumaat, 8 Januari 2021.

“Dengan peruntukan tambahan yang disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri ini diharap, kebajikan rakyat dalam kalangan mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri ini, dapat terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehingga kini katanya, JKM sendiri pula telah membelanjakan kira-kira RM3.4 juta yang sebahagian besarnya atau kira-kira RM2.9 juta, digunakan untuk pembelian barangan keperluan harian mangsa-mangsa banjir di PPS.

Selainnya kira-kira RM434,000 ialah bagi perbelanjaan untuk keperluan harian mangsa-mangsa banjir di Kawasan Terputus Hubungan (KTH); kira-kira RM19,748 diagihkan ke Pejabat-pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD); dan kira-kira RM16,900 ke Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB).

MENDOAKAN KERAHMATAN ROH MANGSA BANJIR... Dato' Sri Wan Rosdy turut bertandang ke rumah mangsa lemas akibat banjir Sungai Jelai -- Allahyarhamah Rozi Omar dan anak perempuannya, Allahyarhamah Nur Zakirah Ahmad; di rumah mereka di Kampung Bertang.

PERUNTUKAN KEDUA TERTINGGI SEJAK 2014/2015

(Berdasarkan rekod JKM Negeri yang dikemaskini setakat Khamis, 7 Januari; perbelanjaan kira-kira RM3.4 juta ini ialah untuk tempoh lima (5) hari sejak bermulanya banjir di negeri ini iaitu di Maran pada Sabtu, 2 Januari sehinggalah Rabu, 6 Januari).

Peruntukan keseluruhan sebanyak RM11 juta bagi tahun 2021 ini kata Dato’ Sri Wan Rosdy, ialah yang kedua tertinggi sejak bencana banjir besar tahun 2014/2015 membabitkan kira-kira 100,000 mangsa melibatkan peruntukan kira-kira RM57 juta.

Peruntukan yang Kerajaan Negeri sediakan untuk tahun 2016 ialah hanya kira-kira RM16,493; tahun 2017 kira-kira RM1.9 juta; tahun 2018 kira-kira juga RM1.9 juta; dan tahun 2019 hanya kira-kira RM46,200.

Nilai peruntukan yang berbeza-beza ini menurut Dato’ Sri Wan Rosdy lagi, adalah berdasarkan keperluan dan tahap seriusnya bencana banjir yang dialami pada tahun-tahun berkenaan.

Mengenai status terkini PPS katanya, JKM Negeri turut memaklumkan bahawa setakat semalam, Sabtu, 9 Januari 2021; daripada 425 PPS yang telah dibuka, sebanyak 145 buah telahpun ditutup manakala 280 buah masih aktif menempatkan 26,091 mangsa daripada 7,256 keluarga.

DITEMUBUAL 'LIVE' DALAM PROGRAM BERITA BULETIN UTAMA TV3... Jam 8 malam Sabtu, 9 Januari juga, bertempat di PPS Wisma Belia, Indera Mahkota, Kuantan. Turut kelihatan di belakang ialah Ketua Polis Negeri, Dato' Sri Abd Jalil Hassan.  

PENTINGKAN KESELAMATAN/KESIHATAN, SERTA SOP COVID-19

“Sehubungan itu, saya sekali mengingatkan mangsa-mangsa banjir, petugas dan sukarelawan sama ada di PPS mahupun di lapangan, agar sentiasa mementingkan keselamatan dan kesihatan diri terutamanya dalam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapkan bagi membendung penularan wabak pandemik COVID-19.

“Sama-samalah kita menghadapi dugaan yang mencabar ini dan bersama-samalah #kitajagakita. Dengan keredaan Allah Subhanahu Wata‘ala juga, kita akan berjaya, In Sya Allah,” katanya

CEF-CEF 'BIDAN TERJUN KITA'... Dato' Sri Wan Rosdy dibantu Dato' Sri Abd Jalil, sedang menggoreng mi goreng 'mamak' hingga masak, kemudian menjamahnya. Masakan ini merupakan hidangan untuk 'supper' bagi mangsa-mangsa banjir di PPS, Wisma Belia. – Khabar