Monday 11 January 2021

Hujan lebat luar biasa, turun hampir serentak punca sebenar banjir di Pahang

“Bukan sebab penerokaan hutan/tanah yang jika benar maka mewajarkan lagi usaha keras Kerajaan Negeri membendungnya di seluruh negeri termasuk Raub, dan terbukti dengan kejayaan di Sungai Ichat dan Lembah Bertam, Cameron Highlands baru-baru ini”.

MELAWAT-TINJAU DAN MENANYA KHABAR DI PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA (PPS) SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KUALA KRAU PAGI ISNIN, 11 JANUARI...  

kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Hujan lebat luar biasa dan turun hampir serentak di seluruh Pahang ialah punca berlakunya banjir di negeri ini, bukannya akibat penerokaan hutan/tanah yang didakwa berlaku secara berleluasa dan tidak terkawal.

Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Pahang, ini disahkan menerusi laporan awal oleh jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Jabatan Metereologi (MetMalaysia) Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri.

Kenyataan ini dikeluarkan sebagai maklum-balas kepada laporan muka depan akhbar Berita Harian semalam, Isnin, 11 Januari di bawah tajuk besar ‘Hutan kena gondol punca banjir berlumpur’.

“Bukan sebab penerokaan hutan/tanah yang jika benar maka mewajarkan lagi usaha keras Kerajaan Negeri membendungnya di seluruh negeri termasuk Raub, dan terbukti dengan kejayaan di Sungai Ichat dan Lembah Bertam, Cameron Highlands baru-baru ini,” menurut kenyataan itu.

Yang dimaksudkan kejayaan di Sungai Ichat dan Lembah Bertam ialah apabila Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, bertindak tegas dan konsisten ke atas aktiviti penerokaan hutan/tanah secara haram di sana.

LAWAT-TINJAU MANGSA BANJIR DI JERANTUT PULA PAGI SELASA, 12 JANUARI... Lokasi di PPS Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPTR).

DATA-DATA

Susulan itulah misalnya, kandungan air Sungai Ichat yang tercemar teruk hingga tahap empat (4), telah berjaya dipulihkan ke tahap satu (1) yang air mentahnya bersih dan boleh diminum begitu sahaja.

Menurut kenyataan itu lagi, rekod dua (2) tempoh masa pada Januari 2021 (setakat 10 Januari) dan Disember 2020 menunjukkan daerah Maran menerima purata hujan masing-masing 253 milimeter (mm) dan 55 mm.

Pekan, masing-masing 238 mm dan 136 mm; Kuantan, masing-masing 234 mm dan 144 mm; Rompin, masing-masing 220 mm dan 137 mm; Jerantut, masing-masing 180 mm dan 67 mm; Raub, masing-masing 173 mm dan 92 mm.

Temerloh, masing-masing 163 mm dan 82 mm; Lipis, masing-masing 143 mm dan 53 mm; Cameron Highlands, masing-masing 143 mm dan 83 mm; Bentong, masing-masing 109 mm dan 79 mm; dan Bera, masing-masing 60 mm dan 79 mm.

Di Maran – daerah pertama dibanjiri; bacaan turunan hujan pada 3 Januari 2021 sahaja ialah 285 mm di Ladang Chenor, 281 mm di Lubuk Paku, 193.5 mm di Kampung Chenor, 88.5 mm di Rancangan Tanah Felda Kampung Awah, dan 77 mm di Bandar Jengka.

MENERIMA SUMBANGAN PIHAK SWASTA BAGI TABUNG BENCANA BANJIR PAHANG...

ASPEK PEMELIHARAAN HUTAN DIIKTIRAF BADAN BERWAJIB

Angka-angka yang direkodkan ini menurut kenyataan itu lagi, membuktikan betapa sememangnya hujan turun lebat secara luar biasa dan ia menjadi punca kepada berlakunya banjir di negeri ini.

Mengenai dakwaan penerokaan hutan/tanah berleluasa dan tidak terkawal, kenyataan itu juga menyebut bahawa sebenarnya, aspek penjagaan hutan di negeri ini adalah keseluruhannya baik sepertimana diiktiraf oleh badan-badan berwajib.

Adalah hakikat bahawa menurut kenyataan sama, keluasan seluruh Hutan Simpanan Kekal (HSK) di negeri ini ialah kira-kira 1.55 juta hektar dan angka ini kekal stabil sungguhpun setiap tahun, sumber hutan masih menjadi punca pendapatan hasil negeri.

Kestabilan ini pula dicapai kerana Kerajaan Negeri mempraktikkan pengurusan hutan secara berkekalan (‘sustainable forest management’) yang menerusinya, kawalan ke atas hasil hutan dilaksanakan bagi menjamin agar kawasan hutan tetap terpelihara.   

Daripada 1.55 juta hektar HSK tersebut, 999,158 hektar atau 64.43 peratus boleh dibalak manakala bakinya, 551,528 hektar atau 35.57 peratus ialah hutan tidak boleh dijalankan pembalakan atas sebab-sebab termasuk sebagai kawasan tadahan air yang sangat sensitif.

LAGI SUMBANGAN DITERIMA...

TAK PERNAH MEMBALAK LEBIHI CATUAN TEBANGAN TAHUNAN

Di kawasan HSK yang boleh dibalak inipun, ianya sentiasa diaudit di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (MTCS) kendalian Majlis Persijilan Kayu Malaysia (MTCC), yang mengeluarkan ‘Malaysia Criteria and Indicators For Forest Management Certification’ (MC & I).

Kenyataan itu juga menyebut betapa Pahang – saiznya, 3.6 juta hektar atau bersamaan gabungan keluasan negeri-negeri Kelantan (1.5 juta hektar), Terengganu (1.3 juta hektar) dan Selangor (791,000 hektar); tidak melakukan pembalakan melebihi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) sepertimana Majlis Tanah Negara (MTN) tetapkan.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11, 2016 – 2020), CTT ditetapkan ialah 13,687 hektar namun untuk tahun 2019 sahaja menurut kenyataan itu lagi, luas kawasan yang dibalak masih jauh daripada yang ditetapkan iaitu cuma 10,313 hektar.

“Ini semua tidak lain membuktikan bahawa, daripasa aspek penjagaan hutan di Pahang, ia masih terpelihara sunggupuhpun tidak dinafikan tentang gejala penerokaan haram yang sentiasa dipantau dan diambil tindakan tegas mengatasinya, insyaAllah,” menurut kenyataan itu lagi.

LAPORAN BERITA SEPERTIMANA TERSIAR PADA HALAMAN 15, BERITA HARIAN TERBITAN RABU, 13 JANUARI 2021... – Khabar