Sunday 26 August 2012

Syahdu dan Ceria pada Aidil Fitri


DALAM PENUH KESYAHDUAN... Mengaminkan doa setelah selesai menunaikan solat.


kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Aidil Fitri terus disambut dengan penuh kesyahduan dan keceriaan pada Ahad, 19 Ogos bersamaan 1 Syawal 1433 H,  bermula dengan solat sunat Aidil Fitri dua (2) rakaat.

Di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 dekat sini, solat sunat berjemaah tersebut sepertimana kelaziman, turut menyaksikan KDYMM Sultan Pahang dan anakanda, KDYTM Tengku Mahkota Pahang, telah berangkat mencemar duli untuk sama-sama menunaikannya.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, dan Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan turut menyertai pada solat tersebut yang diimamkan oleh Imam 1, Encik Mohd Khalil Mohd Zari.

Selesai solat sunat, ialah salam-bersalaman yang boleh mengeratkan tali silaturrahim sesama jemaah tanpa mengira latar darjat mahupun usia. Lanjutan itulah, tradisi kunjung-mengunjung bermula…  

DAKAPAN MESRA UMARA' KITA...


KEBERANGKATAN KDYTM TENGKU MAHKOTA... Ke Rumah Terbuka Aidil Fitri Menteri Besar di Dewan Konvensyen Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan pada 1 Syawal. Lihatlah ramainya hadirin memenuhi ruang dalam Dewan yang menyerikan lagi majlis rumah terbuka tersebut.


MENYAMBUT KEHADIRAN TETAMU... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang bersalaman dengan anggota keluarga Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail (kanan). Yang turut kelihatan ialah Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato' Zulkifli Yaakob (berbaju Melayu merah jambu). 


HADIRIN DAN HADIRAT... Ini merupakan sebahagian daripada mereka yang hadir pada Rumah Terbuka Aidil Fitri Menteri Besar dalam pakaian penuh segak dan bergaya. - Khabar