Wednesday 15 August 2012

Tasik Chini semakin pulih



Laporan ia bakal lenyap tahun 2030 ialah sebelum usaha pemulihan diambil, tetapi kini usaha tersebut sedang dilaksanakan


PERHATIAN BERAT DAN KHUSUS BUAT TASIK CHINI... Dato' Sri DiRaja Adnan diberi penerangan oleh Prof Dato' Dr Mushrifah semasa lawatan ke pameran selepas Menteri Besar merasmikan Forum Antarabangsa Pengurusan Bersepadu Lembangan Tasik Chini yang diadakan pada 7 Julai 2009 di sebuah hotel di Kuantan. 

Sudah tentu ekoran pemerhatian berat Kerajaanlah maka forum ini dianjurkan, yang tumpuan utama tentulah ke arah memastikan Tasik Chini terus terpelihara. 


KOMPLEKS YAYASAAN PAHANG, TANJUNG LUMPUR, KUANTAN – Tasik Chini semakin pulih sejak pelbagai usaha pemulihan dilaksanakan di bawah seliaan Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada awal tahun 2000 lagi.

Maka, dakwaan mengatakan ia dalam keadaan nazak dan akan lenyap menjelang tahun 2030 sepertimana kata Transparency International (TI) yang dilaporkan oleh dua (2) akhbar tempatan, adalah tidak tepat.

Dan ketidak tepatan ini malangnya, ekoran badan tersebut dipercayai menggunakan laporan oleh PPTC sendiri mengenai tasik tersebut semasa mula-mula usaha pemulihan hendak dijalankan.  

“Sejak mula hingga kini, keadaannya semakin pulih (maka tidak timbul lagi jangkaan awal PPTC sendiri betapa tasik tersebut bakal lenyap),” kata Ketua Koordinator, PPTC, UKM, Prof Dato’ Dr Mushrifah Idris.

Prof Dato’ Dr Mushrifah berkata demikian pada persidangan media oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengenai tasik semulajadi berkenaan, ketika Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri berhenti rehat seketika pada pagi Rabu, 15 Ogos di sini.

BUNGA TERATAI, TANDA KEMEGAHAN TASIK CHINI...


TIADA LAGI ‘E-COLI’ DI TASIK CHINI

Akhbar-akhbar tersebut pada Isnin, 13 Ogos telah melaporkan secara negatif mengenai Tasik Chini. Berita Harian dalam laporan muka depan bertajuk besar ‘Tasik Chini bakal lenyap 2030’ antara lain menyebut;

“Tasik Chini di Pahang yang diiktiraf sebagai kawasan Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bakal musnah pada 2030 akibat kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan tidak terkawal di sekitarnya”.  

Antara kejayaan dalam usaha pemulihan itu setakat ini kata Prof Dato’ Dr Mushrifah, ialah dengan terhapusnya ancaman kuman ‘e-coli’ (kuman penyebab taun) dalam kandungan air di tasik tersebut, sebahagiannya ekoran kempen kesedaran dan penyediaan kemudahan tandas (sanitation) lebih teratur kepada penduduk Orang Asli di persekitaran.

Bahawa Prof Dato’ Dr Mushrifah dilihat pihak yang berwibawa untuk bercakap mengenai Tasik Chini tidak boleh disangkal malah diperkukuhkan dengan kejayaan beliau selaku penerima Anugerah Hari UNESCO Malaysia 2011 dan merupakan penyelidik pertama Malaysia yang mendapat Zamalah UNESCO untuk biotek pada 1998.

Dan beliau pernah dilaporkan berikrar untuk memastikan Tasik Chini – satu daripada dua (2) tasik semulajadi di negara ini, terus terpelihara, tidak pupus seperti Tasik Mentiga yang sudah kering dan hilang daripada peta.

PROF DATO' DR MUSHRIFAH... Penyelidik pertama Malaysia yang mendapat Zamalah UNESCO untuk biotek pada 1998. 


CUMA TINGGAL DUA LAGI TASIK SEMULAJADI

“Kini tinggal dua (2) saja lagi tasik yang ‘natural’, Tasik Bera dan Tasik Chini. Tasik yang lain semuanya sudah ‘bungkus’. Ia mengikut umurnya. Jika ia tasik natural, makin lama makin tua.

“Jadi semakin lama ia banyak terjejas oleh penghakisan, pemendapan, jadi makin lama ia akan mendak jika kita tidak berusaha menjaganya,” Prof Dato’ Dr Mushrifah dilaporkan sebagai berkata pada persidangan medianya pada 24 Januari lepas di Bangi.

Pada persidangan media pagi Rabu itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menegaskan betapa ‘sampling’ air yang diambil dari tasik tersebut setiap bulan, tidak menunjukkan kandungan air di situ tercemar.

“Sejak 2010, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah wujudkan 23 stesen pemantauan. Persampelan air diambil sebulan sekali dan ia (kandungan air di tasik) masih berada dalam kelas 2 (yang tidak membahayakan),” katanya.
   
Jikapun kandungan air berkenaan dikatakan mengandungi bahan logam tetapi ia adalah secara semulajadi (natural occurance) kerana kawasan persekitaran Tasik Chini sememangnya mengandungi kandungan logam yang tinggi.

SATU LAGI PUSINGAN SIASATAN AKAN DILAKUKAN

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, dua (2) aktiviti – perlombongan dan pembalakan, yang dikatakan menjadi punca kepada pencemaran Tasik Chini namun tiada bukti menunjukkan kedua-dua aktiviti tersebut yang berada di luar kawasan yang dirizabkan, adalah penyumbang kepadanya.

Sungguhpun begitu katanya, satu lagi siasatan akan dilakukan termasuk beliau sendiri serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Prof Dato’ Dr Mushrifah dan wakil-wakil media, akan membuat tinjauan ke tasik berkenaan pada awal bulan depan.

Pada permulaan persidangan media, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menegaskan betapa Kerajaan Negeri bersikap terbuka serta senada dengan Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang sering menegaskan bahawa zaman “Kerajaan mengetahui semua, betul semua; sudah berlalu.

“Rakyat sudah celik, rakyat sudah cerdik. Dan dalam hubungan ini kita (Kerajaan Negeri)  mengalu-alukan sebarang kritikan, sebarang kenyataan yang dibuat oleh semua pihak, dengan syarat kenyataan ataupun laporan dan ulasan itu mestilah bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, Tasik Chini dengan keluasan 5,085 hektar, telah dirizabkan di bawah Seksyen 62 (1) Kanun Tanah Negara untuk kegiatan pelancongan sejak tahun 1989 lagi.

UKM IALAH PENYELIA ALAM SEKITAR TASIK CHINI

UKM kemudiannya dilantik untuk menjalankan kajian yang ekoran daripada itulah wujudnya laporan-laporan berkenaan yang diterbitkan pada tahun-tahun 2003 dan 2004 serta penubuhan PPTC di kawasan tasik tersebut.  

“Sekarang ini, Tasik Chini diuruskan daripada segi penyeliaan untuk menjaga alam sekitar, persekitaran, kebersihan tasik dan sungai; kita serahkan kepada UKM.

“Tapi, bidang kuasa yang lain seperti melulus, menolak apa-apa permohonan sama ada membalak, melombong dan sebagainya, Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab ke atasnya,” katanya lagi. – Khabar


MATA KE MATA;

*** “Kerajaan mengetahui semua, betul semua; sudah berlalu.

“Rakyat sudah celik, rakyat sudah cerdik. Dan dalam hubungan ini kita (Kerajaan Negeri)  mengalu-alukan sebarang kritikan, sebarang kenyataan yang dibuat oleh semua pihak, dengan syarat kenyataan ataupun laporan dan ulasan itu mestilah bertanggungjawab.”

*** “Sekarang ini, Tasik Chini diuruskan daripada segi penyeliaan untuk menjaga alam sekitar, persekitaran, kebersihan tasik dan sungai; kita serahkan kepada UKM.

“Tapi, bidang kuasa yang lain seperti melulus, menolak apa-apa permohonan sama ada membalak, melombong dan sebagainya, Kerajaan Negeri masih bertanggungjawab ke atasnya.”

*** “Sejak 2010, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah wujudkan 23 stesen pemantauan. Persampelan air diambil sebulan sekali dan ia (kandungan air di tasik) masih berada dalam kelas 2 (yang tidak membahayakan).”

*** Antara kejayaan dalam usaha pemulihan itu setakat ini kata Prof Dato’ Dr Mushrifah, ialah dengan terhapusnya ancaman kuman ‘e-coli’ (kuman penyebab taun) dalam kandungan air di tasik tersebut, sebahagiannya ekoran kempen kesedaran dan penyediaan kemudahan tandas (sanitation) lebih teratur kepada penduduk Orang Asli di persekitaran.