… perutusan Menteri Besar sempena sambutan Hari
Kemerdekaan bertemakan, ‘55 Tahun Merdeka. Janji Ditepati’ pada Jumaat, 31 Ogos
2012 bersamaan 13 Syawal 1433H.
BEBAS DARIPADA BELENGGU PENJAJAHAN... Serta usaha yang harus berterusan bagi memelihara kemerdakaan negara kita yang berdaulat.
kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera,
dan Salam 1Malaysia.
Syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu
Wata’ala, kerana dengan keizinannya juga, kita dapat sama-sama merayakan
sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 bertemakan – ‘55 Tahun Merdeka. Janji Ditepati’.
Sepertimana dengan tema Hari Kemerdekaan
yang sudah-sudah, tema kali ini juga dilihat wajar, yang menepati keadaan serta
kehendak semasa.
Menurut peribahasa Melayu
kita, ‘Jika kerbau dipegang pada
talinya, jika manusia dipegang pada janjinya’. Yang bermaksud, janji yang
dilakukan oleh manusia mestilah ditepati.
‘Janji’,
sepertimana maksud diberikan oleh Kamus Dewan ialah, pernyataan kesediaan untuk
berbuat atau memberi sesuatu.
QURAN & HADITH JUGA ADA SEBUT TENTANG JANJI
Dalam al-Quran sendiri ada
menyebut tentang janji, serta keperluan dan kemestian untuk menepatinya.
Misalnya, ayat 40, surah al-Baqarah,
Allah Subhanahu Wata’ala berfirman yang maksudnya;
‘Wahai Bani Isra’el (anak cucu Nabi Ya’akob Alai-hissalam)!
Ingatlah akan segala nikmat yang telah aku kurniakan kepada kamu, dan
sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganku, supaya aku sempurnakan perjanjianku
dengan kamu; dan kepada akulah sahaja hendaklah kamu merasa gerun takut (bukan
kepada sesuatu yang lain)’.
Tentang janji juga ada
diperkatakan dalam hadith sepertimana misalnya yang memetik Rasulullah S.A.W sebagai
bersabda;
‘Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga (3) – bila
berkata ia dusta, bila berjanji ia mengengkari, dan, bila dipercayai ia
khianati’.
‘KEHIDUPAN INI SELURUHNYA DIIKAT DENGAN JANJI’
Pak Hamka juga ada menyebut
tentang janji yang menurutnya, ‘Kehidupan
ini seluruhnya diikat dengan janji. Mengakui sebagai hamba Allah ertinya akan
menepati janji dengan Allah. Mungkir janji dengan manusiapun bererti memungkiri
janji dengan Allah’.
Oleh kerana pentingnya
persoalan tentang janji, maka, amat wajarlah janji dijadikan sebagai sebahagian
utama dalam tema sambutan Hari Kemerdekaan kita tahun ini – ‘55 Tahun Merdeka. Janji Ditepati’.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang
saya hormati sekelian
Apabila menyebut tentang
sejarah, tiada sesiapa dapat menafikan bahawa ia merupakan peristiwa-peristiwa
sebenar yang berlaku pada masa lepas yang berserta dengan fakta-faktanya.
Sejarah bukanlah cerita
dongengan. Sejarah ialah hakikat yang telah berlaku pada masa lampau, agar
dapat kita jadikannya iktibar untuk menjalani kehidupan yang lebih baik pada
masa depan.
Sejarah membuktikan betapa
sejak negara ini terjajah, dengan pencerobohan tentera Portugis pada tahun 1511
ke atas Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka; usaha penentangan dan perjuangan
memerdekakan negara terus-menerus dilakukan untuk selama 446 tahun
berikutnya.
PERJUANGAN SECARA GERILA, OLEH GOLONGAN AGAMA DAN
SASTERAWAN
Bermula dalam bentuk serangan
gerila yang dirintis oleh bekas-bekas Kesultanan Melayu Melaka dan Johor,
kemudian muncul tokoh-tokoh seperti Raja Haji, Dol Said, Dato’ Maharaja Lela, Dato’
Sagor, Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong, Dato’ Mat
Salleh, Sharif Mashahor, dan Rentap;
Perjuangan itu seterusnya
digerakkan pula oleh golongan agama seperti Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin,
dan, Syeikh Abdullah Fahim; serta, yang diperjuangkan oleh guru-guru dari
pondok agama Gunung Semanggol dan ‘Sultan Idris Training College’ (SITC).
Yang turut terlibat selepas
itu ialah para novelis, cerpenis, penyajak dan wartawan seperti Zainal Abidin Ahmad
(atau, Za’ba), A.Rahim Kajai, Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Mohamad (atau, Pak Sako),
dan Usman Awang.
Hinggalah penjajah Jepun yang
menguasai negara pada tahun 1942, menyerah kalah pada 15 ogos 1945, apabila Hiroshima
dan Nagasaki di bumi Jepun sendiri, musnah akibat ledakan bom atom.
Harapan untuk mencapai kemerdekaan
begitu tinggi ketika itu, namun hampa apabila Inggeris kembali menjajah.
PENENTANGAN TERHADAP ‘MALAYAN UNION’
Lebih hampa lagi, apabila Inggeris
mahu memperkenalkan ‘Malayan Union’,
yang intipatinya ialah untuk memberikan hak sama rata khususnya dalam aspek
kerakyatan kepada semua kaum tanpa mengira keturunan dan kesetiaan terhadap
negara.
Yang turut ditentang terhadap
gagasan itu ialah peminggiran hak kaum Melayu dan Bumiputera sebagai penduduk
asal negara ini, serta menjejaskan institusi dan fungsi Raja-raja Melayu.
Tempo penentangan dan
perjuangan menuntut kemerdekaan dalam kalangan rakyat semakin memuncak selepas
itu, hinggalah tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 11 Mei
1946, yang kemudian bersama-sama Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan Kongres India
Malaysia (MIC); mewujudkan Parti Perikatan untuk mendapatkan kemerdekaan
daripada penjajah inggeris.
Usaha ini penting sebagai
memenuhi syarat penjajah Inggeris yang hanya akan memberikan kemerdekaan jika
terdapat bukti dan komitmen daripada UMNO yang mewakili kaum Melayu yang
merupakan golongan majoriti; dapat bekerjasama dengan dua kaum lain iaitu Cina
dan India menerusi parti-parti MCA dan MIC.
Dan kerjasama ini betul-betul
menjadi apabila Parti Perikatan yang menyertai pilihanraya umum pertama pada 27
julai 1955, berjaya memenangi 51 daripada 52 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan
yang dipertandingkan.
BAPA KEMERDEKAAN... Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj...
TUNKU KE LONDON DAPATKAN KEMERDEKAAN
Maka, pada 18 Januari 1956,
pemimpin UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, telah mengetuai rombongan ke London,
bagi mendapatkan kemerdekaan negara ini.
Bersama-sama dalam
rombongannya ialah Dato’ Abdul Razak Hussein, Dr Ismail Abdul Rahman, Kolonel H.S.Lee,
Encik T.H.Tan, dan, Encik Burhan Shamsuddin.
Yang turut menyertai ialah
wakil Raja-raja Melayu terdiri daripada Dato’ Panglima Bukit Gantang, Dato’ Nik
Ahmad Kamil, Encik Abdul Aziz Majid, dan, Dato’ Mohd Seth.
Pada 8 Februari 1956, Perjanjian
Merdeka termeterai dengan menetapkan 31 ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan
bagi negara ini yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.
Lanjutan
itu, persekutuan yang baru diwujudkan di bawah nama Malaysia pada 16 September
1963, melalui penyatuan Persekutuan
Malaya, Singapura, Borneo Utara (kemudian dinamakan Sabah) dan Sarawak.
BANYAK RANJAU, KINI MAKMUR
Pada
awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan indonesia menakluk Malaysia, dan tuntutan oleh Filipina terhadap
Sabah.
Selain
itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia.
Pada
hari ini, setelah 55 tahun merdeka dan setelah 49 tahun pembentukan Malaysia,
kita berada dalam sebuah negara yang aman-makmur dengan rakyat-jelata hidup
sejahtera.
Dan
kita hanya dapat bersyukur atas keadaan yang dinikmati ini, yang sebahagian
besar juga ialah kerana sumbangan kepemimpinan yang berkesan oleh Kerajaan yang
ada, Insya-Allah.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang
saya hormati sekelian
Sebagaimana susah dan lama
masanya hingga lebih empat (4) abad negara kita cuba melepaskan diri daripada
belenggu penjajahan, usaha untuk mengisi dan mempertahankan kemerdekaan
bukanlah juga satu kerja mudah.
ADA JAMINAN KEMERDEKAAN KITA INI?
Sungguhpun kini negara kita
sudah 55 tahun merdeka, adakah jaminan bahawa kemerdekaan ini akan terus
terpelihara dan dapat dipertahankan untuk lebih 50 tahun lagi?
Adakah negara kita boleh
bertahan seperti Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka yang selama 110 tahun,
sebelum ia jatuh kepada Portugis pada tahun 1511?
Adakah negara kita boleh
bertahan selama Kerajaan Soviet Union, yang kemudian berpecah-belah setelah
mentadbir jajahan takluknya kira-kira 83 tahun?
Di sinilah perlunya kita
sentiasa bermuhasabah diri dengan memastikan, apa juga perilaku dan gelagat
kita, hendaklah tidak sehingga negara kita musnah sepertimana Kerajaan Kesultanan
Melayu Melaka ataupun Soviet Union.
Dalam usaha kita hendak
mengisi dan mempertahankan kemerdekaan ini, kita hendaklah sentiasa berteraskan
kepada Perlembagaan Persekutuan yang termaktub panduan untuk kita bagi
menjayakan negara merdeka dan berdaulat ini.
AKURLAH PADA PERLEMBAGAAN YANG TELAH SAMA-SAMA KITA
SEPAKATI
Perlembagaan Persekutuan ini
telah sama-sama kita sepakati dahulu ketika kita hendak merdeka, dengan asalnya
dikaji dan digubal secara teliti menerusi sebuah suruhanjaya bebas dikenali, Suruhanjaya
Reid.
Kini, jika ada usaha untuk
mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan, maka ini adalah usaha terkebelakang
yang memungkiri segala persepakatan yang telah tercapai dahulu. Ini sewajarnya
tidak boleh, dan tidak sama sekali dibenarkan berlaku.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang
saya hormati sekelian
Dengan komposisi kaum yang
pelbagai dalam kehidupan masyarakat majmuk negara ini, sesungguhnya tiada
satu-satu kaumpun boleh hidup dalam kepompongnya tersendiri (atau, ‘live in isolation’).
Kita sesungguhnya, saling
perlu-memerlukan dan kita perlu saling lengkap-melengkapi sesama kita, dengan
menjadikan Perlembagaan Persekutuan sebagai sandaran utamanya.
TAK BOLEH SANDARKAN KEPADA UNDANG-UNDANG RIMBA
Kehidupan kita ini tentulah
perlu berpandukan kepada undang-undang yang telah termaktub, bukan
undang-undang rimba atau ‘law of the
jungle’.
Undang-undang yang paling
agung di negara ini pula, yang mengatasi (supercede) segala undang-undang lain
yang ada, tentulah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.
Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan
itu pula, ada secara jelas menyebut mengenai hak serta kepentingan antara kaum
sepertimana berikut;
‘Adalah menjadi tanggung jawab yang dipertuan agung
memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Sabah
dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan
perkara ini’.
Gagasan 1Malaysia yang
diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun
Haji Abdul Razak, juga memberi sandaran kukuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan
ini.
JANGAN TERPENGARUH KEPADA USAHA ‘TIKUS MEMBAIKI LABU’
Masalahnya, ada pihak yang
terus-menerus mempertikaikan gagasan ini, serta apa juga perkara baik yang
diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan yang ada.
Pertikaian itu seolah-olah
hingga ke tahap, apa juga yang diperkenal dan dilaksanakan oleh Kerajaan yang
ada, kononnya akan hanya membawa keburukan kepada negara dan rakyat-jelata.
Lalu, dicadangkan
perkara-perkara alternatif yang
sebahagiannya tidak masuk akal hingga boleh kita umpamakan pula usaha
itu seperti ‘tikus’ yang hendak ‘membaiki labu’.
Daripada segi pengalaman, Kerajaan
yang ada pimpinan Barisan Nasional (BN) inilah yang luas pengalamannya. Sejak
memenangi pilihanraya umum pertama tahun 1955, ia terus-menerus menerajui
kepimpinan negara dengan melepasi dengan jayanya pilihanraya umum-pilihanraya
umum berikutnya (pada 1959, 1964, 1969, 1974, 1978, 1982, 1986, 1990, 1995,
1999, 2004), dengan yang terakhir pada pilihanraya umum bulan Mac, 2008.
Dengan pengalaman luas inilah
dan kini, kepimpinan yang sama ini juga mengambil komitmen besar untuk
melakukan transformasi menerusi terutamanya, pengenalan Model Baharu Ekonomi (MBE);
nescaya usaha mentabdir demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyatnya
dapat ditingkat dan dijayakan lagi.
‘DI BAWAH SARANG YANG TERJATUH, MASIH ADAKAH TELUR
YANG TIDAK PECAH?’
Dengan ini juga, apa yang
telah Kerajaan usahakan selama ini dan akan diperbanyakkan lagi, janganlah
dibenar dirosakkan oleh mana-mana pihak sekalipun.
Jika kerosakan dibenarkan
berlaku, bahananya pasti meluas, hingga tidak dapat tidak, akan turut memberi
kesan negatif kepada kehidupan harian rakyat-jelata juga.
Dalam hal ini, renungilah
peribahasa Cina yang diterjemah bermaksud, “Di
bawah sarang yang terjatuh, masih adakah telur yang tidak pecah”.
Dan, percayalah pula kepada
hakikat betapa, “Seekor burung dalam
genggaman, bernilai dua (2) ekor daripada yang bebas di hutan”.
Tuan-tuan dan Puan-puan yang
saya hormati sekelian
Sekianlah sahaja perutusan
saya sempena sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 pada tahun ini.
Semoga apa yang telah saya
sebutkan tadi dapat difahami dalam perspektif yang betul, saya sudahi dengan ‘Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh’. – Khabar