Saturday 15 December 2012

Menyalahkan pihak yang disalah-laporkan?

... berkaitan isu pengeksportan sisa tanah jarang Lynas

SYUKUR ATAS KEPUTUSAN MAHKAMAH... Ini merupakan sebahagian daripada pekerja LAMP yang berada di Kompleks Mahkamah Kuantan pagi Khamis, 8 November bagi mengikuti perbicaraan mengenai nasib kilang mereka. 

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato' Mariana Yahya kemudian memutuskan, kilang mereka boleh beroperasi setelah beliau menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) yang diberikan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) kepadanya sebelum ini; oleh tiga (3) penduduk Kuantan. 

Foto ini ialah sepertimana tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia keluaran Jumaat, 9 November. 


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Yang menyalah-lapor tentang isu pengeksportan produk daripada sisa tanah jarang Lynas ialah sebuah akhbar berbahasa Mandarin, Guang Ming Daily. Namun, yang dipersoal dan dipersalahkan ialah pihak yang disalah-laporkan – Lynas Malaysia Sdn Bhd.  

Bagaimanakah keadaan ‘terbalik-kot’ ini boleh berlaku, yang hanya menimbulkan persoalan, kot-kot ini merupakan satu lagi siri usaha terancang pihak-pihak tertentu demi  mensabotaj projek RM2,300 juta tersebut.

Isu terbaharu berkaitan projek yang dikemudikan anak Melayu – Dato’ Mashal Ahmad, Pengarah Urusan syarikat tersebut yang induknya, Lynas Corporation, disenaraikan di Pasaran Saham Australia (ASX); ialah ekoran berita yang disalah-lapor oleh Guang Ming Daily yang tersiar pada 8 Disember.

Sehari sebelumnya, Lynas Malaysia Sdn Bhd telah menjemput dan menerima 50 penduduk setempat termasuk media-massa yang berpejabat di Kuantan ini ke kilangnya, Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di kawasan perindustrian Gebeng.

Tujuan jemputan ialah bagi memenuhi tuntutan untuk terus ‘engage’ dengan penduduk setempat, sambil memberi peluang kepada mereka untuk merasai pengalaman dan menyentuh tanah jarang berkenaan yang telahpun dibawa ke LAMP dari lombongnya di Mount Weld, Perth, Australia.

'ENGAGING' PENDUDUK KUANTAN KHUSUSNYA DI PERSEKITARAN... 


GUANG MING SAHAJA YANG SILAP-LAPOR

Keesokannya, media-massa berkenaan telah melaporkannya tanpa apa-apa masalah atau kontroversi termasuk akhbar Utusan Malaysia, yang mana mengenai produk daripada sisa tersebut diberitakan;

“… Dato’ Mashal Ahmad menyatakan, tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh penduduk di bandar ini kerana operasi mereka selamat dan pihaknya telah membina sebuah loji untuk memproses sisa nadir bumi (tanah jarang) kepada produk sintetik sebelum dieksport ke luar negara.”

Tetapi, berbeza sekali dengan apa yang disiarkan pada muka depan akhbar berbahasa Mandarin tersebut dengan mengutip Dato’ Mashal kononnya berkata, di bawah undang-undang antarabangsa, sisa tanah jarang tidak boleh dieksport lalu memberi gambaran betapa sisa tersebut akan kekal berada di negara ini.

Ekoran itulah, pada 10 Disember, Lynas Malaysia Sdn Bhd mengeluarkan kenyataan akhbar menafikan laporan salah Guang Ming Daily tersebut dengan Dato’ Mashal menegaskan betapa dalam taklimat medianya pada Jumaat, 7 Disember, beliau menekankan sebanyak lima (5) kali bahawa sisa berkenaan akan dijadikan produk, untuk dieksport.

Kaedahnya ialah, dengan merendahkan kadar radiasi sisa tersebut khususnya sisa WLP (Water Leach Purification) hingga ke bawah 1 Becquerel/gram yang langsung tidak merbahaya, kemudian dijadikan produk ‘aggregate synthetic’ sebelum dijual ke luar negara.

LALUAN MASUK KE MCKIP... Terletak tidak sampaipun 1 kilometer dari LAMP, laluan masuk ke MCKIP dengan keluasan sebenar kira-kira 607.5 hektar, kelihatan hampir sedia untuk menerima kemasukan pelabur. 

Foto ini dirakam pada petang Jumaat, 14 Disember. Dengan siapnya 'start-up zone' (zon pemula) seluas kira-kira 20.25 hektar ini terlebih dahulu, maka bersedialah ia untuk dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak. 

MCKIP merupakan 'sister park' kepada China-Malaysia Qinzhou Industrial Park (CMQIP) yang seluas 5,467.5 hektar di Qinzhou, yang telah dilancarkan bersama oleh Dato' Sri Mohd Najib dan  Perdana Menteri China, Wen Jiabao pada 1 April lepas.


EMPAT MENTERI PERCAYA BULAT-BULAT LAPORAN SALAH?

Pada hari yang sama juga, keluar kenyataan daripada keempat-empat menteri – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, dan, Menteri Kesihatan mengenai hal sama.

Seperti menerima bulat-bulat apa yang telah disalah-laporkan oleh akhbar harian tersebut, keempat-empat menteri mengulangi kenyataan sama tentang keperluan segala sisa daripada projek berkenaan, termasuk produk yang dihasilkan daripadanya, dieksport ke luar negara.

Selepas inilah, sepertimana biasa amalan puak-puak pembangkang projek ini, telah segera ‘jump on the bandwagon’ serta ‘menangguk di air keruh’, lalu memaparkan keadaan seolah-olah Lynas Malaysia Sdn Bhd ialah pesalah yang seharusnya dihukum.

Semuanya kerana salah-lapor sebuah akhbar harian bernama Guang Ming Daily, yang menerusi wartawannya, telah turut melaporkan tentang kononnya Dato’ Mashal menunjukkan kemarahannya apabila diajukan soalan-soalan.

Dalam hal ini, mungkin pemilik akhbar harian ini, Media Chinese International Ltd – syarikat yang disenaraikan di kedua-dua Bursa Malaysia dan Pasaran Saham Hong Kong, menyemak kembali tahap profesionalisme wartawan akhbar berkenaan.

MENGAMATI MODEL MCKIP... Menteri Besar Dato' Sri DiRaja Adnan Yaakob, sedang memerhatikan model MCKIP yang dipamerkan sempena majlis penerangan mengenainya anjuran Dewan Perniagaan Cina Pahang (DPCP) di Hotel Zenith, Kuantan pada 10 Oktober. 

Selain Tan Sri Ong Ka Ting - Utusan Khas Perdana Menteri ke China, yang juga Pengerusi, Majlis Perniagaan Malaysia-China; yang turut kelihatan ialah Pengerusi DPCP, Dato' Sri Lim Sing (kiri sekali); Menteri Kesihatan Dato' Sri Liow Tiong Lai; 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail; wakil rakyat (BN - Semambu), Dato' Pang Tsu Ming; serta, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Dato' Jebasingham Issace John (di belakang Dato' Sri DiRaja Adnan). 

Tidak mungkin MCKIP ini mahu dijayakan jika tidak kerana selamatnya persekitaran di situ, yang mana LAMP milik Lynas Malaysia Sdn Bhd yang ditohmahkan sebagai bahaya, hanya terletak tak sampaipun 1 kilometer darinya.   


AKHBAR-AKHBAR MILIK MEDIA CHINESE INTERNATIONAL LTD

Begitulah juga bagi syarikat ini mengambil perhatian terhadap etika kewartawanan sebenar akhbar-akhbar lain yang turut di bawah kendaliannya khususnya Sin Chew Daily, serta juga Nanyang Siang Pau dan China Press.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tiong Hiew King, ialah juga Pengerusi Eksekutif, Kumpulan Rimbunan Hijau yang kini berusaha bersama-sama rakan-niaga yang lain, untuk membangunkan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) yang tidak sampaipun 1 kilometer jaraknya dari LAMP.

Sebagaimana beliau mahu memastikan MCKIP berjaya apatah pula dengan kepentingan saham 30 peratus dalam konsortium Malaysia (yang akan bekerjasama dengan konsortium negara China), tentu juga beliau tidak ingin projek besar sebegini tergugat oleh salah-laporan akhbar-akhbar harian Cina miliknya.

Setakat ini bagaimanapun, segala laporan yang dihasilkan oleh akhbar-akhbar tersebut mengenai MCKIP adalah positif, berbanding asyik negatif sahaja yang dilaporkan mengenai LAMP yang jika ianya terlalu merbahaya, tidak mungkin bahayanya itu tidak mengancam MCKIP yang begitu berhampiran.

Penulis sendiri dapat menghidu sikap ‘dwi-piawai’ (double-standard) akhbar-akhbar harian Cina ini – sikap penentangan melampau terhadap LAMP (hinggakan ada dalam kalangan wartawannya turut berbaju-T warna hijau, menyertai Himpunan Hijau 2.0 menentang projek LAMP di Padang MPK4, dekat sini sebelum ini), dan terlalu penyayang terhadap MCKIP.

TAN SRI TIONG... 


BERSIKAP POSITIF, ATAUPUN BERKECUALI DALAM LAPORAN

Alangkah baik jika sikap itu sama sahaja – positif terhadap MCKIP yang sebahagian besarnya melibatkan usahawan Cina, juga positiflah atau paling tidakpun, berkecuali terhadap LAMP yang sebahagian besar kepimpinan dan pekerjanya ialah Melayu.

Apatah pula, kedua-dua projek besar ini mempuyai matlamat yang sama sahaja, demi keuntungan dan kepesatan ekonomi, ke arah  membangunkan negeri untuk kesejahteraan rakyat tak kira kaumlah juga. 

Maka, kepada Tan Sri Tiong – tokoh kelahiran Sarawak yang berjaya menerusi laluan ‘rags to riches’ ini, mohon perbetulkanlah perkara ini tanpa perlu beralasan atas nama kononnya kebebasan akhbar,  sebelum ia menjadi lebih parah. – Khabar