Wednesday, 12 December 2012

Tangani pembohongan pembangkang

… Menteri Besar ulas ‘Tawaran 3+6’ oleh puak-puak pembangkang, sambil menegaskan tentang usaha berterusan Kerajaan yang sejak sekian lama, dalam menangani dan mengatasinya.  

'IN THE DRIVER'S SEAT'... Sepertimana lancarnya perjalanan bas RapidKuantan yang dipandu oleh Dato' Sri DiRaja Adnan ini, begitulah 'pemanduan' yang dilaksanakannya dalam memacu pembangunan negeri sekaligus menolak apa juga cubaan untuk menafikan kemajuan yang Pahang alami selama ini, dengan rakyatnya hidup sejahtera.

DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Tiadalah satupun yang baharu mengenai apa yang dikenali sebagai ‘Tawaran 3+6’ oleh puak-puak pembangkang, melainkan yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Inilah yang cuba dikatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob,
mengenai ‘Tawaran 3+6’ puak-puak berkenaan dalam ucapan penangguhan 28-minitnya, bagi mesyuarat ketiga, penggal kelima, Dewan Undangan Negeri ke-12.

Persidangan oleh 42 orang wakil rakyat ini berlangsung selama enam (6) hari bermula Isnin, 3 Disember (rehat pada Sabtu, 8 Disember dan Ahad, 9 Disember) dan tamat petang Selasa, 11 Disember, di sini.

Persidangan ini juga dijangka yang terakhir sebelum menghadapi pembubaran, bagi memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) yang diura-ura diadakan pada awal tahun depan. Tempoh Parlimen sekarang akan berakhir pada 28 April tahun itu (2013).

‘Tawaran 3+6’ itu – kononnya ‘tawaran mega kepada rakyat Pahang’ jika mereka menang PRU-13 kelak, dikatakan diumumkan pada apa yang dikenali sebagai Himpunan Rakyat Pahang, Ahad, 9 Disember di Kerdau, Temerloh.


DALAM KAWALAN... Selain memiliki lesen memandu PSV untuk kenderaan darat bas, Dato' Sri DiRaja Adnan juga memiliki lesen penerbangan - Student's Pilot Licence (SPL) dengan lebih 500 jam penerbangan. Sepertimana juga pemanduan kenderaan darat seperti bas yang perlu sentiasa berhati-hati, apatah pula untuk menerbangkan helikopter.

Foto ini dirakam tatkala Dato' Sri DiRaja Adnan hendak menerbangkan pulang dari Padang Awam, Felda Kemasul ke Kuantan, setelah hadir mengiringi bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Majlis Bicara Tokoh, Rabu, 5 Disember di sana. 

Kelihatan, Dato' Sri DiRaja Adnan sedang teliti dalam persediaan untuk menerbang-pandu helikopter berkenaan jenis AS 365 N3 Dauphin buatan syarikat Eurocopter, Perancis ini. Kelajuan penerbangan ialah 140 knots (259 km sejam) pada paras ketinggian 762 meter (2,500 kaki) di udara.  

Oleh kerana ketelitian dan sikap berhati-hati sebeginilah juga maka ekonomi negeri sentiasa kekal sihat dan cergas - tanpa perlupun untuk membuat 'Tawaran 3+6' (seolah-olah 'tagline' untuk jualan murah akhir tahun); lalu dapat terus memastikan 'Negeri Makmur, Rakyat Sejahtera'.

   
HADIR CUMA 5,200 ORANG TAPI KATA 60,000 ORANG

Mengenai bilangan kehadiran pada himpunan itu sendiri menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan, “Hadirnya 5,200 (orang) lebih, kita bilang seorang-seorang. Budak kitapun ada juga pergi. Tapi keluar suratkhabar dia orang, keluar blog dia orang; 60,000. Amboi…

“… tak apalah, ‘super-impose’, tak ‘super-impose’ ke. Tapi, pembohongan kalau kita tak tangani, kitapun akan menghadapi masalah”.

Mengenai tawaran pertama berkaitan penyediaan lot-lot rumah kepada rakyat negeri ini kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, itulah yang Kerajaan Negeri usaha dan lakukan sekarang termasuk membina rumah-rumah bagi manfaat rakyat.

Berhubung dengan tawaran kedua untuk menyelesaikan permohonan tanah yang sudah sekian lama dipohon katanya, banyak yang telah Kerajaan Negeri selesaikan namun ada juga kekangan yang dihadapi di kawasan-kawasan tertentu.

“… ada tempat-tempat, kata(lah) Triang (sebagai) contoh, macam mana kita nak beri? Satu keluarga, katalah Lim; takkan satu keluarga Lim dapat 500 ekar. (Keluarga) Ho, dapat 300 ekar… Tak bolehlah.

LULUS 34,000 HEKTAR SEBAGAI TANAH ORANG ASLI

“Saya dah sebutkan daripada dulu lagi. Kalau misalannya untuk soal ‘bread and butter’,  cari makan (di atas tanah seluas) 4-5 ekar, 10 ekar, kita boleh bagi untuk hidup, jalanlah. Mana Kerajaan kacau. Kita tahu rakyatpun nak hidup, (rakyat di) Cameron Highlandspun nak hidup.

“Tapi, kalau (ada yang) datang dari Sitiawan, dari Singapura, pergi teroka bawa ‘bulldozer’, tak bolehlah… Tak boleh kita buat macam itu. Jadi ini (‘Tawaran 3+6’ tersebut) nak bagi (tanah kepada) semua. Tak cukup tanah,” katanya.

Berhubung dengan tawaran ketiga untuk mewartakan tanah komuniti Orang Asli, Dato’ Sri DiRaja Adnan bertanya balik, “Kita tak warta ke sekarang ini?” yang kemudian meminta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Dato’ Wan Rosdy Wan Ismail menyebutkannya.

“Yang telah diwartakan (sebagai tanah Orang Asli ialah seluas) 4,200 lebih hektar. Yang telah diluluskan sebanyak lebih kurang, 34,000 hektar tetapi belum diwartakan,” bangun Dato’ Wan Rosdy memberikan angka-angka terbaharu ini.    

“Maknanya,” sambung Dato’ Sri DiRaja Adnan, “… dalam proses mewarta. Proses mewarta ini bukannya senang. Kalau zaman dahulu, sebelum kita keluar geran kekal itu, ‘final title’ itu, geran akhir; kena sukat, tarik batu pancang, tarik benang –,bukan senang. Kita wartakan, bukan tak wartakan…”

CUKAI PINTU TAK PERNAH NAIK SEJAK TAHUN…   

Tawaran keempat pula ialah untuk memudahkan urusan pertukaran status tanah pertanian kepada lot perumahan atau bangunan sedangkan katanya, inilah yang dilaksanakan pada mesyuarat-mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bagi tawaran kelima untuk menurunkan cukai pintu dengan mengambil kira peningkatan hasil hutan dan mineral pula beliau menegaskan betapa, tiada keperluan untuk itu sementelah ia (cukai pintu berkenaan) tidak pernahpun dinaikkan sejak 1986 lagi.

“Cukai pintu tak pernah naik (sejak 1986). Bila tak pernah naik tu, tak payahlah turun…,” tegasnya.

Kepada tawaran keenam berkaitan dengan sistem tender terbuka bagi semua hasil utama negeri sepertmana kononnya dilaksanakan di bawah Kerajaan Negeri-Kerajaan Negeri pimpinan bukan Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri DiRaja Adnan mengambil contoh apa yang diamalkan oleh Yayasan Pahang (YP) yang turut dipengerusikannya.

“… misalannya konsesi balak Yayasan Pahang. Kita (keluarkan) tender bagi (memilih tawaran dengan nilai) yang tertinggi kecuali sekali kita bagi orang nombor dua (tertinggi nilai tawarannya) sebab orang yang dapat (tender) tertinggi ini, semua blok dia dapat.

NEGERI PAKATAN BANYAK JUGA MASALAH

“Kesian pula (yang lain), (maka) kita bagi (kepada pembida yang membuat nilai tawaran kedua tertinggi itu, tetapi perlu membayar bagi memperolehi konsesi balak berkenaan) dengan harga yang nombor satu (nilai tertinggi),” katanya lagi.

“Saya tak tahulah kalau di Pulau Pinang dan di Selangor, semua tender (dengan memberi kepada tawaran tertinggi). Saya tak tahulah,” katanya dan segera menambah;

“Tapi yang saya tahu, banyak juga masalah. Janji nak bagi air ‘free’lah, macam-macam; sampai orang buat tunjuk perasaan (menuntut pembekalan air secara percuma itu)”.

Masih mengenai ‘Tawaran 3+6’ yang berkaitan dengan tiga (3) tawaran yang ada kaitannya dengan Kerajaan Persekutuan pula, sekali lagi Dato’ Sri DiRaja Adnan mematahkannya dengan mudah.

Mengenai tawaran untuk menempatkan peserta Felda Plantation dalam kalangan generasi kedua dan ketiga Felda, anak-anak Pahang, bekas kakitangan Felda serta bekas-bekas anggota polis dan tentera katanya, ia tidak praktikal sementelah keluasan tanah milik Felda Plantation itu tidak mencukupi.

MINYAK KEPUNYAAN PETRONAS

Oleh sebab itulah katanya, Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak, memperkenalkan langkah terbaik dengan menyenaraikan ke Bursa Malaysia, Felda Global Venture Holdings Bhd (FGVH) yang boleh dimanfaati oleh para peneroka.

“Lepas tu nombor dua (2), (tawaran) memberikan royalti minyak sebanyak 20 peratus setahun, bukannya 5 peratus, kepada Kerajaan Pahang setelah pengeluaran minyak beroperasi kelak. Ini kenyataan bodoh YB Tuan Yang Dipertua!

“(Minyak) yang (ditemui di Blok PM307, kira-kira 86.39 batu nautika dari Kuantan) di Pahang ini, bukannya hasil petroleum kepunyaan Pahang. Ini kepunyaan Petronas. Di bawah undang-undang, Akta Petroleum 1974. Tak ada sebab. Tak ada jalan kita boleh dapat walaupun satu sen.

“Tapi disebabkan Kerajaan Persekutuan prihatin, Perdana Menteri dari Pahang, kemudian cukai yang dikutip di Pahangpun hampir RM1 bilion (menerusi RM793 juta cukai jualan dan cukai perkhidmatan, RM603 juta sahaja dari zon otomatif Peramu, Pekan); maka Kerajaan ambil keputusan untuk beri RM100 juta setahun mulai tahun 2014,” katanya.

“Kalau semua negeri yang ada hasil petroleum (di luar sempadan tiga (3) batu nautika perairan negeri masing-masing) minta 20 peratus, apa tinggal Kerajaan Persekutuan untuk diagih-agihkan untuk pembangunan?” beliau mempersoalkan.  

PAKATAN TAK TAWANPUN, KERAJAAN SUDAH BUAT

Mengenai tawaran ketiga yang berkaitan dengan Kerajaan Persekutuan itu juga terutamanya untuk memberi perhatian serius dalam meningkatkan kemudahan asas melibatkan jalan-jalan – Jerantut-Benta dan Jerantut-Maran katanya, ia memang dalam perancangan ke arah menyiapkan kerja-kerja menaikkan tarafnya.

“Itu kalau mereka menawan Kerajaan Persekutuan,” katanya. “Tak usah (hendak) tawanlah. Dia tak tawanpun kita sudah buat. (Tetapi) kalau dia tawan (dan) dia buat perkara yang dia buat (janjikan) ini, habis lingkup,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan dengan tegas.

Sebelum itu, pada awal ucapan penangguhannya ini, beliau mengajak kesemua ahli Dewan/wakil rakyat supaya bersyukur kepada Allah SWT, “… kerana daripada 1.5 juta  rakyat negeri Pahang ini, kita 42 orang terpilih, termasuk Speaker seorang, 43 orang; dipilih untuk menganggotai Dewan yang paling tinggi sekali dalam negeri Pahang ini”.

Dewan Undangan Negeri ini pula katanya, merupakan badan perundangan yang membuat dan meluluskan undang-undang.

“Kita, badan perundangan yang tinggi sekali dan di atas puncak itu ialah, Raja Pemerintah, KDYMM Sultan Pahang yang mengetuai – dari segi Perlembagaan (Persekutuan), ketiga-tiga cabang sama ada perundangan, eksekutif dan juga kehakiman.

PULANGKANLAH KEPADA TAKDIR ALLAH

“Hanya Raja Pemerintah mewakilkan kepada ketiga-tiga ketua cabang ini untuk menjalankan urusan pentadbiran seharian. Badan perundangan, (diketuai oleh) Speaker; eksekutif,(oleh) Menteri Besar; dan kehakiman, (oleh) Hakim.

“Kalau di Pahang ini ialah Mahkamah Tinggi yang diketuai oleh Ketua Hakim Mahkamah Tinggi. Kalau di peringkat Malaysia , badan kehakimannya diketuai oleh Ketua Hakim Negara,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta ahli-ahli Dewan/wakil rakyat sekelian supaya menyerahkan kepada ketentuan Allah SWT mengenai nasib mereka sama ada terus kekal dalam jawatan tersebut atau tidak pada PRU-13 kelak.

“Proses di dunia ini memang sekali di atas, sekali di bawah. Sekali ke dalam, sekali ke luar. Sekali ke kiri, sekali ke kanan. Ini memang perkara biasa. Maka, terpulanglah kepada takdir Allah SWT yang menentukan.

“Yang pentingnya, kita telah sedaya-upaya dengan ikhlas, berkhidmat untuk rakyat, untuk negeri,” katanya yang sebelum itu, turut menyampaikan ucapan penggulungan 43-minitnya ke atas usul Bajet Negeri 2013 yang dibentangkannya pada Selasa, 4 Disember.

Selepas ucapan penangguhan ini, Speaker, Dato’ Sri Wan Razali Mahussin turut menyampaikan ucapan ringkas 10-minitnya, sebagai tanda berakhirnya persidangan sebelum PRU-13 itu. – Khabar