Tuesday, 25 December 2012

Pewaris Che' Mok

… kucing-kucing peliharaan, yang sungguhpun bukan jenis Parsi mahupun Siam, tetapi tetap menghibur dan mententeramkan jiwa.

COMEL & CHE' LANG... Comel (di atas), dan Che' Lang. Serius, tanpa 'senyuman'. Namun, pewaris Che' Mok yang setia bersama tuannya.   


Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Comel, Che’ Lang, Comel Jr (CJ), Tompok, Baby, Nyek Nyek, Junior Jr (JJ), Tompok Jr (TJ), Baby Jr (BJ) @ Cher-mare, Jingga, dan, Che’ Lang Jr (LJ). 

Inilah kesebelasan kucing peliharaan kediaman ini. Mereka ialah pewaris kepada ibu, nenek serta moyang mereka, Che’ Mok – yang kematiannya beberapa tahun lepas semasa penulis masih tinggal di kuarters kerajaan di JKR 582, Jalan Teluk Sisek, benar-benar menyedihkan.

Kematian Che’ Mok ialah akibat penyakit urat-saraf yang jarang dihidapi. Bermula dengan jalannya yang terhuyung-hayang akibat kaki belakangnya yang semakin lemah dari hari ke sehari.  

Doktor di klinik haiwan Jalan Beserah segera dirujuki dan setelah ujian dilakukan, mengesahkan tentang penyakit urat-saraf tersebut, sambil mengesyorkan ubat-ubatan sebagai proses rawatan.

Bagaimanapun, ia menjadi semakin buruk apabila kedua-dua kaki belakang tidak lagi dapat berfungsi menyebabkan Che’ Mok terpaksa mengheret kaki belakangnya itu apabila sahaja hendak berjalan menuju ke satu-satu lokasi.

Melihatkan keadaannya ketika itupun sudah menyayat hati.


COMEL JR (CJ) @ JUNIOR, TOMPOK & BABY... Sungguhpun jantan, CJ @ Junior yang berbadan besar, bersifat manja yang kerana itu turut dipanggil Che' Dan. Tompok yang juga berbadan besar pula, 'pemalu' tetapi amat pembela terhadap 'sepupu' serta anak-anak saudaranya. Baby pula, betina, yang sangat manja, yang sering merebahkan badan meminta kita mengusap dan membelainya.     


KEADAAN CHE’ MOK YANG MENYAYAT HATI

Dari bahagian kaki, melarat ke bahagian tengah badan, seterusnya ke bahagian kedua-dua kaki depan. Ketika ini, lagilah menyedih serta menyayatkan. Hurungan lalat ke bahagian mukanya, tidak lagi boleh dilakukan apa-apa oleh Che’ Mok.  

Makannya – makanan tin yang doktor haiwan bekalkan, perlu penulis suapkan dengan menggunakan alat ‘syringe’. Buang air besarnya perlu penulis lakukan dengan menekan-nekan bahagian perutnya, manakala buang air kecilnya, dengan menekan-nekan pundi kencingnya.

Dan ini – semuanya atas apa yang telah diajarkan oleh doktor haiwan berkenaan, berlarutan kira-kira dua (2) minggu. Setelah itu, dengan dua-tiga kali dibawa mendapat rawatan serta ‘warded’ di klinik doktor haiwan itu, Che’ Mok akhirnya meninggal dunia di klinik berkenaan.

Pada pagi keesokannya, doktor haiwan berkenaan menelefon dan memaklumkan, “Sorry to convey to you that Che’ Mok has died, believed to be last night. She was still alive when I went to the clinic in the evening. But this morning she has gone”.

Penulis masih ingat, ketika hadir ke klinik untuk ‘menuntut’ balik mayat Che’ Mok; setelah dibuka plastik putih penutupnya, kelihatan aman sekali kucing kesayangan penulis ini.


NYEK NYEK, JUNIOR JR (JJ) & TOMPOK JR (TJ)... Antara ketiga-tiga ini, Nyek Nyek hampir menyerupai neneknya, Che' Mok lebih kepada bulu lebat halusnya, tetapi bukan pada warnannya. Jinaknya, ya, seperti Che' Mok.


ANAK-ANAK CHE’ MOK ‘KEPINGA-PINGAAN’  

Usapan ke tubuhnya yang berbulu lebat halus warna putih-keperangan, berbelang-belang hitam pudar; terasa lembut sekali seolah-olah Che’ Mok sedang bertiduran sementara, bukan untuk selama-lamanya.

Tanpa disedari, bercucuran air mata. Begitulah juga dengan ahli-ahli keluarga penulis yang lain. Dalam kesedihan, mayat Che’ Mok yang dimuatkan oleh doktor berkenaan dalam kotak, dibawa pulang ke kuarters kediaman di Jalan Teluk Sisek itu.

Sekembalinya, mayat Che’ Mok penulis bawa untuk dilihat oleh anak-anaknya ketika itu, termasuklah Comel yang soalah-olah ‘kepinga-pingaan’. Penulis kemudian mencangkul- gali lubang di halaman selatan kuarters itu untuk pengkebumian.

Yang paling menyedihkan ialah ketika menurunkan mayat Che’ Mok ke dalam lubang   ini…

Dan, bersemadilah Che’ Mok di dalamnya yang selepas itu, apabila seringkali menimang anaknya, Comel, sebutan piawai penulis ialah; ‘Co…mel. Comel ni comel… tapi tak comel macam ‘tut, tut…’ (merujuk kepada Che’ Mok)’.

BABY JR (BJ), JINGGA & CHE' LANG JR (LJ)... Cicit-cicit Che' Mok. 


‘… TAPI TAK COMEL MACAM TUT, TUT…’

Dan hari ini, pewaris Che’ Mok, Comel masih bersama-sama penulis, begitu juga anaknya, Che’ Lang, yang penulis bawa berpindah-sama ke kediaman baharu ini sejak awal tahun ini.

Menurusi pewaris Che’ Mok inilah, lahirnya cucu – Che’ Lang sendiri; dan kemudian adik-beradiknya, Comel Jr (CJ) dan Tompok; serta, Nyek Nyek, Junior Jr (JJ), Tompok Jr (TJ) (anak-anak Comel daripada tiga kali kelahiran);

serta cicit – Baby, dan kemudian adik-beradiknya, Baby Jr (BJ) @ Cher-mare, Jingga, dan, Che’ Lang Jr (LJ) (anak-anak Che Lang daripada dua kali kelahiran).  
   
Dan kesebelasan mereka inilah, diketuai Comel; yang menjadi penyeri serta penenteram jiwa. Namun, bagaimana penyeri dan comelpun mereka di mata penulis, ‘… tapi tak comel macam tut, tut…’ – Khabar