Friday, 4 January 2013

Gerakan anti-Lynas tidak dapat sambutan, tapi hendak jatuhkan Kerajaan

... gelagat puak-puak penentang projek pemprosesan tanah jarang Lynas yang memualkan. 

LYNAS, BUKANLAH MENGENAI PENENTANGAN OLEH PUAK MINORITI SEMATA-MATA... Yang menyokong projek Lynas ini lebih besar cuma, mereka merupakan majoriti senyap (silent majority) yang apabila didesak, inilah reaksi mereka dengan menampilkan diri menyatakan sokongan.


HOTEL ZENITH, KUANTAN – Tidak sampaipun 140 kenderaan daripada 10,000 buah yang disasarkan oleh puak-puak anti-Lynas; yang berkonvoi dari Kuala Lumpur dan berkumpul di depan pintu masuk ke Lynas Advanced Manufacturing Plant (LAMP), Gebeng dekat sini menjelang tahun baharu (1 Januari) 2013.

Yang sekali lagi membuktikan gerakan mereka – kebanyakan pesertanya datang dari luar Kuantan, tidak mendapat sambutan rakyat khususnya penduduk tempatan di sekitar Balok dan juga Gebeng.

Namun, disebalik semua itu, gerakan anjuran Himpunan Hijau itu yang diketuai oleh Pengerusinya, Wong Tack, masih mampu memberitahu sebuah portal berita sehari sebelum bermula konvoi tersebut dari Gombak pada pagi Isnin, 31 Disember lepas;

“Inilah perjuangan rakyat yang sebenar… Dan sekarang, kami sudah menghampiri kejayaan,” Wong dipetik sebagai berkata oleh portal berita yang berat menyebelahi puak pembangkang itu.

Beliau juga dilaporkan memberitahu portal berita yang sama betapa, ‘menjatuhkan regim’ (ENG: Bringing down the regime) atau Kerajaan yang ada, ialah fokus utama mereka tahun 2013 ini.

MAHU KERJA KERAS JATUHKAN KERAJAAN

“Kami akan bekerja keras untuk menjatuhkan regim… Kami akan menjatuhkan Kerajaan,” katanya.

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang ditemui pemberita pada Majlis Serah-menyerah Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Biro Industri Ringan dan Tekstil Wilayah Ningxia, Republik Rakyat China pagi Jumaat, 4 Januari, ditanya mengenai perkembangan terbaharu oleh puak-puak penentang ini.

Pertanyaan menjurus kepada sokongan yang semakin menipis kepada puak-puak tersebut khususnya gerakan penentangan mereka menerusi konvoi Gombak-Kuantan menjelang tahun baharu itu.

“Saya percaya, gerakan anti-Lynas ini ataupun gerakan yang menyokong Lynas ini, ianya akan ditentukan oleh rakyat, pengundi dalam pilihanraya akan datang. Kita tidak dapat pastikan sama ada kesemuanya telah faham ataupun kesemuanya tidak faham.

“Tapi kalau kita lihat dari gerakan yang dibuat oleh pihak anti-Lynas ini nyata sekali tidak mendapat sambutan. Saya tak mahu komen panjanglah. Terserah kepada rakyat untuk memikirkan,” katanya.

Kepada soalan tentang pengisytiraharan puak yang sama yang mahu menumbangkan  Kerajaan pada pilihanraya umum kelak katanya, “ Memang itu kita tak dapat nafikan. Memang ini gerakan pembangkang”. – Khabar