… berkaitan isu gesaan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam
kitab Injil berBahasa Melayu yang titah Baginda juga;
“Menterjemahkan God atau Lord dengan Allah sangat
bertentangan dengan nilai ilmiah dan tatacara terjemahan. Apatah lagi beberapa
prinsip ketuhanan yang ada dalam ajaran Islam sangat berbeza dari perspektif Kristian”.
TITAH 18-MINIT BAGINDA TUANKU... Dengan diiringi di atas pentas oleh Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Muhammad Safian; KDYTM Tengku Mahkota menyampaikan titah-ucapan tegas Baginda mengenai isu kalimah 'Allah'.
HOTEL M.S.GARDEN, KUANTAN – Acara rasmi pagi Selasa, 29 Januari di sini ialah Majlis
Pelancaran dan Penyampaian Dana Tabung Palestin-Gaza di hotel milik Majlis
Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ini.
Namun, oleh kerana heboh
diperkatakan tentang isu penggunaan kalimah 'Allah' dalam kitab Injil berBahasa
Melayu, KDYTM Tengku Mahkota Pahang turut menyentuh mengenainya dalam titah-ucapan
18-minit Baginda semasa menyempurnakan Majlis tersebut.
“Mereka yang berkenaan,” titah Baginda, “Mesti
mengetahui batas sempadan masing-masing agar tidak menceroboh sempadan
tersebut, bagi mengelak wujudnya pra-sangka antara satu sama lain.
“Keharmonian negara mestilah dipelihara oleh semua
pihak,” tegas Baginda dan menambah
betapa golongan – baik pemimpin masyarakat, ahli politik, badan NGO atau ketua
agama; mesti memahami sensiviti agama dan bangsa masyarakat majmuk negara ini.
Sehubungan itu, Baginda turut
menegaskan betapa Islam sebagai agama negara, mesti dihormati dengan turut
memastikan mana-mana hak yang khusus bagi agama itu tidak sepatutnya dicerobohi.
TURUT LANCARKAN 'WAQAF WATER 4-GAZA'... Bersempena majlis pagi Selasa itu, KDYTM Tengku Mahkota turut melancarkan program kebajikan Waqaf Water 4-Gaza.
KALIMAH ‘ALLAH’ TAK BOLEH DITERJEMAH DALAM MANA-MANA
BAHASA
“Kalimah 'Allah' merupakan kalimah khusus yang tidak
boleh diterjemah dalam mana-mana bahasa di dunia. Ianya adalah penamaan khas
bagi Allah sahaja,”titah Baginda.
“Menterjemahkan God atau Lord dengan Allah,” titah Baginda lagi, “… sangat bertentangan dengan nilai ilmiah dan tatacara terjemahan.
Apatah lagi beberapa prinsip ketuhanan yang ada dalam ajaran islam sangat
berbeza daripada perspektif Kristian”.
Menurut titah Baginda juga, ‘Allah’ dalam ajaran Islam bermaksud Maha
Esa, yang tidak beranak mahupun diperanakkan serta tiada sama dengan makhluknya
seperti disebut dalam Surah Al-Ikhlas yang bermaksud;
“Katakanlah Wahai Muhammad. Allah itu Esa, Allahlah
tempat bergantungnya seluruh makhluk, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan,
dan tiada sesuatupun yang setara denganNya”.
KDYTM Tengku Mahkota
seterusnya menitah-sebut tentang betapa perbuatan mensyirikkan ‘Allah’ seperti penggunaannya pada yang
tidak sewajarnya, merupakan ‘sebesar-besar dosa dalam Islam.
PERSEMBAHAN PENTOMIN... Majlis turut diserikan dengan pentomin 11-minit bertajuk 'Silence is betrayal' atau 'Senyap itu pengkhianatan'.
BOLEH UNDANG KEMARAHAN, KETEGANGAN ANTARA AGAMA
Lalu Baginda mempersoalkan; “Apakah kita boleh menerima bila mereka
menterjemahkan ‘Allah’ ada anak, ‘Allah’
bersifat sebagaimana makhluk, ‘Allah’ digambarkan dengan sifat yang tidak layak
baginya?
“Tentulah ini akan mengundang kemarahan, ketegangan
antara agama. Ini merupakan penyalah gunaan nama ‘Allah’ yang akan pasti
berlaku sekiranya dibenarkan terjemahan God atau Lord dengan Allah,” titah Baginda.
Dan Baginda terus berhujah
bagaimana sepanjang pengetahuan Baginda, tiada ‘Bible’
dalam mana-mana bahasa sekalipun termasuk Bahasa Tamil atau Cina, yang
menterjemahkan God atau Lord dengan ‘Allah’.
“Kenapa ‘Bible’ Bahasa Melayu sahaja yang
diterjemahkan dengan Allah. Pastinya ini akan mengundang pelbagai prasangka.
Oleh yang demikian, menghindarkan keadaan ini daripada berlaku adalah lebih
baik, demi menjaga keharmonian dan kestabilan negara,” titah Baginda.
Baginda seterusnya merujuk
kepada negeri Pahang ini sendiri yang sejak tahun 2008 lagi, telah memutuskan bahawa
kalimah ‘Allah’ dan beberapa lagi
istlah, tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.
PENDERMA TERBESAR... Wakil daripada sebuah syarikat perlombongan emas di Selinsing, Lipis kelihatan sedang menyampaikan cek olok-olok bernilai RM200,000 - penderma terbesar pada Majlis tersebut.
MAJLIS FATWA KEBANGSAAN TURUT BUAT KEPUTUSAN
Ketidak bolehan itu pula ialah
sama ada dalam bentuk penggunaan, penyataan, penyebaran, percakapan, penerbitan
sama ada menerusi media cetak ataupun elektronik.
Ini menurut-titah Baginda
lagi, ialah sepertimana termaktub dalam Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan
Agama Bukan Islam No.5 tahun 1989 dan lain-lain istilah agama islam adalah
tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.
Selain daripada itu, Majlis Fatwa
Kebangsaan pada Muzakarah ke-82 antara 5 dan 7 Mei 2008 titah Baginda lagi,
turut mengeluarkan fatwa bahawa kalimah ‘Allah’
tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam.
“Dan adalah wajib bagi umat Islam menjaganya dengan
cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalah gunaan
terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan
undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Disamping, mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang
pada 16 Mei 1986 memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu ‘Allah’, ‘solat’, ‘kaabah’
dan ‘baitullah’ tidak dibenarkan penggunaannya oleh orang bukan Islam,” tegas Baginda.
SESI FOTO BERKUMPULAN... Para penderma sedang bersesi foto berkumpulan bersama-sama KDYTM Tengku Mahkota; serta Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
BERDIRI TEGUH PERTAHANKAN KALIMAH ‘ALLAH’
“Justeru itu, saya menyeru seluruh umat Islam di negeri
Pahang Darul Makmur khasnya dan di Malaysia amnya, untuk berdiri teguh
mempertahankan kalimah ‘Allah’ dan kalimah lain yang dinyatakan (yang) tidak
boleh digunakan oleh orang bukan Islam sama ada dalam media elektronik atau
media cetak.
“Pihak lain seharusnya mengambil perhatian serta
menghormati sensiviti agama masing-masing agar kesejahteraan rakyat berbilang
bangsa dan agama ini tidak tergugat,”
titah KDYTM Tengku Mahkota lagi.
Mengenai Majlis pagi itu, Baginda
yang mencetuskan penganjurannya bertitah, rakyat Palestin tidak pernah
mengecapi keamanan sebaliknya, sentiasa ditindas dan tidak mempunyai ruang
untuk mendapatkan hak mereka.
Sungguhpun kuasa-kuasa besar
dunia menyedarinya namun titah Baginda, tiada usaha yang benar-benar serius
dilaksanakan atau satu rancangan berkesan dilakukan untuk menyelamatkan Palestin.
“Sekatan demi sekatan telah dilakukan di sempadan laut
dan daratan oleh Israel, menambahkan lagi penderitaan mereka. Rakyat Palestin terpaksa
membina terowong-terowong bawah tanah bagi mendapatkan bekalan makanan dan
ubat-ubatan.
HADIRIN DAN HADIRAT... Yang turut kelihatan dalam foto ini ialah ketua-ketua organisasi Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang diwakili Ketua Eksekutifnya, Dato' Lias Mohd Nor (berbaju merah); dan Pengurus Besar, Yayasan Pahang (YP), Dato' Saariah Saad.
KEPRIHATINAN PM HARUS DICONTOHI
“Dilema kesengsaraan Palestin ini akhirnya mendapat
perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di merata pelusuk dunia yang
bertujuan membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin,” titah Baginda.
Baginda seterusnya menitah-nyatakan
kesyukuran ekoran komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh Perdana Meneri, Dato’
Sri Mohd Najib Abdul Razak yang turut melakukan lawatan kemanusiaan ke sana 23
Januari lepas.
“Keperihatinan YAB Perdana Menteri kita itu seharusnya
menjadi contoh dan pendorong kepada kita semua untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan
kepada rakyat Palestin.
“Saya berharap usaha murni negara kita ini akan
mendapat perhatian pihak terlibat serta dunia demi merealisasikan keamanan di
bumi Palestin,” titah Baginda lagi
sambil menyebut tentang inisiatif Baginda menitah-cadangkan Majlis pagi Selasa
ini.
“Dan Alhamdulillah,” titah Baginda, “… saya merasa
amat bangga dengan sambutan yang begitu menggalakkan , dimana begitu ramai
penyumbang yang tampil, terdiri daripada individu, agensi-agensi kerajaan,
syarikat perbadanan kerajaan dan syarikat swasta serta orang ramai melalui
tabung masjid;
RM1.1 JUTA TERKUMPUL
“Secara sukarela menghulurkan sumbangan kepada Dana Tabung
Palestin-Gaza ini. Jumlah kuitipan tabung masjid sahaja telah berjaya dikumpul RM117,118.10
manakala jumlah keseluruhan ialah RM1.1 juta.
“Ini menunjukkan bahawa kita semua terutamanya rakyat
negeri Pahang ini, sentiasa mengambil berat dan bersimpati terhadap penderitaan
yang dihadapi oleh rakyat Palestin.
“Saya berharap, usaha ini akan diteruskan ke seluruh
daerah di mana Pegawai Daerah hendaklah mengadakan usaha seumpamanya, bagi
membolehkan orangramai terus menyumbang kepada tabung ini,” titah Baginda.
Selain Menteri Besar, Dato’
Sri DiRaja Adnan Yaakob; yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Dato’ Paduka Mukhriz Mahathir yang juga Penasihat,
Perdana Global Peace Foundation (PGPF);
Tengku Besar Pahang, Tengku
Kamil Ismail Tengku Idris Shah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad
Safian Ismail, Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai; Presiden Haluan Palestin, Prof
Madya Dr Abdullah Sudin Ab. Rahman; serta kenamaan-kenamaan dan ketua-ketua
jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar