Sunday 13 January 2013

Perumahan - agenda tumpuan Kerajaan Negeri seterusnya, kata Menteri Besar


## Beliau turut umumkan kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan RM11.8 juta untuk projek-projek pembangunan di Bentong khususnya Karak, hasil lawatan-kerja dua (2) hari Timbalan Perdana Menteri ke Pahang termasuk pekan kecil dan daerah-sub Karak, Bentong

TINJAUAN MESRA DI PEKAN KECIL KARAK... Diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan dan Dato' Sri Liow yang juga ahli parlimen Bentong yang mana Karak ialah sebahagian daripada kawasannya; Tan Sri Muhyiddin sedang beramah mesra dengan mereka yang sedang bersarapan pagi di gerai di pekan ini pada pagi Sabtu, sebelum ke Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di Kampung Karak Setia yang berdekatan. 


KAMPUNG KARAK SETIA, KARAK, BENTONG – Usaha untuk menyediakan perumahan mampu-milik bagi rakyat Pahang ialah agenda tumpuan Kerajaan Negeri seterusnya setelah berjaya dengan tumpuannya kepada pendidikan selama ini.

“Kita tumpukan perumahan (pula). Agenda kita akan datang ialah perumahan,” kata Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan 16-minit luar teksnya pada Perhimpunan Rakyat 1Malaysia pagi Sabtu, 12 Januari di sini.

Berdepan hadirin kira-kira 20,000 orang termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dalam rangka lawatan kerja dua (2) hari (Jumaat, 11 Januari dan Sabtu, 12 Januari) ke negeri ini, beliau turut menyingkap kejayaan Kerajaan Negeri pimpinannya dalam aspek pendidikan selama ini.    

Tanpa mengira latar kaum, ugama mahupun fahaman politik katanya, Kerajaan Negeri menerusi Yayasan Pahang (YP), sentiasa membantu bagi menjayakan pendidikan anak-anak negeri khususnya dalam kalangan keluarga yang memerlukan.

“… kita di negeri Pahang ini sebagai contoh, agenda kita dahulu (ialah) pendidikan. Anak-anak tak kira Melayu, Cina, India, Orang Asli; tak kira ugama, tak kira fahaman politik – orang PAS ke, orang DAP ke, UMNO ke, (bila pelajar dapat keputusan) cemerlang (dan didapati) patut kita bantu, sebab susah (maka) patut kita bantu, kita bantu.

PERSEMBAHAN KOIR PEJABAT SUK... Foto ini dirakam pada petang Jumaat, 11 Januari di Bukit Gambang Resort City, Gambang, Kuantan sempena perjumpaan Timbalan Perdana Menteri dengan kira-kira 5,000 penjawat awam negeri dan pesekutuan. 


PROJEK RIMBUNAN KASIH @ PR1MA PAHANG

“Dari tahun 1983 hingga tahun 2013 sekarang ini, Yayasan Pahang (YP) sudah membelanjakan hampir RM800 juta, dekat RM1 bilion. Perbelanjaan paling besar ialah dari tahun 2000 hingga tahun 2012, (sebanyak) RM600 juta,” katanya yang juga Pengerusi YP.

Lanjutan kepada kejayaan itu katanya, tumpuan Kerajaan Negeri kini ialah ke arah memajukan sektor perumahan khususnya yang mampu dimiliki oleh rakyat-jelata negeri ini.   

Projek yang dikenali sebagai ‘Rimbunan Kasih’pun diperkenalkan yang hampir bersamaan dengan projek Kerajaan Persekutuan – Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan nilai jualan seunit rumah di Kuala Lumpur antara RM400,000 dan RM500,000.

“Kita ada PR1MA Pahang (projek ‘Rimbunan Kasih’). Kita telah perkenalkan PR1MA Pahang yang rumahnya (ber)harga antara RM120,000, RM180,000 (yang) tak lebih RM200,000 untuk mereka yang berpendapatan RM5,000 ke bawah suami-isteri.

“Dan kita telahpun mulakan empat (4) di Kuantan, dua (2) di Lipis, (dan) dua (2) di Cameron Highlands.

SEBAHAGIAN DARIPADA 5,000 PENJAWAT AWAM YANG HADIR... Mereka juga ialah sebahagian daripada kira-kira 65,000 penjawat awam di negeri ini, dengan cuma 20 peratus daripadanya atau kira-kira 13,000 orang ialah penjawat awam negeri dan selebihnya, 80 peratus atau kira-kira 52,000 orang ialah penjawat awam persekutuan. 

Dan daripada kira-kira 65,000 penjawat awam ini, mereka daripada perkhidmatan pelajaran atau guru, membentuk golongan yang paling ramai iaitu 37 peratus atau kira-kira 24,000 orang. 

Butiran ini seperti yang diberikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail dalam ucapan alu-aluannya pada majlis petang Jumaat itu.  

HARGA PR1MA PAHANG ½ DARIPADA HARGA SWASTA

“Di Cameron Highlandspun, pemajunya boleh jual RM200,000, satu unit apartment, tiga-bilik, dua-bilik air; berbanding dengan yang dijual oleh pihak swasta (bernilai) RM400,000,” katanya.

“Agenda (tumpuan Kerajaan Negeri) akan datang ialah, Pe…ru…ma…han. Dan ini hanya boleh dilaksanakan kalau kita dipilih, dan kalau kita kuat sebagai sebuah Kerajaan,” katanya lagi.

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga menyebut tentang keperluan Barisan Nasional (BN) terus memerintah negara dan negeri ini sementelah banyak yang telah dilaksanakannya demi kepentingan dan manfaat rakyat.

Ini tidak sepertimana di negara-negara lain yang Kerajaannya tidak menunjukkan kecekapan dalam mentabdir negara masing-masing hingga menyukarkan kehidupan harian rakyatnya.     

“Kita pergi (ke) sesetengah negara, sampahpun tak berkutip. Sampah menggunung tak berkutip. Kita pergi sebuah negara (lain) pula, peminta sedekah lebih ramai (daripada) orang (yang) pergi ke pasar,” katanya.

PEMBANGKANG JANJI APA SAHAJA TAPI…

Dalam pada BN sibuk mentadbir negara dengan keutamaan diberikan kepada usaha untuk terus memelihara kebajikan rakyat katanya, parti-parti politik pembangkang pula bertekad untuk ‘merampas kuasa’.

Lalu, kata Menteri Besar, “Dia (parti-parti pembangkang) janji apa sahaja (dengan) dia menimbulkan persepsi, fitnah. Kalau tengok orang tu lain sikit, ‘Ha… sombong’. Kalau tengok lain sikit, ‘garang’. Lain sikit, ‘rasuah’. Lain sahaja sikit, ‘salah guna kuasa’.

“Jadi, jangan mudah percaya (kepada janji serta persepsi salah dan fitnah pembangkang ini).

“Saya teringat cerita nenek saya zaman Jepun dulu. Sebelum Jepun datang, tali barut-tali barut Jepun – orang Melayu, orang Cina berkempen ‘Marilah sambut kedatangan Jepun’. ‘Kalau Jepun datang, makan mewah, kain baju ‘free’.

“(Akhirnya) Bila Jepun datang, (rakyat) makan ubi kayu, tak ada kain-baju. Sembahyang suami-isteripun berkongsi kain. Ha… bayangkanlah. Kemudian tu mati, tak ada kain kapan. Jenazah dimandi dan disembahyangkan (kemudian) dikapankan dengan tikar, tikar mengkuang.

JANGAN PERCAYA PADA JANJI, PERSEPSI SALAH & FITNAH PEMBANGKANG

“(Oleh itu) Jangan kita percaya (janji serta persepsi salah dan fitnah pembangkang sekarang),” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi pada akhir ucapannya, sebelum menyilakan pula Tan Sri Muhyiddin untuk menyampaikan amanatnya.

Menteri Besar itu juga kemudian mengumumkan persetujuan Timbalan Perdana Menteri meluluskan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM11.8 juta untuk memenuhi pelbagai permintaan pembangunan dalam daerah Bentong khususnya di Karak ini.

Daripada peruntukan RM11.8 juta itu ialah RM5 juta untuk kerja-kerja menaik-taraf Masjid Karak; RM4 juta untuk membina dan menyiapkan dewan di Kompleks Sukan Benus; RM2 juta untuk membina baharu, menaik-taraf serta menyelenggara infrastruktur awam dan asas dalam daerah Bentong;

Sebanyak RM500,000 untuk membaik-pulih bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Bentong; dan, RM300,000 untuk membina dewan terbuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia.  

Antara yang turut hadir pada majlis pagi Sabtu itu dan turut berucap sebelum Tan Sri Muhyiddin dan Dato’ Sri DiRaja Adnan ialah Timbalan Presiden, Persatuan Cina Malaysia (MCA), Dato’ Sri Liow Tiong Lai; Presiden, Kongres India Malaysia (MIC), Dato’ G.Palanivel;

Presiden, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Tan Sri Koh Tsu Koon; dan Presiden, Parti Progresif Rakyat (PPP), Dato’ M.Kayveas. Yang turut hadir ialah ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri; wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN); serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar