Thursday, 24 January 2013

Jangan gadai kesucian Islam hanya kerana hendak jaga hati pihak tertentu, titah KDYMM Sultan Pahang


… nasihat tegas Baginda dalam titah-ucapan 15-minit sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1434H/2013M.

RAMAINYA... Inilah ruang duduk muslimah, yang oleh kerana ramainya hadirin, lelaki turut mengambil peluang duduk di ruangan ini manakala yang berdiri kelihatan ramai yang berhampiran dengan pintu-pintu di sisi Dewan. 


DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, KUANTAN “Janganlah kerana hendak menjaga hati dan perasaan pihak-pihak, kumpulan atau individu tertentu, sehingga kita menggadai kesucian dan kemuliaan Islam,” demikian nasihat tegas  KDYMM Sultan Pahang.

Baginda meluahkannya dalam titah-ucapan 15-minit sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri 1434H/2013 pagi Khamis, 24 Januari di sini, yang dihadiri pemimpin dan rakyat hingga tidak tinggal satupun kerusi kosong dalam Dewan.  

Sungguhpun Baginda tidak menyebut secara khusus isu mahupun pihak yang dimaksudkan, namun umum dapat kaitkannya dengan isu semasa yang negara hadapi tentang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam kitab injil berBahasa Melayu.

Penggunaan kalimah ini telah disepakati setuju oleh kepimpinan parti-parti pembangkang yang diterajui parti-parti politik PAS, DAP dan PKR, tetapi ditolak oleh Majlis Syura – badan tertinggi PAS, kemudiannya.

“Walaupun kita mengamalkan toleransi beragama,” titah KDYMM Sultan Pahang, “namun perlu diingatkan bahawa dalam masyarakat majmuk yang berbilang kaum, berbilang agama, dan budaya ini, pasti akan wujud isu sensitif yang boleh menimbulkan ketegangan dalam negara”.

'SPORTING'NYA TUANKU... Sungguhpun dalam berjalan keluar untuk ke majlis santapan di luar Dewan, KDYMM Sultan Pahang masih secara 'sporting', berkenan berhenti untuk memberikan 'pose' untuk dirakamkan gambar Baginda oleh hadirin. Yang menyusul di belakang Baginda ialah DYMM Sultanah Pahang; KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan KDYTM Tengku Puan Pahang;, serta Menteri Besar.  


TANGANILAH DENGAN PENUH BIJAKSANA

Lalu Baginda bertitah lagi, “Saya berharap, apabila kita berhadapan dengan isu-isu yang menyentuh tentang sensitiviti agama dan nilai budaya masyarakat setempat, ianya perlu ditangani dengan penuh bijaksana…

“Dan berhati-hati, saling memahami, menghormati antara satu sama lain, bertolak ansur serta menjunjung tinggi prinsip perpaduan dan tolerasnsi sejagat demi memelihara keamanan”.

Lanjutan itulah, Baginda bertitah ‘mengingatkan diri saya dan tuan-tuan serta puan-puan’, “Janganlah kerana hendak menjaga hati dan perasaan pihak-pihak, kumpulan atau individu tertentu, sehingga kita menggadai kesucian dan kemuliaan Islam”.

Menurut-titah Baginda lagi, Nabi Muhammad SAW telah mewariskan kepada umatnya al-Quran dan sunnahnya untuk dijadikan sebagai panduan ke arah mencorak hidup umatnya yang lebih bermakna.

Sehubungan itu juga Baginda bertitah, “Maulidur Rasul yang kita sambut dan raikan setiap tahun ini, hendaklah dijadikan sebagai momentum untuk mempertingkatkan lagi gerak langkah ke arah cara hidup yang sepertimana dikehendak oleh Allah SWT”.

PENCETUS ISU... Siri terbaharu mengenai isu kalimah 'Allah' dipercayai bermula dengan perutusan Hari Krismas 2012 oleh pemimpin DAP ini (yang terkedepan dalam foto pada 'banner' ini), yang antara lain meminta agar kalimah suci ini turut dibenarkan dipakai dalam kitab injil berBahasa Melayu di Semenanjung Malaysia. 

Mengenai 'banner' ini sendiri yang direntangkan di tempat-tempat tertentu di negeri Pulau Pinang pimpinan parti pembangkang DAP itu bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 2013, wajarkah?      


TANGGUNGJAWAB SEMUA PELIHARA PERPADUAN

Mengenai sambutan Maulidur Rasul ini titah Baginda, ia bukan setakat memberi ruang kepada umat Islam untuk memperingati dan meraikan bersama tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW, malah ia juga merupakan wadah untuk mengukuhkan lagi ukhwah dan perpaduan dalam kalangan mereka.

Dan ukhwah dan perpaduan ini perlu sentiasa dijiwai dan disemarakkan kerana ia titah Baginda, begitu penting dalam mewujudkan keadaan yang lebih aman dan  harmoni, ke arah mencapai kemajuan dan kejayaan yang lebih bermakna.

“Islam membenarkan sikap toleransi dalam urusan kehidupan di dunia namun permuafakatan tersebut perlu bersandarkan petunjuk-petunjuk. Setiap anggota masyarakat hendaklah bertanggungjawab memelihara asas agama sebagai ‘framework’ kepada perpaduan ummah,” titah Baginda.

Sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW titah Baginda, bermula sejak keputeraan sehinggalah saat kewafatan Baginda dan perjuangan itu meliputi soal-soal membimbing,  mengukuhkan nilai hidup dan mengajak umat ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT.

Seterusnya Nabi Muhammad SAW, titah Baginda lagi, telah membangunkan umat Islam yang kuat dan hebat hingga turut disegani oleh bangsa-bangsa lain.

‘BAHAN YANG SALING MENYOKONG’

“Rasulullah SAW memberi peringatan supaya kita memelihara perpaduan dan kesatuan ummah serta menjauhkan sama sekali sebarang permusuhan dan perbalahan yang boleh mengakibatkan perpecahan dan menghancurkan negara.

“Rasulullah SAW memberi panduan ke arah mewujudkan suasana harmoni dalam hidup masyarakat. Rasulallah SAW pernah menggambarkan mengenai perpaduan dan kesatuan ini, sabdanya yang bermaksud;

“Ibarat seorang mukmin dengan seorang mukmin, yang baik ialah sebuah binaan yang terdiri daripada bahan yang saling menyokong satu sama lain, sehingga tercipta sebuah binaan. Hadith riwayat  Muslim,” titah Baginda.

Yang turut berangkat mengiringi KDYMM Sultan Pahang pada sambutan ini ialah DYMM Sultan Pahang; serta KDYTM Tengku Mahkota Pahang dan isteri, KDYTM Tengku Puan Pahang.

Selain Menteri Besar, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob yang sebelum itu turut menyampaikan ucapan, dan isteri, Datin Sri DiRaja Junaini Kassim; yang turut hadir ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Sri Wan Razali Wan Mahussin; ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan wakil-wakil rakyat; serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Disamping persembahan ucapan, acara sambutan pagi Khamis ini turut dipenuhi dengan ceramah agama 45-minit oleh penceramah – Encik Haslin Baharin yang terkenal dengan bacaan-bacaan ayat al-Quran dan hadith ala-Hindi serta syair Urdu, yang diselang-selikan dengan persembahan kumpulan muzik/nyanyian ‘unplugged’ tema ketuhanan dari Sarawak – Silica. – Khabar