Saturday 19 January 2013

'Terpulang kepada rakyat Selangor untuk tukar Kerajaan'


 … ekoran kedegilan dan dolak-dalik Kerajaan tersebut untuk menyetujui projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 yang merupakan lanjutan kepada Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS)

'BACKDROP' MENARIK MAJLIS DI SK PELANGAI, KAMPUNG JAWI-JAWI...  Sebelum ke SMK (LKTP) Chemomoi, Menteri Besar ke sekolah rendah ini terlebih dahulu bagi menyampaikan bantuan khas awal tersebut kepada 13,200 murid dari tujuh (7) sekolah kebangsaan dalam Dewan Undangan Negeri Pelangai yang mana beliau ialah juga wakil rakyatnya. 


SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN (LKTP) CHEMOMOI, BENTONG – Terpulang kepada rakyat Selangor bagi menentukan nasib Kerajaan Negeri itu pada pilihanraya umum kelak ekoran kedegilan Kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat itu meluluskan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2.

Inilah yang dikatakan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob sebagai merujuk kepada projek Loji Rawatan Air Langat 2 yang tergendala itu, yang merupakan lanjutan kepada Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS).

Kata-kata ini sebagai menjawab soalan wartawan tentang perkembangan terkini mengenai projek projek ribuan juta ringgit tersebut ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 petang Jumaat, 18 Januari lepas di sini.  

“Saya hari itu (ketika) ditanya oleh pihak wartawan, kita ingat nak batalkan sahaja perjanjian itu. Rupa-rupanya, setelah diberikan nota-nota, kita dapati pembatalan itu hanya boleh dengan kelulusan Menteri.

“Tapi, kalau Kerajaan Selangor masih lagi degil, terpulang kepada rakyat Selangorlah untuk tukar Kerajaan tu. Sebab ini soal air ni. Nak naik ke atas tiga tingkat, tujuh tingkat (bagi penghuni rumah-rumah pangsa)  bawa baldi (air) bukan senang. Tak boleh…,” katanya.  

RAMAH-MESRA DENGAN IBUBAPA PELAJAR, YANG JUGA PENGUNDINYA... 


PERJANJIAN 22 NOVEMBER 2007

Perjanjian yang dimaksudkan ialah yang ditanda tangani oleh kedua-dua Kerajaan Negeri Pahang dan Selangor pada 22 November 2007 yang antara lain menetapkan untuk Pahang membekalkan air mentah kepada Selangor pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika itu, 1.893 juta meter padu sehari pada kadar 10 sen semeter padu.

Segala-galanya kelihatan berjalan lancar selepas itu hinggalah kepada pilihanraya umum pada Mac 2008, yang menyaksikan Kerajaan Selangor diambil-alih oleh PR daripada BN, yang sejak itu Kerajaan PR tersebut berdolak-dalik khususnya tentang Loji Rawatan Air Langat 2.

Dan, selepas kira-kira empat (4) tahun berlalu, dengan Kerajaan PR Selangor terus menunjukkan sikap degil dan berdolak-daliknya dengan Kerajaan Persekutuan berhubung dengan projek Loji Rawatan Air Langat 2, ia telah turut mengecewakan Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Ia kerana, projek Loji Rawatan Air Langat 2 ialah lanjutan kepada PPAMPS. Kerajaan Pahang tiadapun masalah dalam menyumbang kepada kelancaran pelaksanaannya maka tentu mengecewakan apabila mendapati ia akan menjadi sia-sia hanya kerana projek Loji Rawatan Air Langat 2 menghadapi masalah pelaksanaan ekoran gelagat Kerajaan PR Selangor sekarang.

Lalu, kekecewaan itu dihamburkan buat pertama kalinya pada pagi Ahad, 23 September lepas dalam ucapan sempena Mini MAHA dan Jelajah Kesihatan Daerah Bentong yang turut dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sri Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi, BN Selangor.

BERATUR UNTUK DAPATKAN BANTUAN KHAS AWAL... Inilah sebahagian daripada 445 pelajar SMK (LKTP) Chemomoi yang berbaris, menunggu giliran untuk menerima bantuan tersebut daripada Menteri Besar. 


HARGA LAIN, BUKAN LAGI 10 SEN SEMETER PADU SELEPAS INI

“Saya akan dapatkan nasihat Penasihat Undang-undang (Negeri). Kalau perlu batal, (kita akan) batal(kan). Tak apalah, dia tak nak (pembekalan air mentah berkenaan).

“Tapi esok (atau pada hari-hari kemudian), kalau dia (Kerajaan Selangor) nak balik (pembekalan air mentah tersebut), tak boleh 10 sen dah. Harga lainlah,” kata  Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media pagi Ahad, 23 September itu.

Mengenai majlis petang Jumaat, 18 Januari kata Dato’ Sri DiRaja Adnan, pemberian RM100 seorang murid/pelajar mungkin dianggap kecil nilainya namun ia melibatkan ramai murid/pelajar lalu menyumbang kepada peruntukan yang besar.

Bagi majlis di sini dan majlis yang sama yang trut dihadirinya di Sekolah Kebangsaan Pelangai, Kampung Jawi-jawi yang berdekatan katanya, ia melibatkan RM132,200 kepada 13,200 murid sekolah-sekolah rendah dalam Dewan Undangan Negeri Pelangai, serta RM44,500 kepada 445 pelajar sekolah menengah SMK (LKTP) Chemomoi ini.

“… yang penting ialah keprihatinan Kerajaan. Simbolik disebalik pemberian itu sendiri. RM100 itu bukan satu amaun yang besar tetapi dari segi pengertian, ingatan Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, RM100 ini membawa makna yang sangat besar.

MENTERI BESAR YANG SENTIASA 'HANDS-ON'... Pada majlis-majlis sebeginilah juga, Dato' Sri DiRaja Adnan tidak terlepas daripada melayani, mendengari serta menangani bagi mengatasi apa juga aduan yang ditimbulkan oleh rakyat kepadanya. Yang turut kelihatan ialah pembantu khasnya di DUN pelangai ini, Encik Ghafar (kiri beliau). 


BUKAN GIMIK PILIHANRAYA  

“Dan ini bukan pula kita katakan sebagai satu gimik pilihanraya. Sebelum ini lagipun. Tahun lepaspun, Kerajaan telah meluluskan BR1M, bantuan ‘voucher’ (buku) dan kali ini dapat bantuan awal persekolahan,” tegasnya.

Menurutnya lagi, Kerajaan Persekutuan pimpinan Dato’ Sri Mohd Najib sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat dan pula ia dilaksanakan secara berterusan, bukannya bermusim-musim.

“Secara kebetulan, pilihanraya (kini) sudah dekat. Takkanlah kerana untuk kita tunjukkan bukan kerana pilihanraya , kita tak nak beri (apa-apa bantuan yang telah menjadi amalan betreusan Kerajaan BN selama ini,” katanya. – Khabar