PERSIDANGAN MEDIA BERSAMA... Apa yang diperkatakan oleh Encik Wang (di sebelah kanan Dato' Sri DiRaja Adnan) diterjemahkan ke Bahasa Inggeris oleh gadis kakitangan ECER (kanan sekali) selaku pengacara majlis.
HOTEL ZENITH,
KUANTAN
– Pahang akan berusahasama dengan Wilayah Autonomi Ningxia Hui, Republik Rakyat
China, dalam memajukan industri halal di Taman Industri Halal Gambang dekat
sini.
Ke
arah itu demi meraih pasaran halal dunia yang tumbuh kira-kira RM7.46 juta juta
(trillion) setahun, Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani antara Majlis
Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan Biro Industri Ringan
dan Tekstil Ningxia (NLTIB).
Bersaksikan
Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha, Biro Promosi Pelaburan, Wilayah Autonomi Ningxia Hui, Encik Wang Jing; MoU itu ditandatangani oleh Ketua
Pegawai Eksekutif, ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John dengan Timbalan Ketua
Setiausaha, Biro Pembangunan Industri Tekstil, wilayah berkenaan, Encik Ma Liting pada pagi Jumaat, 4
Januari, di sini.
Berbanding
Pahang – berkeluasan 3.6 juta hektar dengan 1.5 juta penduduk; Wilayah Autonomi
Ningxia Hui yang terletak di sebelah utara-tengah Negara China, seluas 6.6 juta
hektar dengan 5.62 juta penduduk, 35.8 peratus atau 2.01 juta daripadanya ialah
Muslim kaum Hui.
Ketika
mengulas mengenai MoU ini pada persidangan media bersama, Dato’ Sri DiRaja
Adnan mengalu-alukannya, termasuk menyambut baik kehadiran Encik Wang – beliau
sendiri seorang Muslim kaum Hui, ke negeri ini.
SEPAKAT BAWA BERKAT... Sesi foto berkumpulan. Dengan termeterainya MoU ini maka akan terlaksanalah impian untuk memajukan industri halal di negeri, negara dan rantau ini.
UMP TERLIBAT
DALAM R&D KELUARKAN LEBIH BANYAK PRODUK HALAL
“Kedatangan
rombongan dari Ningxia ini yang diketuai oleh Encik Wang Jing dan
rakan-rakannya, adalah untuk kita majukan lagi Taman Industri Halal Gambang ini,” kata Menteri
Besar.
Bagi
memantapkan lagi usahasama itu, beliau menyarankan agar Universiti Malaysia
Pahang (UMP) di Gambang, turut dilibatkan dalam usaha penyelidikan dan
pembangunan (R&D) bagi memperkenalkan lebih banyak produk halal di Taman
Industri Halal Gambang tersebut.
“Saya jangka,
kita mampu memperkenalkan lebih banyak lagi produk halal (menerusi penglibatan
UMP) yang mampu menarik pasaran – nilainya besar sekali (yakni) pada tahun 2011,
nilai eksport produk halal negara ialah RM35,400 juta (RM35.4 bllion) atau
kira-kira 5.1 peratus daripada nilai eksport Malaysia.
“Besar kemungkinan,
dengan usahasama antara kedua-dua negeri dan wilayah ini, terdapat sinergi di
sana; kita akan mampu menarik pasaran yang lebih, yang mungkin lebih besar
daripada 5.1 peratus itu,” katanya lagi.
Dato’
Sri DiRaja Adnan seterusnya berkata, betapa dengan kedatangan rombongan pelabur
dari Wilayah Autonomi Ningxia Hui ini membuktikan lagi tentang iklim pelaburan
yang positif di negeri Pahang ini.
INILAH WILAYAH AUTONOMI NINGXIA HUI... Ningxia ialah satu (1) daripada hanya lima (5) wilayah yang diberikan kuasa autonomi (bebas) oleh Kerajaan China, dan pula, oleh kerana bilangan penduduk Muslim yang ramai, dilantik oleh Kerajaan negara itu bagi membangunkan industri halal di sana.
PELABUR TERUS
MELABUR DI KUANTAN
“Sekurang-kurangnya
kedatangan mereka ini membuktikan bahawa Malaysia terutamanya Pahang,
terutamanya Kuantan; (masih) didatangi oleh pelabur-pelabur. Maknanya, Kuantan
akan terus membangun,” katanya.
Pada
persidangan media yang sama, Encik Wang – memulakan dengan salam, ‘Sarlare-mare-lare-kom’, mengesahkan Wilayah
Ningxia Hui ialah asasnya wilayah Muslim yang dilantik oleh Kerajaan China untuk
membangunkan industri halal di negara tersebut.
Oleh
kerana Malaysia termasuk Pahang telah diiktiraf sebagai negara yang dipandang
tinggi dalam pengeluaran produk halal khususnya dalam aspek persijilannya kata
Encik Wang, maka Pahang dipilih untuk menjalinkan MoU berkenaan.
Sehubungan
itu, beliau menjemput Menteri Besar untuk berkunjung ke Ningxia bagi melihat
kemajuan yang telah dicapai dalam membangunkan industry halal di wilayah
autonomi tersebut.
Yang
turut hadir pada majlis pagi Jumaat ini ialah Pengarah, Bahagian Perancangan
Ekonomi Negeri (B-Pen), Dato’ Mahadiah Mohamed; Naib Canselor UMP, Dato’ Dr
Daing Nasir Ibrahim; serta lagi enam (6) anggota rombongan Wilayah Autonomi
Ningxia Hui termasuklah penolong kepada Encik Wang, Encik Wu Baocai. – Khabar