Thursday 28 March 2013

Geran untuk tapak rumah ibadat bukan Islam



… antara satu lagi kandungan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13

BERSATU, BERSEMANGAT DALAM GELOMBANG BIRU... 
  

DEWAN JUBLI PERAK SULTAN HJ AHMAD SHAH, BENTONG – Tapak bagi rumah-rumah ibadat bukan Islam di atas tanah Kerajaan selama ini cuma dirizabkan sedemikian tetapi kini, Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) mahu menukarnya kepada status geran atau tanah hak milik pula.

Dan perkara ini akan menjadi antara kandungan utama dalam Manifesto BN Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), yang pasti ditunaikan apabila BN sekali lagi diberi kemenangan lalu kekal memerintah negeri selepas pilihanraya itu.

Inilah antara apa yang dikatakan oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi BN Negeri, Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob dalam ucapan 40-minit melancarkan ‘Gelombang Biru Parlimen Bentong’ pada petang Khamis, 28 Mac di sini;

Yang kemudian diminta mengulasnya pada persidangan media yang diadakan pada penghujung majlis tersebut.

“Sekarang ni,” menurutnya, “Rumah-rumah ibadat orang bukan Islam (yang) terletak atas tanah Kerajaan,  kita rizabkan sebagai (tapak) rumah ibadat untuk satu-satu kaum tertentu. Sedangkan rumah ibadat itu telahpun berada begitu lama.

BERSILA KITA... Tanpa menghiraukan sofa empuk yang telah disediakan, bagi menunjukkan lagi ke'bersamaan'nya dengan khalayak sekelian, Dato' Sri DiRaja Adnan mengajak seluruh barisan kepimpinan BN Parlimen Bentong untuk bersila di depan pentas, bersamanya. 


ATAS SEMANGAT 1MALAYSIA

“Atas kesedaran (serta semangat) 1Malaysia (yang dicetus dan diamalkan oleh) kepimpinan YAB Perdana Menteri, jadi kita menunjukkan bahawa kita (juga) prihatin. (Maka,) kalau kita menang pilhan raya (umum) ni esok, rumah ibadat tu –
tapaknya kita beri geran, suratan hakmilik.

“Ini termasuk (dalam) manifesto, manifesto Barisan Nasional Negeri,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

Kepada soalan lanjut wartawan tentang kenaan premium ke atas tapak-tapak yang dbreikan geran atau hak milik itu katanya, kalaupun dikenakan, ia akan bersifat ‘biasanya, nominal sahaja’.

“Terpulang kepada Kerajaanlah – RM10,000 ke, RM1,000 ke, RM100 ke, RM10 ke ataupun RM1… Terpulanglah. Mungkin kalau rumah ibadat tu selalu didatangai oleh orang kaya-kaya, ha , kita boleh kena(kan) premium (yang relatif tinggi).

“Tapi kalau (rumah ibadat bukan Islam itu dikunjungi oleh) orang kampung, orang biasa, penoreh getah semua tu… (yang berpendapatan tidak besar) nak premium apa?” katanya lagi.

SAMA-SAMA KITA PATERIKAN IKRAR, UNTUK MENANGKAN BN... Dengan penuh tertib, khalayak dalam kalangan pemimpin dan ahli BN sedang mengangkat serta melafazkan ikrar. 


TUNJUKKAN BN BERSIAP SEDIA

Beliau turut mengulas mengenai dakwaan pembangkang konnonnya Parlimen belum juga dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-13, ialah kerana Perdana Menteri takut untuk menghadapi pilihanraya tersebut.    

Kononnya pula ada yang mendakwa, sungguhpun Perlembagaan Persekutuan membenarkan tetapi adalah salah daripada segi moralnya apabila Perdana Menteri belum juga lagi mengumumkan pembubaran tersebut.

“Itulah guna(nya) Perlembagaan, itulah guna undang-undang. Dan ikut amalan konvensyenpun, memang Perdana Menteri parti pemerintah yang mempunyai – bukan kuasa, pendapat dia kemudian dia kemukakan kepada kalau di Britain, Queenlah, kalau di Malaysia, Yang Dipertuan Agong.

“Itu telah diperuntukkan (dalam Perlembagaan Persekutuan). Maknanya, kalau tidak diisytiharkan pembubaran, akan sampai satu tempoh pembubaran otomatik. Dah ada dalam undang-undang, tak apalah,” katanya.

Mengenai majlis petang Khamis ini katanya, ia dianjurkan bagi menunjukkan kepada ahli-ahli BN dan juga parti-parti pembangkang bahawa BN di sini sudah bersiap-sedia untuk menghadapi PRU-13.

BAIKNYA KEPIMPINAN BN KITA; DALAM PADA AKUR KEPADA KEHENDAK DAN KEPERLUAN MAJORITI, YANG MINORITI TURUT DILAYANINYA... Dato' Sri DiRaja Adnan sambil Dato' Sri Liow di sisi, sedang melayani masalah yang dikemukakan hingga ke meja makan, oleh seorang warga Sikh ini. 


BEKERJA SECARA SISTEMATIK

“Kita bersiap untuk melaksanakan proses demokrasi iaitu pilihanraya. Dan yang pentingnya ialah, kita lihat tadi, jentera semua komponen bekerjasama. Yang penting sekarang ini ialah menggerakkan gerakan dan bekerja secara sistematik,” katanya.

Yang turut hadir pada majlis penuh bersemangat ‘membara’ dengan ‘lautan’ baju biru memenuhi setiap sudut Dewan ini ialah Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Liow Tiong Lai yang juga ahli parlimen Bentong serta Pengerusi MCA Negeri;

Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Hoh Khai Mun yang juga Timbalan Pengerusi MCA Negeri serta wakil rakyat (BN – Bilut); Pengerusi, MIC Negeri, Dato’ M.Davendran yang juga wakil rakyat (BN – Sabai);

Pengerusi, Gerakan Negeri, Dato’ Dr Ng Kwang Chye yang juga wakil rakyat (BN – Ketari); serta, Pengerusi PPP Negeri, Dato’ A.Elayppan. – Khabar