Friday 29 May 2015

Elaun bulanan wakil rakyat kita naik kepada RM11,000



… asalnya dicadangkan naik kepada RM10,000, kemudian dipersetujui dipinda dan dinaikkan kepada RM11,000.

“Ianya telah ditangguhkan sebegitu lama sehinggakan Kerajaan Negeri Pahanglah yang masih belum lagi membuat pindaan.

“Kerajaan-kerajaan Negeri lain semuanya telah membuat pindaan mengenai Enakmen Saraan masing-masing,” kata Menteri Besar.

JANGKAAN PERKHIDMATAN LEBIH BERMUTU DARIPADA WAKIL RAKYAT-WAKIL RAKYAT KITA... Dengan kenaikan elaun bulanan kepada RM11,000, jangkaan kita kepada wakil rakyat-wakil rakyat daripada kedua-dua 'political divide' tentunya lebih tinggi, yang dengannya tentu negeri dapat dimajukan lagi demi kemakmuran rakyat-jelata sepertimana kitalah juga.  


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Setelah tertangguh sekian lama dan selepas negeri-negeri lain melaksanakannya; Pahang akhirnya menuruti dalam meminda enakmen berkenaan bagi menaikkan elaun bulanan wakil rakyatnya kepada RM11,000, berkuatkuasa 1 Januari lepas.

Kenaikan ini dikira wajar berbanding cuma RM4,112.79 yang wakil rakyat-wakil rakyat negeri ini – sama ada dari parti memerintah mahupun pembangkang, nikmati selama ini, yang tidak dipinda-pinda sejak tahun 1980-an lagi.

“Ianya telah ditangguhkan sebegitu lama sehinggakan Kerajaan Negeri Pahanglah yang masih belum lagi membuat pindaan.

“Kerajaan-kerajaan Negeri lain semuanya telah membuat pindaan mengenai Enakmen Saraan masing-masing,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob ketika membentangkan Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2015 pada pagi Jumaat, 29 Mei, di sini.

Selain wakil rakyat-wakil rakyat biasa, Enakmen ini juga turut menyentuh tentang gaji bulanan dan kenaikannya melibatkan Speaker dan Timbalan Speaker kepada Dewan ini – masing-masing naik kepada RM14,000 dan RM7,000 daripada asal, masing-masing cuma RM6,109.29 dan RM2,662.

GAJI BULANAN SPEAKER SAMA DENGAN AHLI MMK

Begitu juga dengan gaji bulanan Menteri Besar yang dinaikkan kepada RM30,000 daripada asal cuma RM14,175.15; gaji bulanan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri kepada RM14,000 daripada cuma RM6,109.29; dan, Setiausaha Politik kepada RM9,000 daripada RM3,993.

Jika menurut pembentangan awal Menteri Besar sebelum itu, kenaikan yang dicadangkan ialah kepada RM10,000 untuk wakil rakyat-wakil rakyat biasa; RM13,000 dan RM6,000 untuk masing-masing Speaker dan Timbalannya;

Sebanyak RM31,000 untuk Menteri Besar; RM13,000 untuk Ahli-ahli MMK; dan, RM8,000 untuk Setiausaha Politik.    

Apabila dibentang untuk perbahasan pada peringkat Jawatankuasa, wakil rakyat pembangkang, Syed Hamid Syed Mohamed (PAS – Kuala Semantan) telah bangun dengan antara lain meminta agar elaun bagi mereka dinaikkan kepada RM11,000, menyamai kenaikan elaun bulanan wakil rakyat-wakil rakyat negeri jiran, Terengganu.

Menyusul menyertai perbahasan yang sama kemudian ialah dua (2) lagi wakil rakyat iaitu Encik Choong Siew Onn (DAP – Teras), dan, Dato’ Wan Salman Wan Ismail (BN – Jengka).     

KENAIKAN ELAUN MENJANJIKAN PERKHIDMATAN LEBIH BAIK

Ekoran itulah, Menteri Besar mencadangkan kenaikan-kenaikan tersebut secara muktamad dan disokong oleh Pengerusi, Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN (BNBBC) Negeri, Dato’ Dr Ahmad Shukri Ismail (BN – Pulau Tawar).

Dengan kenaikan itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan percaya, perkhidmatan yang lebih baik dapat diberikan kepada rakyat yang diwakili, sekaligus memberikan manfaat yang lebih besar kepada merekalah juga.

Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2015 itu kemudian diluluskan sebulat suara, tanpa suara bantahan oleh kesemua 42 wakil rakyat yang ada. – Khabar