Sunday 3 May 2015

Saham untuk Orang Asli!



… di empat kampung bersebelahan ladang kelapa sawit 810 hektar milik anak syarikat Yayasan Pahang

LAWATAN KE BILIK DARJAH... Selepas merasmikan pelancaran dan penyerahan sumbangan Kit Kelas Abad 21 oleh Pelaburan MARA Bhd kepada SK Muadzam Jaya, Muadzam Shah pada petang Isnin, 3 Mei; Dato' Sri DiRaja Adnan turut melawat bilik darjah yang menyediakan peralatan-peralatan daripada kit berkenaan. 

Selain calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihanraya Kecil (PRK) Parlimen kawasan Rompin, Dato' Hasan Arifin (bersongkok, di belakang Dato' Sri DiRaja Adnan) ialah Pengerusi, Pelaburan MARA Bhd, Dato' Suhaimi Shahadan (sebelah kiri Menteri Besar)    
 
KAMPUNG ORANG ASLI BUKIT LEPAS, ENDAU, ROMPIN – Kerajaan Negeri bersetuju memberi saham kepada Orang Asli di empat kampung yang bersebelahan  kawasan untuk tanaman kelapa sawit seluas 810 hektar (2,000 ekar) berhampiran Kampung Orang Asli Mentelong dekat sini, oleh anak syarikat Yayasan Pahang (YP).  

Jumlah mereka yang terlibat ialah seramai 292 orang, yang merupakan ketua-ketua keluarga dari kampung-kampung Orang Asli Bukit Lepas ini sendiri; Sungai Mok; Denai; dan, Mentelong.

Anak syarikat YP itu pula ialah YP Plantation Holdings Sdn Bhd (YPPH), yang sememangnya terkenal sebagai syarikat perladangan kelapa sawit berjaya, hingga mampu menyumbang hasilnya kepada YP untuk kemudian dibelanjakan dalam bentuk penyediaan bantuan-bantuan pendidikan untuk anak-anak Pahang.   

“Kita akan buatkan – ditebang-tebaskan; diperun – perun ni makna bakar; lepas itu ditanam. Dalam tempoh tiga (3) tahun ianya akan berhasil (dan) kita akan bagi mereka ini (292 Orang Asli tersebut) dalam bentuk saham,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada persidangan media.

“Yayasan Pahang (menerusi YPPH) akan bangunkan, kita akan tolaklah kos-kos pembangunan tu, dan kita akan bagi keuntungan itu kepada masyarakat Orang Asli di empat buah kampung ini,” katanya lagi. .

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 26-MINITNYA... Majlis di SK Muadzam Jaya ini menyusul selepas majlis di Kampung Bukit Lepas, Endau pada sebelah pagi. Selepas majlis ini, Dato' Sri DiRaja Adnan menghadiri pula majlis pecah tanah masjid Bandar Setelit Muadzam Shah anjura pemaju hartanah di situ - Kenchana Bersatu Sdn Bhd; sebelum melakukan lawatan-tinjau ke beberapa lagi kampung Orang Asli di Muadzam Shah ini. 
 

‘BURUK SEBUT, BAIK TIBA’

Beliau berkata demikian ketika wartawan meminta beliau mengulas mengenainya, yang pertama kali diumumkan dalam ucapan luar teks 22-minitnya sempena Majlis Sumbangan Awal Saham dan Bantuan Pendidikan bagi masyarakat Orang Asli dari keempat-empat kampung berkenaan pada pagi Isnin, 3 Mei di sini.      

Menurutnya, saham yang akan diberikan ini pula akan boleh diwarisi oleh sama ada balu ataupun anak-anak kepada pemegang asal saham ini. “… ‘buruk sebut, baik tiba’, maknanya, kita sebut benda buruk tapi kita harap baik tiba;

“… katalah ada (pemegang asal saham ini) yang mati, (maka) saham tu boleh dipindahkan kepada waris dia sama ada balu dia atau anak dia. Makna, (pemilikan saham itu adalah) berterusan,” katanya lagi.

Beliau berkata, idea pengenalan kepada pemilikan saham oleh masyarakat Orang Asli ini ialah ekoran rungutan masyarakat Orang Asli Kampung Denai yang mempersoalkan usaha YPPH membangunkan ladang kelapa sawit di kawasan seluas 324 hektar (800 ekar) bersebelahan kampung tersebut.      

Sedangkan dakwa mereka katanya, kawasan yang dibangunkan itu telah sebelum itu mereka memohon untuk memilikinya lalu timbul persoalan tentang kawasan yang dipohon ‘telah diambil-alih oleh orang lain’.

TIDAK BERI GERAN

“Kita sebagai Kerajaan yang prihatin, kita telah ambil keputusan  ada sebelah lagi kawasan itu, ada 2,000 ekar… Jadi, saya telah minta anak syarikat Yayasan Pahang – YPPH, untuk dibangunkan.

“Hasil tu diberi kepada Orang Asli dari empat kampung (berdekatan) – Kampung Denai, Kampung Mentelong, Kampung Bukit Lepas dan Kampung Sungai Mok. 

“Kita tidaklah beri geran, dua ekar ke, empat ekar ke, tidak… Sebabnya, biasanyalah yang saya tahu, bila dapat geran ini orang berjual. Atau yang keduanya, bila dapat geran, tanah itu tak berbuat (diusahakan), dia tinggal begitu sahaja.

“Jadi Yayasan Pahang (menerusi YPPH) akan buatkan,” kata Dato’ Srti DiRaja Adnan lagi dan menambah kata betapa, perincian diperlakukan lagi dalam  menentukan ‘sifir’ sebenar ke arah pembahagian saham-saham tersebut.

Pada persidangan media yang sama, beliau diminta mengulas kenyataan akhbar Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak semalam, yang mengumumkan penurunan harga jualan sebuah rumah untuk generasi kedua Felda daripada RM125,000 kepada RM90,000.

ALU-ALUKAN PENGUMUMAN PM

Sambil mengalu-alukan keputusan itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan menyebut tentang betapa ia menggambarkan keprihatinan Perdana Menteri dalam mendengar rintihan rakyat khususnya generasi kedua Felda tentang program perumahan berkenaan.

Bagaimanapun beliau berharap, bank-bank tempatan haruslah mempermudahkan langkah memberikan kemudahan pinjaman perumahan kepada generasi-generasi kedua ini yang kebanyakan pula bekerja sendiri lalu tidak mempunyai slip gaji bulanan sebagai bukti tentang pendapatan mereka.

“Sayapun dapat tahu juga daripada seorang pemaju perumahan PR1MA Negeri Pahang. Daripada 200 orang (yang pohon pinjaman perumahan untuk membeli unit PR1MA Negeri), hanya 60 orang yang dapat pinjaman bank.

“Kalau boleh, Bank Negara mengenakan syarat yang longgar, mengarahkan bank-bank tempatan untuk memudahkan terma-terma pinjaman itu, mungkin lebih ramai lagi rakyat yang mendapat faedah,” katanya lagi.
                       
Yang turut hadir ialah ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri – Dato’ Mohd Johari Hussain yang juga wakil rakyat setempat (BN – Tioman) dan Dato’ Abu Bakar Harun; ahli Dewan Negara mewakili Orang Asli, Dato’ Olian Abdullah;

Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri, Encik Isa Hamid; dan, Pengurus Besar, YPPH, Encik Kamaruddin Koskani Abdul Hamid. – Khabar