Sunday 17 May 2015

Tekankan tentang al-Quran ialah firman-firman Allah



“Apabila mereka faham tentang ini maka setiap firman Allah itu, mereka tidak boleh permudahkan,” saranan Menteri Besar kepada para alim-ulama untuk pastikan keberkesanan ceramah mereka kepada umat Islam.

SERIUS DALAM MENGIKUTI HAL-HAL YANG DIBINCANGKAN PADA PENTAS DAKWAH... Dato' Sri DiRaja Adnan dan isteri, Datin Sri DiRaja Junani, kelihatan sedang serius mengikuti apa yang diperkatakan oleh ahli-ahli panel pada siaran langsung sejam antara 9 dan 10 malam. 

Yang turut kelihatan (di barisan depan) ialah Dato' Ishak dan isteri, serta, Ketua Pegawai Strategik, TV AlHijrah, Dr Abu Bakar Serpon (kiri sekali). 

PADANG, SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PELINDUNG, BESERAH, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob menyarankan agar cerdik-pandai dan para alim-ulama, menekankan dalam ceramah-ceramah mereka tentang al-Quran ialah firman-firman Allah yang wajib dipatuhi oleh umat Islam.

Yang menerusi penekanan sebeginilah katanya dalam ucapan luar teks 10-minit sempena Pentas Dakwah – ‘Guru; Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’ dan Program Ambang Ramadan malam tadi, Sabtu, 16 Mei di sini, bakal memberi pengajaran yang lebih berkesan kepada mereka.

“Saya ingin mencadangkan supaya al-Quran ini sebagai kalimah Allah, yang diturunkan kepada Rasulullah untuk disampaikan kepada umat manusia – hendaklah kita tekankan, kita gambarkan, kita berikan contoh-contoh nyata;

“Supaya setiap kali mereka membaca Quran, mereka mendengar ayat Quran, mereka akan tahu bahawa mereka menggunakan firman Allah. Seolah-olah, mereka juga berhadapan dengan Allah SWT pada masa itu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar alim-ulama dapat membaca buku-buku yang membincangkan tentang al-Quran sepertimana tulisan penulis tersohor dunia yang juga seorang mubaligh Islam – Ahmed Hoosen Deedat.

DALAM BERSIARAN LANGSUNG SELAMA SEJAM... Dato' Noh Gadut kelihatan sedang menegaskan sesuatu.

PENTINGNYA PELIHARA PERPADUAN SESAMA ISLAM

Ahmed Hoosen Deedat menurut Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, telah memberikan hujah-hujah berdasarkan kepada al-Quran dan al-Hadith, dengan menunjukkan betapa al-Quran bukanlah ciptaan manusia.

“… tetapi (al-Quran itu) sebenarnya melalui firman oleh Allah SWT. Apabila mereka (umat Islam) faham tentang ini maka setiap firman Allah itu (sepertimana yang mereka baca dalam al-Quran), mereka tidak boleh permudahkan,” katanya lagi.

Beliau turut menyarankan agar, pada bila-bila masa atau di mana-manapun juga berceramah, para alim-ulama hendaklah sentiasa menekankan tentang pentingnya memelihara perpaduan sesama umat Islam sendiri.

“Orang Islam jangan tunduk kepada musuh. Jangan tunduk maksudnya, jangan kita terpengaruh hingga kita berpecah sesama sendiri – perlu juga ditekankan oleh para pendakwah, alim-ulama.

“Saya percaya dengan cara ini, maka umat Islam akan dapat memahami, menghayati sepenuhnya dan dengan demikian, mereka akan dapat menjalani kehidupan sebagai seorang Islam dan masyarakat Islam sendiri tidak mudah diperkotak-katikkan,” katanya.

'SO SWEET'... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memimpin tangan isteri, Datin Sri DiRaja Junaini untuk menuruni tangga pentas setelah melaksanakan tugas menyampaikan sumbangan secara simbolik - kepada sebuah masjid di setiap kawasan dewan undangan negeri, sempena bulan Ramadan yang bakal tiba. 
  

PENUH CABARAN DAN AGAK TERHIMPIT

Pada awal ucapannya, Dato’ Sri DiRaja Adnan telah menyebut betapa ugama Islam dan umatnya, sedang berada dalam keadaan penuh cabaran dan ‘agak terhimpit’ apabila di mana-manapun juga, mereka sering disalah anggap.

Beliau turut menceritakan pengalaman buruknya hendak memasuki Amerika Syarikat, pada lawatan ke sana tahun 2006, apabila beliau sendiri terpaksa menjalani pemeriksaan 100 peratus oleh pihak berkuasa Imigresen di sana, hanya kerana namanya.  

“… (hanya) sebab nama saya Adnan bin Yaakob, dia (pihak berkuasa Imigresen berkenaan) ingat adik-beradik dengan Osama ben Laden,” katanya.

“Ini semua tidak lain tidak bukan, kerana kefahaman mengenai Islam itu telah dipesongkan oleh musuh-musuh Islam dan ianya menjadi bertambah buruk lagi sebab perangai orang Islam sendiri,” tegasnya.

Sejarah peradaban umat Islam – sejak dahulu hingga kini katanya, sentiasa mencatatkan tentang pergaduhan dan berbunuh-bunuhan yang berlaku sesama mereka termasuk yang sedang berlaku di Timur Tengah sekarang.

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT... 

ISTILAH-ISTILAH YANG DIPESONGKAN

Istilah-istilah seperti jihad dan mati syahid, telah disalah ertikan dan apabila ada pihak-pihak tertentu memesongkan fahaman-fahaman ini selain daripada tekanan dari musuh-musuh Islam katanya, lebih banyaklah dan kerosakan yang berlaku.

Dato’ Sri DiRaja Adnan kemudian menjurus kepada keadaan di negara ini sendiri yang menurutnya, bibit-bibit perpecahan sesama umat Islam sudah mula kelihatan berlaku yang berpunca daripada politik.

“… oleh sebab-sebab politik, fahaman yang sempit, maka kita telah lihat umat Islam di negara kita juga berpecah belah dan tidak ada perpaduan.

“Satu-satu kaum itu apabila berpecah belah, tidak ada perpaduan; maka sudah pasti ia menjadi lemah dan kemudian mudah diperkotak-katikkan dan diperalatkan oleh musuh masing-masing,” katanya lagi.

Pentas Dakwah – ‘Guru; Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak’ dan Program Ambang Ramadan pada malam Sabtu ini, adalah anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Pahang (TERATAI) dan TV Al-Hijrah.

BERSAMA ENCIK KHAIRY, RASMIKAN FESTIVAL MESRA BELIA NEGERI... Foto ini dirakam pada pagi Sabtu, 16 Mei juga di Dataran Bentong, Bentong, sempena Menteri Besar merasmikan festival berkenaan yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Encik Khairy Jamaluddin Abu Bakar. 


FORUM ‘LIVE’ PENTAS DAKWAH

Selain tuanrumah – Datin Sri DiRaja Junaini Kassim iaitu Pengerusi TERATAI dan juga Pengetua, SMK Pelindung ini; yang turut hadir ialah Speaker, Dewan Undangan Negeri, Dato’ Ishak Mohamad dan isteri, Dato’ Khatijah Ibrahim;

Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Shafik Fauzan Sharif dan Dato’ Abu Bakar Harun; wakil rakyat negeri – Dato’ Wan Kadri Wan Mahussin (BN – Ibam) dan Dato’ Mustapa Long (BN – Padang Tengku);

serta, panel-panel forum ‘live’ Pentas Dakwah - Penasihat, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Dato’ Noh Gadut; dan Encik Abdul Razak Abu Musa Ashaari dari Yayasan Pahang (YP); dengan Encik Amin Idris selaku ‘moderator’. 

MACAM ZAMAN DULU-DULU... Dato' Sri DiRaja Adnan dan Encik Khairy, sedang bersedia untuk menunggang motosikal 'vespa' masing-masing dari perkarangan Dewan Jubli Perak Sultan Hj Ahmad Shah, Bentong ke Dataran Bentong yang sejauh kira-kira 1 KM. – Khabar