Monday 4 May 2015

Penambah-baikan kepada PR1MA Negeri Pahang



… daripada projek rumah berkembar berharga RM150,000 sebuah yang kini, 27,000 dalam pembinaan – melepasi sasaran akujanji 15,000 buah (2014 – 2018); kepada projek rumah teres berharga RM80,000 pula.

“Pokoknya, tak adalah Kerajaan sebaik macam Kerajaan Malaysia, macam Kerajaan Pahang ini.

“Kerajaan luar negara tak tahulah, tapi Kerajaan Pahang, Kerajaan Malaysia, tak ada kerja lain (selain) mencari jalan untuk memberikan keselesaan kepada rakyat,” kata Menteri Besar.

DALAM UCAPAN LUAR TEKS 27-MINITNYA... 


TAPAK PROJEK PR1MA NEGERI PAHANG, PONTIAN JAYA, MUKIM PONTIAN, ROMPIN – Setelah kejayaan semakin terserlah dengan kini, kira-kira 27,000 unit rumah berkembar Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri Pahang berharga RM150,000 sedang dalam pembinaan;

Kerajaan Negeri kini bercadang melakukan penambah-baikan kepada program PR1MA Negeri Pahang ini dengan cadangan pembinaan rumah teres berharga RM80,000 sebuah pula.

“Sekarang ini, kita akan buat pula rumah yang berharga RM80,000 ke bawah,” Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob mengumumkan dalam ucapan luar teks 27-minitnya pada Majlis Pelancaran PR1MA Negeri Pahang bagi Pontian Jaya pagi Isnin, 4 Mei, di sini.

“Kita dah beritahu mana-mana (pihak) yang berminat, dia boleh buat rumah (berharga) RM80,000 ke bawah. Mungkin separuh daripada projek dia – kalau 100 buah rumah dia  buat, 50 (buah) kena buat RM80,000 ke bawah, yang lain itu ikut dialah.

“Mungkin ada (rumah yang dibina dan dijual dengan harga) RM1 juta satupun, tak apa, sebab dia boleh jual rumah itu untuk ‘cover’ kos buat rumah RM80,000,” beliau menambah kata.

PECAHLAH SUDAH, TANAH... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang mengendalikan jengkaut bagi menyempurnakan majlis pecah tanah tapak PR1MA Negeri Pahang di Pontian Jaya ini.


KOMITMEN TINGGI HASILKAN KEJAYAAN PR1MA NEGERI

Menurutnya lagi, telahpun ada ‘satu-dua’ pemaju yang datang berjumpa dengannya serta menyatakan kesanggupan untuk terlibat dalam pembinaan rumah yang di bawah harga RM80,000 sebuah ini.

Dalam ucapan yang sama sebelum itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan menjelaskan betapa PR1MA Negeri Pahang ialah usaha Kerajaan Negeri untuk lengkap-melengkapi kepada usaha Kerajaan Persekutuan dengan program PR1MAnya.

Tak sampaipun dua (2) tahun pelaksanaan dengan janji membina 15,000 buah dalam tempoh lima (5) tahun antara 2014 dan 2018 sepertimana dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Negeri bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 lepas katanya, 69 projek dengan kira-kira 27,000 buah rumah kini sedang dalam pembinaan.

“Rupa-rupanya, (dalam tempoh) setahun sahaja, hampir 18 - 20,000 (buah sudah mula proses pembinaan). Dua (2) tahun baharu (selepas) pilihanraya ini, kita sudah dapat 27,000 (buah). Bayangkan.

“Apa sebab? Sebab, orang sekarang kata, komitmen. Orang selalu berkata, kesungguhan kita untuk memberikan rumah kepada rakyat maka, mana tapak-tapak yang sesuai yang pemaju minta, kita beri dan kita permudahkan.

YANG TURUT HADIR PAGI ISNIN... 
 

PREMIUM RENDAH BAGI KAWASAN PAYA YANG HENDAK DIBANGUNKAN

“Kita bawa cepat, jabatan teknikal semak kemudian itu kita lulus dalam (Mesyuarat) Exco (Kerajaan Negeri), lepas itu kita tidak membebankan pemaju-pemaju,” katanya sambil menoleh ke arah pemaju berkenaan, Encik Goh Tian Soo yang kelihatan mengiyakan.

Pada kebiasaan katanya lagi, kos tertinggi dalam membangunkan satu-satu projek perumahan ialah pada kadar premium yang dikenakan oleh Kerajaan ke atas tanah-tanah Kerajaan yang para pemaju hendak bangunkan.

Demi mempermudahkan, Kerajaan Negeri mengenakan premium berpatutan, malah memberikan potongan yang tinggi antara 50 peratus hingga ke tahap ‘nominal’ jika tanah yang terlibat memerlukan kerja-kerja tanah yang besar, katanya.

“Kalau tanah macam ini, (bekas) paya,” katanya lagi, merujuk kepada kawasan persekitaran yang lebih rendah berbanding Jalan Kuala Rompin-Tanjung Gemok bersebelahan, yang lebih tinggi kedudukannya;
                                                                                         
“… kena (lakukan kerja-kerja) menimbun. Kalau tanah macam ini, premiumnya kita bagi kurang. Ada tempat kita beri (diskaun) 50 peratus.

DI PAHANG, KITA PERMUDAHKAN

“Maknanya, di negeri Pahang ini, kita permudahkan. Sebab, yang kita hendak, rumah supaya rakyat boleh membeli,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

“Pokoknya, tak adalah Kerajaan sebaik macam Kerajaan Malaysia, macam Kerajaan Pahang ini,” katanya yang disusuli tepukan hadirin secara spontan.

“Kerajaan luar negara tak tahulah tapi Kerajaan Pahang, Kerajaan Malaysia, tak ada kerja lain (selain) mencari jalan untuk memberikan keselesaan kepada rakyat,” katanya lagi.

Selain Encik Goh yang juga Pengarah, Genuang Mineral Resources Sdn Bhd; antara yang turut hadir ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohamad Jaafar; Pengerusi, Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran Negeri, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail;

Pengerusi, Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dato’ Mohd Johari Hussain yang juga wakil rakyat setempat (BN – Tioman); Pegawai Pembangunan Negeri, Dato’ Roslan Harun; dan, Pengarah, Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (B-Pen), Dato’ Suhaimi Yunus. – Khabar