Monday 25 May 2015

Menangani masalah pengusaha perlombongan 'bauxite' yang tidak berhati perut!



Selain meneruskan kerja-kerja penguatkuasaan, Kerajaan Negeri bercadang untuk mengetatkan lagi syarat termasuk;

JPJ tidak akan perbaharui apa juga lesen berkaitan ke atas pengusaha, sehingga kompaun-kompaun yang dikenakan, dijelaskan.

Pengusaha perlu menyediakan ‘deposit’ yang jika gagal mematuhi syarat perlombongan dan pengangkutan ditetapkan, potongan akan dilakukan ke atas ‘deposit’ berkenaan.


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Dalam pada mengakui betapa Kerajaan Negeri ‘dah habis gheng’ (habis upaya) dengan gejala yang ditimbulkan oleh pengusaha-pengusaha bahan mineral ‘bauxite’ di negeri ini;

Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob memberitahu persidangan Dewan Undangan Negeri pagi Isnin, 25 Mei di sini, betapa beliau akan mencadangkan beberapa lagi syarat tegas ke arah membendung gejala berkenaan.

Dua daripadanya ialah, arahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya tidak memperbaharui apa juga lesen berkaitan ke atas pengusaha terbabit sehinggalah keseluruhan kompaun yang dikenakan ke atas mereka, dijelaskan.

Dan, pengusaha dikehendaki menyediakan ‘deposit’ dalam amaun tertentu sebelum mengeluarkan bahan mineral berkenaan yang daripadanya, potongan akan dibuat jika pengusaha melakukan apa-apa pelanggaran atas syarat-syarat yang ditetapkan.

“Masalahnya ialah, apabila kita berkira dengan operator-operator, pekerja-pekerja yang tidak langsung ada hati perut, tak ada etika, tak fikir orang (lain),” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

MB SENDIRI PENGERUSIKAN HAL ‘BAUXITE’, DUA KALI

“Kita telah ambil tindakan. Kita ambil tindakan siang, penguatkuasaan (waktu) siang; dia (pengusaha) buat kerja malam. Kita buat kerja malam, dia pula pergi lari siang. Bila kita buat 24 jam, dia berhenti sekejap,” katanya lagi semasa mencelah ketika wakil rakyat pembangkang, Encik Andansura Rabu (PAS – Beserah) sedang berucap.

Ucapan Encik Andansura itu ialah bagi membahaskan usul menjunjung kasih atas Titah DiRaja yang dilafazkan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang pada perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13.

“Hanya saya nak tekankan, Kerajaan (Negeri) bukan tak buat langsung penguatkuasaan... Saya sendiri pengerusikan mesyuarat dua (2) kali. Bulan satu (Januari) sekali, bulan dua (Februari) sekali, sehingga kita kuatkuasakan penguatkuasaan sejak bulan empat (April), bulan lima (Mei) sekarang,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.

Sebelum itu, beliau telah mendedahkan beberapa angka yang mengejutkan. Misalnya, ‘turnover’ atau hasil jualan mineral ‘bauxite’ itu di negeri ini sahaja ialah kira-kira RM200 juta sebulan, yang menurutnya;

“Patutlah dia orang ni (pengusaha-pengusaha lombong ‘bauxite’ tersebut) beriya sangat”.

GAJI PEMANDU LORI ‘BAUXITE’ HINGGA RM7,000 SEBULAN

Dan pula, betapa jika gaji bulanan pemandu-pemandu lori mengangkut pasir sebelum ini cuma RM2,000, tetapi menerima antara RM6,000 dan RM7,000 sebulan setelah beralih menjadi pemandu lori pengangkut ‘bauxite’ pula sekarang.

“Pemandu-pemandu lori – dia (mereka) datang banyak dari Melaka, Selangor, Negeri Sembilan. Semasa mereka bergiat untuk mengangkut pasir, gaji RM2,000 sahaja sebulan,” katanya.

“Rupanya sekarang ini pula, gaji mereka dapat sampai RM6,000, RM7,000 (sebulan). Lepas(lah) untuk (perbelanjaan) anak sekolah, lepas juga untuk belanja Raya,” katanya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan juga berkata betapa, sejak penguatkuasaan pada 2 April hingga 23 Mei lepas, 43,278 buah lori – setiap satu sehingga seberat 44 tan, telah diambil tindakan yang daripadanya, 1,394 buah telah disita.

Nilai kompaun yang dikenakan pula ialah RM2.1 juta yang daripadanya, menurut Menteri Besar lagi, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) telah berjaya mengutip sebanyak RM601,000. – Khabar