Friday 29 May 2015

Kerajaan cadang kutip hasil tambahan daripada perlombongan 'bauxite'



… selain kenaan ‘royalti’ cuma 5 peratus selama ini.

“Ini kita akan cari ikhtiar secepat mungkin. Kita telah bincangkan perkara ini dengan pihak Penasihat Undang-undang (Negeri) dan juga pihak Pengarah Tanah dan Galian (PTG), akan cara yang ‘lawful’ untuk kita dapat pendapatan tambahan.

SEKATAN JALANRAYA DITERUSKAN... Setiap sebuah lori panjang ini dikatakan membawa muatan kira-kira 44 tan 'bauxite'. Jika Kerajaan Negeri akhirnya membuat keputusan untuk mengutip katalah, RM4 bagi setiap tan bermakna, daripada sesebuah lori ini, Kerajaan Negeri mampu kutip kira-kira RM176. 
 

DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Bagi menambah-ketatkan lagi seliaan ke atas perlombongan ‘bauxite’ serta untuk mendatangkan lebih manfaat kepada negeri dan rakyatnya, Kerajaan Negeri kini berkira-kira untuk mengutip hasil daripada perusahaan tersebut pula.

Ini adalah selain daripada kenaan royalti cuma lima (5) peratus – satu angka yang terlalu kecil, yang dikutip daripada perusahaan berkaitan dengan bahan mineral di negeri ini, selama ini.

“… kita sedang buat kajian iaitu, kita akan cuba mendapatkan hasil daripada perusahaan ‘bauxite’ ini kerana setakat ini, royalti yang dikenakan hanyalah lima (5) ‘percent’,” kata Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob.

“Ini kita akan cari ikhtiar secepat mungkin. Kita telah bincangkan perkara ini dengan pihak Penasihat Undang-undang (Negeri) dan juga pihak Pengarah Tanah dan Galian (PTG), akan cara yang ‘lawful’ untuk kita dapat pendapatan tambahan,” katanya semasa menggulung parbahasan pada hari terakhir persidangan Dewan ini, pagi Jumaat, 29 Mei di sini.

Penggulungan ini ialah sempena perbahasan atas Titah DiRaja yang dilafazkan oleh KDYTM Tengku Mahkota Pahang semasa perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-13 pada Isnin, 18 Mei lepas.

HASIL TAMBAHAN DAPAT DIMANFAATKAN UNTUK RAKYAT JUGA

Dato’ Sri DiRaja Adnan ada menyebut tentang kemungkinan Kerajaan Negeri mengutip, sebagai contohnya, RM4 bagi setiap tan daripada jumlah keseluruhan bahan mineral tersebut yang dikeluarkan.

Dengan ‘turnover’ RM200 juta sebulan sekarang bermakna – berasaskan perkiraan penulis sendiri; pengeluaran bulanan ialah kira-kira 1.82 juta tan (berasaskan harga semasa kira-kira RM110 setan).

Jumlah pengeluaran ini (1.82 juta tan) jika didarabkan dengan RM4 setan bermakna, Kerajaan Negeri boleh mendapat pendapatan tambahan RM7.28 juta sebulan, atau bersamaan RM87.36 juta setahun.

“Kerana, kalau kita tak buat begini, Kerajaan (Negeri) tidak dapat apa-apa, rakyat tidak dapat apa-apa,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan.

“Sekurang-kurangnya kalau kita dapat hasil tambahan ini, mungkin penduduk-penduduk di tempat yang terlibat kita boleh beri mereka sedikit kemudahan, termasuk peruntukan untuk mencuci kawasan, mencuci rumah dan mungkin juga elaun sara hidup, elaun isi rumah,” katanya lagi.

ADA SIKIT PERUBAHAN EKORAN LANGKAH-LANGKAH YANG  DIPERKENALKAN

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya mengakui betapa perlombongan bahan mineral berkenaan telah menimbulkan banyak masalah bukan sahaja kepada penduduk terlibat dan orangramai, malah kepada Kerajaan Negeri juga.

Yang ekoran itulah juga menurutnya, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan syarat-syarat tertentu serta mengambil langkah-langkah tertentu – terbaharu, langkah 6-perkara sepertimana yang ditaklimatkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, Rabu lepas.   

Beliau pula sendiri, telah memanggil serta mempengerusikan tiga (3) kali mesyuarat bersama-sama ketua jabatan-ketua jabatan Kerajaan yang berkaitan, demi memastikan apa juga keputusan yang telah diambil, akan dilaksanakan dengan lancar.

“Dan nampaknya, ada sedikit perubahan. Kita telah mengenakan operasi bersepadu – semua pihak terlibat dan pihak PTG yang mempunyai kuasa untuk menyita kenderaan, telah dilibatkan sekali dalam operasi yang berjalan 24 jam dan keadaan nampak bertambah aman, bertambah baik,” katanya.

Sungguhpun begitu, beliau akui betapa pelombong-pelombong haram masih meneruskan kegiatan mereka maka Kerajaan Negeri katanya, akan bertindak lebih giat bagi menanganinya termasuk menyita jentera-jentera mereka.  

KESIAN TU KESIAN, TAPI…

“Walaupun kadang-kadang, timbul kesian kepada pemandu lori (pengangkut ‘bauxite’), kesian kepada tuanpunya ‘machine’ (jentera) tapi yang menimbulkan masalah ialah mereka yang membawa ‘bauxite’ ini ke pelabuhan itu, tidak memikirkan kepentingan orang lain,” katanya.

“Pihak MPK (Majlis Perbandaran Kuantan) dan pihak Persatuan Pengusaha Bijih Besi sendiripun telah terlibat dalam mencuci jalanraya (yang dcemari dengan debu-debu daripada lori-lori pengangkut ‘bauxite’) ini tapi tak terbuat.

“Kadar mengotor tu lebih laju daripada kadar kita mencuci,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.  

Selain mengenai perlombongan ‘bauxite’, tajuk-tajuk lain yang turut disentuh dalam ucapan penggulungan luar teks 25-minitnya ialah mengenai perumahan khususnya Projek Perumah Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Negeri;

serta,

Tentang usaha Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) kepada pekebun-pekebun di Cameron Highlands yang mengerjakan tanah berkeluasan 2.025 hektar (atau, lima (5) ekar) ke bawah dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta tidak memusnahkan kebun-kebun mereka di bawah Ops Gading yang sedang dijalankan sekarang. – Khabar