Tuesday, 9 October 2012

Usaha terus-menerus untuk merangkuli semua



… lalu, komunikasi antara Kerajaan dan rakyat berbilang kaum dan pelbagai latar dapat berlaku dengan berkesan, hingga memudahkan lagi usaha memakmurkan negeri demi kesejahteraan rakyat juga.   

KETERANGKULAN...Yang muda, yang tua, dirangkul maka tiada yang terasa ketinggalan. Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan bermesra dengan mereka yang hadir termasuklah anak kecil ini, pada hari minggu itu.


SMK TANAH PUTIH, KUANTAN – Kerajaan Negeri terus-menerus dengan usaha untuk merangkuli rakyat berbilang kaum dan pelbagai latar belakang, yang menerusinya diyakini, dapat meningkatkan hubungan baik antara kedua-duanya.

Dan, menerusi perhubungan baik inilah dijangkakan, apa-apa usaha Kerajaan Negeri pimnpinan Barisan Nasional (BN) yang digerakkan ke arah memakmurkan lagi negeri demi kesejahteraan rakyat-jelata, dapat dijayakan dengan berkesan.

Atas hakikat inilah juga, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hadir serta mengalu-alukan penganjuran Majlis Bersama Menteri Besar oleh Pertubuhan Kumpulan Kesenian Tarian Singa Hong Keng (PKKTSHK) pada Ahad, 7 Oktober, di sini.  

Ramai dalam kalangan masyarakat Cina di sini dan persekitarannya, hadir pada majlis hujung minggu itu yang bermula sejak tengah hari , dan berakhir kira-kira enam (6) jam kemudian.

Antara yang turut hadir ialah Penasihat Bersama PKKTSHK, Dato’ Tengku Zulkifly Tengku Ahmad yang juga Pengerusi, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang, dan Dato’ Ti Lian Ker yang juga Ketua MCA Bahagian Kuantan.

RANGKULI SEMUA LAPISAN MASYARAKAT

“Tujuan kita pada hari ini, seperti kata YAB Perdana Menteri, ialah untuk kita merangkuli, ‘to engage’, semua lapisan masyarakat,” kata Dato’ Sri DiRaja Adnan pada persidangan media sempena majlis itu.

“Bukan hanya kerana pilihanraya akan datang. Pilihanraya akan datang, kita tidak tahu bila. Kalau disebabkan oleh pilihanraya (kita) takut ditohmah orang, ‘oh… pilihanraya dah sampai, (baharu) dia orang sibuk buat kerja’, (lalu) kita tak jadi buat kerja, tak bolehlah…

“Sebab Kerajaan kita, parti kita, bekerja sepanjang tahun, sepanjang masa. (Sama ada) ada pilihanraya, tak ada pilihanraya, kita bekerja. Kalau kita bekerja untuk pilihanraya, maknanya, lima tahun sekalilah, dekat pilihanraya baharu kita bekerja.

“Hari ini kita hendak merangkuli masyarakat yang ada di Tanah Putih ini, dan kebanyakan mereka ialah dari kaum Tionghua. Ada juga orang Melayu, orang India sedikit. Orang Aslipun ada,” katanya lagi.

Menurutnya, pada majlis seumpama inilah beliau sering menekankan tentang pentingnya keselamatan dan kestabilan sosio-politiko serta ekonomi negara dan negeri sentiasa dipertahankan.

SEMANGAT PATRIOTISME TERUS DIPUPUK DAN TERPELIHARA... Dato' Sri DiRaja Adnan diiringi Dato' Ti dan Dato' Tengku Zulkifly (hampir terlindung di sebelah kiri Dato' Sri DiRaja Adnan) menyertai hadirin mengibarkan jalur gemilang sambil mengikut rentak lagu 1Malaysia.   


KITA TERBAIK ANTARA NEGARA YANG SAMA MERDEKA

“Dan kita telah terangkan bagaimana sesuatu yang ada pada diri kita ini, terutamanya yang baik, kita tidak akan rasa baik kecuali kalau kita tengok yang buruk berlaku di negara orang.

“Kita ingat apa yang ada pada kita sekarang ni seolah-olah tidak memuaskan. Kalau kita banding(kan) dengan negara-negara lain yang (kira-kira) sama (tarikh) merdeka dengan kita, sama keadaan latar-belakang; kita yang terbaik,” tegasnya.

Negara kita yang berbilang kaum kata Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi, tidak berlaku pergeseran atau pergaduhan kaum sebaliknya di negara luar yang satu kaum atau ‘homogenous’, berlaku gejala negatif seperti itu.

 Kepimpinan negara dan negeri ini juga katanya, tidak pula memilih-memilih dalam menghulurkan bantuan sebaliknya memberikannya kepada yang benar-benar berhak mendapatkannya.

“Jadi saya minta keseluruhannya supaya mereka memikirkan keadaan ini dan memberikan sokongan kepada YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak sebagai Perdana Menteri.

BALAS, BERBALAS : PEMIMPIN SAYANGKAN RAKYAT, RAKYAT SAYANGKAN PEMIMPIN MEREKA... Lagi foto yang dirakam sempena majlis ramah mesra hari Ahad itu. Betapa hubungan baik dan mesra antara pemimpin dan rakyat, terserlah.  


BUKAN MUDAH KUMPULKAN MASYARAKAT CINA

“Dan saya telah minta mereka supaya, marilah kita bersama dengan orang yang menang. Sebab insyaAllah, rakyat akan memilih Barisan Nasional (BN). Kita bukan memaksa, tetapi setakat ini apa yang kita tahu berdasarkan kepada kajian-kajian yang telah dibuat, insyaAllah, rakyat akan berikan kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya akan datang,” katanya.

Mengenai kehadiran masyarakat Cina yang begitu memberangsangkan pada majlis ini, tidak kira yang tua, yang muda; yang lelaki, yang wanita; daripada pelbagai latar kerja  katanya, ia mengagumkan.

“… bukan mudah untuk mengumpulkan mereka. Kalau mereka boleh menunggu dari tengah hari sampai petang, mesti ada sesuatu. Mereka mungkin berasa selesa dengan apa yang kita buat...

“Hanya kita mengharapkan, perkara ini akan diterjemahkan kepada sokongan kepada Kerajaan pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan 17-minitnya, Dato’ Sri DiRaja Adnan antara lain menyarankan agar rakyat tidak ‘cuba-cuba’ untuk menukarkan Kerajaan yang ada pimpinan BN.

JANGAN ‘CUBA-CUBA’ TUKAR KERAJAAN

Ada perkara katanya, boleh di‘cuba-cuba’ tetapi bukanlah hal yang berkaitan dengan kepimpinan negara khususnya dalam memilih parti politik yang betul untuk menerajui sesebuah Kerajaan.

“Tak boleh cuba… Ada barang kita boleh cuba, tapi ada barang kita tak boleh cuba. Jangan mahu cuba-ciba. Makan boleh cuba… sedap makan banyak, tak sedap tinggal. (Tapi) ini politik, ini parti, ini Kerajaan… tak boleh cuba-cuba. Kalau kita cuba (tukar Kerajaan), mahu tunggu empat-lima tahun mahu tukar balik.

“Rakyat Terengganu, (pilihanraya umum tahun) 1999 dia undi PAS tapi pilihanraya tahun 2004, dia balik (mengundi) Barisan Nasional.

“(Parti) Kuomintangpun (KMT di Republik Rakyat China) kalah tahun 1949, sekarang Kuomintang perintah balik. (Parti) Kongres kalah di India, sekarang di India, (Parti) Kongres perintah balik.

“Jangan kita lupa tu. Ada barang boleh cuba, ada barang jangan cuba-cuba, ini kena ingat. Tukar kerajaan tak boleh cuba,” tegasnya lagi.  – Khabar

   
MATA KE MATA ;

*** “Tujuan kita pada hari ini, seperti kata YAB Perdana Menteri, ialah untuk kita merangkuli, ‘to engage’, semua lapisan masyarakat.”
   
*** “Sebab Kerajaan kita, parti kita, bekerja sepanjang tahun, sepanjang masa. (Sama ada) ada pilihanraya, tak ada pilihanraya, kita bekerja. Kalau kita bekerja untuk pilihanraya, maknanya, lima tahun sekalilah, dekat pilihanraya baharu kita bekerja.”

*** “Dan kita telah terangkan bagaimana sesuatu yang ada pada diri kita ini, terutamanya yang baik, kita tidak akan rasa baik kecuali kalau kita tengok yang buruk berlaku di negara orang.

“Kita ingat apa yang ada pada kita sekarang ni seolah-olah tidak memuaskan. Kalau kita banding(kan) dengan negara-negara lain yang (kira-kira) sama (tarikh) merdeka dengan kita, sama keadaan latar-belakang; kita yang terbaik.”

*** “Tak boleh cuba… Ada barang kita boleh cuba, tapi ada barang kita tak boleh cuba. Jangan mahu cuba-ciba. Makan boleh cuba… sedap makan banyak, tak sedap tinggal. (Tapi) ini politik, ini parti, ini Kerajaan… tak boleh cuba-cuba. Kalau kita cuba (tukar Kerajaan), mahu tunggu empat-lima tahun mahu tukar balik.”