Monday, 29 October 2012

Pengangkutan rel awam cekap di kotaraya



SELESA DALAM KOC LRT… Ini merupakan antara perkhidmatan pengangkutan di bawah kendalian/seliaan Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB). Maka, jangkaan tinggi tentu terjurus kepada perkhidmatan bas awam RapidKuantan oleh SPNB, yang bakal beroperasi di Kuantan pada 1 Disember ini.
 

SEBUAH HOTEL BAJET, LORONG SULTAN, PETALING JAYA – Cekap, berkesan  serta perkhidmatan yang mesra-pengguna! Sungguhpun tidak dinafikan, masih ada ruang yang boleh dipertingkatkan lagi.  

Inilah yang dapat dikatakan mengenai perkhidmatan rel awam melibatkan komuter, transit rel ringan (LRT) serta monorel, di bandaraya Kuala Lumpur serta kawasan-kawasan sekitarnya.

Penulis sendiri mengalaminya pada kunjungan singkat dua hari, pada Sabtu, 27 Oktober dan Ahad, 28 Oktober ke bandaraya ini, dengan menginap di hotel bajet kegemaran penulis ini.

Kecuali komuter atau lebih dikenali sebagai KTM Komuter yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB); perkhidmatan-perkhidmatan LRT – LRT jaluran Ampang mahupun jaluran Kelana Jaya, dan monorel – KL Monorail, adalah milik serta di bawah pengurusan Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB).   

Oleh kerana SPNB jugalah yang akan memulakan operasi perkhidmatan bas awam miliknya – RapidKuantan pada 1 Disember ini, maka penduduk Kuantan juga bolehlah menjangkakan perkhidmatan yang cekap, berkesan dan mesra-pengguna daripadanya kelak.

BERSIH DAN SELESA DI STESEN LRT... Lihat sistem penerangan awam (PIS : Public Information System) yang bersinaran cahayanya. Dengan sistem ini, pengguna sering ditaklimatkan mengenai pengangkutan awam yang bakal mereka naiki.   


GUNA REL, ELAK ‘JAM’

Apakah alasan bagi seorang yang datang berkereta bersama-sama keluarganya dari Kuantan ke sini, memilih untuk menggunakan perkhidmatan rel awam sebagai kaedah pengangkutan utamanya?

Jawapannya; Pertama, hendak mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan kenderaan di atas jalan-jalan utama di bandaraya. Kedua, hendak mengelak daripada penulis berpening kepala untuk mencari laluan yang betul bagi sampai ke satu-satu destinasi (apatah pula dengan begitu banyak jalan sehala).

Ketiga, untuk mengelak daripada tercari-cari petak letak kereta yang bilangannya tidaklah mencukupi. Dan, Keempat, untuk mengelak daripada perlu membayar ‘parking ticket’ yang mahal kadarnya.

Maka, dari hotel ini berjalan kakilah kami ke Stesen LRT Taman Jaya yang berhampiran, tidak sampaipun 200 meter jaraknya. Kalaupun yang memenatkan, ialah perlu menjejaki anak-anak tangga untuk sampai ke bahagian ‘platform’ di sebelah atas.

Destinasi dituju – Kompleks Membeli-belah Pavillion, di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Memanglah tiada perkhidmatan terus ke sana dari Stesen LRT Taman Jaya ini. Maka, perlu menghala ke KL Sentral terlebih dahulu.

TEMPAH TIKET MENERUSI MESIN... Mudah lagi menjimatkan masa.


HARGA TIKET BERPATUTAN

Dengan membayar harga tiket cuma RM1.60 seorang, tidak sampai lima (5) minit, koc LRT Jaluran Kelana Jayapun tiba. Untuk ke KL Sentral, kami melepasi beberapa stesen – Universiti (berdepanan dengan Universiti Malaya), Kerinchi (Kampung), Abdullah Hukum (Kampung), dan Bangsar (Jalan).

Setibanya di KL Sentral, kami perlu menaiki perkhidmatan pengangkutan monorel. Dari situ, kami perlu turun ke tingkat bawah untuk berjalan kaki tidak sampai 300 meter lagi di laluan separuh berbumbung manakala separuh lagi tidak (yang boleh membasah-kuyupkan jika hujan), untuk sampai ke stesen KL Monorel.

Perkhidmatan ini membawa kami melepasi stesen-stesen Tun Sambanthan (Jalan), Maharajalela (Jalan), Hang Tuah (Jalan), Imbi (Jalan), dan Bukit Bintang (Jalan). Dari stesen Bukit Bintang, kami perlu menuruni tangga memasuki Kompleks Membeli-belah Lot 10 dan keluar, seterusnya menyeberangi Jalan Bukit Bintang untuk ke Kompleks Membeli-belah Pavillion berkenaan.

Setelah membeli-belah dan lebih banyak masanya ‘window shopping’, kami sekeluarga mengambil kesempatan untuk ‘makan-makan’ di restoran dua-tingkat The Loaf milik bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Lokasinya ialah di tingkat satu. Sebelum itu, kami membeli beberapa jenis roti di tingkat bawah sebelum kembali ke tingkat satu untuk menempah dan menikmati makanan-makanan secara ala-carte.

SESAK KENDERAAN DI ATAS JALAN BUKIT BINTANG...Untunglah ada LRT, jika tidak, inilah jalan sesak yang perlu ditempuhi. 
 

‘TUN’S BREAKFAST’

Dalam menu yang diberikan, ada satu yang menarik, ‘Tun’s Breakfast’. Dalam pada menikmati hidangan, ada pula dalam kalangan kami yang berangan-angan, kot-kot semasa menjamu, ayahanda Tun muncul meninjau restorannya secara mengejut. Tinggal angan-angan sahajalah.

Setelah puas, maka laluilah kami perjalanan pulang dengan memnggunakan kaedah pengangkutan serta laluan-laluan sepertimana kami datang tadi, dan berehatlah kami semalaman di hotel ini.

Keesokannya, ialah untuk mencuba pula perkhidmatan rel KTM Komuter. Hala tujunya ialah ke Kompleks Membeli-belah Midvalley, Bangsar. Sekali lagi, menggunakan perkhidmatan LRT jaluran Kelana Jaya dari Stesen Taman Jaya ke KL Sentral.

Dari situ, ke stesen KTM Komuter yang berhamnpiran untuk membeli tiket. Oleh kerana masih awal, kami menempah tiket untuk ke Kajang terlebih dahulu, maka seterusnya ke tingkat bawah untuk menunggu koc komuter berkenaan.

Tidak sampaipun lima (5) minit, koc berkenaan tiba dari arah Rawang. Selepas KL Sentral ini, kami menempuhi Stesen-stesen Midvalley (Kompleks Membeli-belah), Seputeh, Salak Selatan, Bandar Tasik Selatan, Serdang dan turun di Kajang.

BINTANG WALK, YANG SENTIASA SESAK DENGAN MANUSIA... Inilah keadaan sesaknya pada petang Sabtu. Namun, sesak sebegini boleh penulis terima; tidak jika perlu bersesak di atas jalan. 


WAKTU YANG ‘PRECISE’

Hanya beberapa minit di Kajang, kami mengambil perjalanan balik menghala ke KL Sentral untuk kali ini, benar-benar turun di Midvalley – sepertimana destinasi asal yang telah ditetapkan.

“Pukul berapa Encik, koc sampai?” tanya saya kepada petugas di kaunter semasa membuat pembayaran untuk tempahan tiket. Jawapnya, “10.42 (pagi)”. Amboi, ‘precise’ sungguh waktu yang diberi.

Dan ‘precise’ betullah kerana semasa koc berkenaan tiba, jam digital di stesen tersebut menunjukkan waktu tepat 10.42 pagi! Perjalanan menuju ke Midvalley sekali lagi mendamaikan dalam koc berpenghawa dingin yang nyaman, sungguhpun perlu berdiri sepanjang perjalanan.

Yang lainnya kata orang, ialah sejarah. – Khabar