… gejala penyumbang kepada
masalah penerokaan haram di kawasan tanahtinggi ini
NOTA EDITOR :
Penerokaan tanah secara
haram di kawasan tanahtinggi Cameron Highlands, bukanlah perkara baharu. Ia
berlaku sejak dahulu, hinggalah sekarang dengan ‘darjah’ berlakunya
berbeza-beza – kurang atau terhenti seketika apabila ia heboh diperkatakan, dan
kembali aktif apabila umum seolah-olah terlupa mengenainya.
Dalam tempoh sehari-dua ini, kisahnya kembali diperkatakan ekoran
laporan berita oleh sebuah akhbar Berbahasa Inggeris bersaiz tabloid tempatan. Sehubungan
itu, mungkin ada baiknya artikel berikut dipaparkan kembali bagi memberi serba-sedikit
‘insights’ tentang apa sebenarnya yang berlaku di lapangan.
Artikel tulisan YOPE
KEY-DARE ini pernah disiarkan oleh akhbar-akhbar arus perdana pada Februari,
2011. Oleh kerana ia ditulis seterusnya disiarkan pada bulan dan tahun berkenaan, tidak dinafikan, ada beberapa perkara dan maklumat yang mungkin sudah menjadi lapuk ketika ini akibat peredaran masa dan peristiwa-peristiwa baharu yang berlaku selepasnya (ENG : Being overtaken by events). Ini mohon dimaafkan.
KENYAMANAN DAN KEDAMAIAN DIANCAM PUPUS... Foto ini diambil pada 14 September lepas bersamaan 27 Syawal, semasa penulis dalam perjalanan dari Sintok, Kedah ke Kuantan, melalui Simpang Pulai, Perak-Brinchang-Tanah Rata-Ringlet di Cameron Highlands-Sungai Koyan, Lipis-Bandar Raub, Raub-Bentong-Kuantan.
Mungkinkah kenyamanan dan kedamaian seperti di sebuah ladang tanaman teh di kawasan tanahtinggi ini akan turut terjejas akibat gejala penerokaan tanah haram?
Suka atau tidak, isu berkaitan tanah yang dihadapi
secara serius di Cameron Highlands ketika ini ialah akibat hipokrisi segelintir
petani, ahli politik dan kakitangan kerajaan di kawasan tanahtinggi itu yang
luasnya besar sikit daripada negara-pulau Singapura.
Hipokrisi petani
bertunjangkan sifat tamak-haloba mereka; ahli politik sama ada parti pemerintah
atau pembangkang kerana mahu popular lalu sentiasa menyokong tindak-tanduk
petani; manakala kakitangan kerajaan ialah kerana tabiat rasuah mereka!
Dengan gandingan gejala
tiga serangkai ini, menjadikan isu berkaitan tanah di Cameron Highlands,
penulis percaya, tidak mungkin dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.
Ia mungkin memerlukan
dua-tiga generasi lagi ataupun, sehingga Cameron Highlands musnah ekologinya
lalu menggugat kedudukannya sebagai kawasan tanahtinggi tarikan pelancong ataupun pengeluar tanaman –
bunga-bungaan, sayur-sayuran dan buah-buahan utama negara.
Sudah tentu ketiga-tiga
puak ini tidak akan mengakui sikap hipokrit mereka. Sebaliknya, cuba mengalih
pandangan dengan mewujudkan ‘kambing hitam’
yang harus dipersalahkan dan jalan lebih mudah ialah dengan meletakkan
kesalahan itu kepada Kerajaan Negeri sepenuhnya.
SINGGAH SEBENTAR UNTUK NIKMATI 'SCONE' DAN JEM STRAWBERI... Dengan udara dingin tengah hari Jumaat yang menyapa tubuh sambil makan-makan 'scone' bersama-sama jem strawberi dan menghirup teh panas, memberikan pengalaman yang membahagiakan kepada pengunjung seperti penulis dan keluarga.
Masih mampukah berpenglaman ini lagi jika gejala penerokaan terus menghantui kawasan tanahtinggi ini?
TERSALAH AMBIL SEMANGAT ‘RAKYAT DIDAHULUKAN’?
Inilah yang mereka lakukan
selama ini dan inilah juga yang dibayangkan oleh beberapa ahli politik yang
menyentuh tentang isu petani di tanahtinggi itu menerusi ucapan-ucapan mereka
pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) Negeri Pahang 2011 di Dewan Jubli Perak
Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan pada 30 Januari lepas.
Mungkin tersalah ambil
semangat 'Rakyat Didahulukan', tidak seorangpun daripada mereka yang bercakap
mengenainya meletakkan kesalahan ke atas petani atau sekurang-kurangnya
menasihatkan mereka supaya jadilah petani yang patuh undang-undang serta jujur.
Sebaliknya, yang ahli-ahli
politik ini sarankan ialah agar Kerajaan Negeri buat itu dan ini demi kononnya,
untuk melancarkan lagi usaha petani dalam bercucuk tanam bagi menyara kehidupan
mereka dan menyumbang kepada ekonomi negeri.
Satu daripada saranan itu
ialah dengan menghentikan peraturan pembaharuan Lesen Pendudukan Sementara
(TOL) setahun ke setahun, yang dilihat membebankan.
Sebaliknya, mereka sarankan
agar tempoh sah-laku TOL itu dilanjutkan kepada lebih daripada cuma setahun.
Ini kononnya kerana urusan memperbaharui itu sahaja mengambil masa yang agak
lama hingga menyebabkan petani tidak layak mendapat pelbagai bantuan pertanian
daripada jabatan dan agensi kerajaan selagi TOL mereka tidak mendapat kelulusan
untuk pembaharuan oleh Pejabat Tanah dan Daerah.
SARANAN SUCI SERTA SINDIRAN
Saranan ini bunyinya suci
dan Menteri Besar Datuk Seri DiRaja Adnan Yaakobpun selaku Pengerusi BN Negeri,
bersikap diplomatik dalam hal ini semasa menggulung perbahasan pada penghujung
konvensyen sehari itu.
Namun, ada sindiran yang
dapat penulis hidu daripada reaksinya itu. Sambil beliau mengambil maklum akan
saranan mereka, beliau turut membangkitkan betapa ada dalam kalangan petani
yang kawasan TOLnya seluas cuma 0.810 hektar tetapi diterokai haram di kawasan
bersebelahan dengan keluasan berkali-kali ganda!
Inilah hakikatnya. Malah,
dengan tempoh sah TOL selama setahun sekarang inipun penulis mendapat maklum,
gejala itu tetap berlaku dan ia dipercayai akan terus berlaku akibat sikap
tamak-haloba segelintir petani ini.
Selain meneroka secara haram,
para petani ini juga terkenal dengan tindakan menanam hingga ke kawasan rizab
jalan, terus-menerus menggunakan racun serangga yang terlarang, serta enggan
atau terlalu ‘liat’ membina perangkap kelodak yang disyorkan; semuanya demi
mengurangkan kos dan memaksimumkan keuntungan dek kerana sikap tamak-haloba.
Jika antara syarat TOL
ialah tidak boleh membina struktur kekal di atasnya namun petani yang degil,
itulah yang dilanggari dan terus dilakukan. Maka, tidak hairanlah, di satu
kawasan itu terbina 26 buah stor berukuran 20 kaki X 30 kaki sebuah yang
berdinding batu-bata, berbumbung bahan logam dan berlantai konkrit.
TINDAKAN PENGUATKUASAAN BAK CURAH AIR DI KELADI
Stor-stor ini dibina sejak
Oktober 2009 yang ekoran itu, pihak berkuasa tempatan mengeluarkan notis
berhenti kerja dan meroboh sebanyak empat (4) kali serta sekali (1) notis
mengosongkan bangunan.
Selain itu, 12 kompaun
telah turut dikenakan ke atas petani berkenaan namun hingga kini,
segala-galanya umpama ‘mencurah air ke daun keladi’ apatah lagi apabila adanya
ahli politik yang mempertahankan.
Ahli-ahli politik pula
seperti berlumba-lumba untuk menjadi juara kepada petani-petani ini. Taruhannya
ialah untuk menjadi popular atau terus kekal popular lalu memperolehi undi pada
pilihanraya.
Ada ahli politik pula, oleh
kerana gerai jualan hasil pertanian anaknya dirobohkan baru-baru ini sebab
membinanya secara haram di atas rizab jalan dan pula di bahagian selekoh tajam;
terus ‘menyerang’ Kerajaan.
Merekapun mempengaruhi
pihak media untuk melaporkannya termasuk dalam hal mereka menyerahkan
memorandum ke Jabatan Perdana Menteri antara lain menggesa agar Perdana Menteri
masuk campur membantu.
RASUAH – PERSEPSI UMUM YANG SUKAR DIBUKTIKAN
Sedangkan, semasa pihak
penguatkuasa tiba untuk merobohkan struktur ini, terpampang tulisan-tulisan
kurang menarik yang mengutuk tindakan itu termasuklah yang ditujukan kepada
Perdana Menteri sendiri.
Mengenai segelintir
kakitangan kerajaan yang rasuah pula, ini adalah persepsi umum yang memanglah
sukar untuk dibuktikan.
Terkini yang penulis
ketahui, ialah persoalan bagaimanakah boleh berlaku kejadian tanah kerajaan
yang belum diputuskan kegunaan tanahnya oleh pihak berkuasa tempatan, boleh
terbina di atasnya lima buah kedai sederet dengan jualan lebih RM200,000
sebuah.
Yang dilihat bakal menjadi
masalah lebih besar ialah, kelima-lima buah kedai ini dibina betul-betul di
atas tanah yang dikhususkan sebagai jalan masuk ke sebuah projek pembangunan
mewah yang bakal dibina di kawasan belakangnya.
Jika nanti bangunan lima
buah kedai ini perlu dirobohkan, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan
untuk mengeluarkan pampasan ke atas kelima-lima pemilik kepada kedai-kedai ini
yang nilai kesemuanya lebih RM1 juta!
PERLU TINDAKAN TEGAS
Rasuah juga dikatakan
berlaku hinggakan keputusan yang pernah diputuskan oleh pihak berkuasa tempatan
untuk memindahkan kawasan sesak pasar malam di Brinchang ke tapak lain; dengan
cepat diketahui umum dan secepat kilat juga di tapak baru berkenaan, lot-lot tapak
sudah siap ditawarkan oleh pihak-pihak tertentu dengan harga tinggi setiap
satu!
Dalam menangani gejala tiga
serangkai yang penulis istilahkan sebagai ‘The Cameron’s Little Napoleans’ ini,
nampaknya tiada pilihan melainkan tindakan tegas perlu diambil dengan memulakan
langkah bukan setakat menukar kakitangan kerajaan yang sudah terlalu lama
berkhidmat di daerah itu ke daerah lain, malah tamatkan sahaja perkhidmatan
kakitangannya yang berkhidmat secara kontrak.
Juga perlu turut dilakukan
ialah membersihkan barisan ahli-ahli Majlis dalam pihak berkuasa tempatan
tersebut yang dalam kalangan mereka juga ialah petani yang turut dikesani, ada
melakukan tanaman sayur-sayuran secara haram hingga melimpah ke bahu jalan.
Daripada situ, ahli-ahli
politik pula harus dididik supaya lebih rasional dan jadilah pemimpin yang
fungsinya mestilah untuk memimpin. Bukan pemimpin namanya jika dianya sekadar
mengikut kehendak petani sungguhpun petani tidak berada pada pihak yang benar.
Dan ini semua, penulis
harus akur, bukanlah kerja mudah namun wajib dimulakan sungguhpun hasil serta
impak positifnya mungkin mengambil jangkamasa yang lama untuk diperolehi. –
Khabar
MATA KE MATA ;
*** Sudah tentu ketiga-tiga puak ini tidak akan
mengakui sikap hipokrit mereka. Sebaliknya, cuba mengalih pandangan dengan
mewujudkan ‘kambing hitam’ yang harus
dipersalahkan dan jalan lebih mudah ialah dengan meletakkan kesalahan itu
kepada Kerajaan Negeri sepenuhnya.
*** Sebaliknya, yang ahli-ahli politik ini sarankan
ialah agar Kerajaan Negeri buat itu dan ini demi kononnya, untuk melancarkan
lagi usaha petani dalam bercucuk tanam bagi menyara kehidupan mereka dan
menyumbang kepada ekonomi negeri.
Satu daripada saranan itu ialah dengan menghentikan
peraturan pembaharuan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) setahun ke setahun, yang
dilihat membebankan.
*** Ahli-ahli politik pula seperti berlumba-lumba
untuk menjadi juara kepada petani-petani ini. Taruhannya ialah untuk menjadi
popular atau terus kekal popular lalu memperolehi undi pada pilihanraya.
*** Daripada
situ, ahli-ahli politik pula harus dididik supaya lebih rasional dan jadilah
pemimpin yang fungsinya mestilah untuk memimpin. Bukan pemimpin namanya jika
dianya sekadar mengikut kehendak petani sungguhpun petani tidak berada pada
pihak yang benar.
Dan ini semua, penulis harus akur, bukanlah kerja
mudah namun wajib dimulakan sungguhpun hasil serta impak positifnya mungkin
mengambil jangkamasa yang lama untuk diperolehi.