… akui Encik Ismail Yusof atau ‘Bapak Roket’, peneroka Felda yang juga bekas penyokong kuat pembangkang yang kini insaf lalu menyertai UMNO
'BAPAK ROKET' SERTAI UMNO... Dato' Sri DiRaja Adnan sedang menerima borang keahlian UMNO daripada Encik Ismail sambil yang lain memerhatikan. (Sumber foto : Utusan Malaysia)
RANCANGAN TANAH FELDA BUKIT MENDI, BERA – “Sekarang kita warga Felda ini, (kita menerima manfaat) lebih daripada yang lebih. Lebih daripada yang lebih,” demikian kata Encik Ismail Yusof atau ‘Bapak Roket’, peneroka Felda di sini yang insaf dan menyertai UMNO.
Dalam ucapan luar teks 20-minit pada majlis yang beliau sendiri anjurkan bagi menyerahkan borang keahlian UMNO bersama-sama 85 yang lain kepada Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob petang Jumaat, 12 Oktober di sini katanya;
“Saya Hj Ismail bin Hj Yusof, bukan seorang pensyarah. Peneroka Felda biasa sahaja. Saya sudah kenyang makan hasil Felda. (Selama) 45 tahun saya di negeri Pahang. Hari inilah hari yang saya paling gembira. Saya nak bertemu sangat dengan Dato’ Sri (DiRaja) Adnan,” yang disusuli secara spontan tepukan oleh para hadirin.
“Daripada tahun 2008 lagi, saya berjanji dengan Allah Taala, ‘Ya Allah ya Tuhanku, panjangkanlah umurku satu penggal lagi’. Insya-Allah, Tuhan panjangkan umur saya hingga ke hari ini,” katanya lagi.
Encik Ismail yang berusia 75 tahun itu seterusnya mengingatkan; “Tuan-tuan mesti kena ingat, terutama sekali warga peneroka. (Sudahpun mempunyai) rumah banglo, kereta mewah; (masih) hentam lagi UMNO, hentam lagi Kerajaan.
TAK MAHU BANGSA MELAYU DIPERKOTAK-KATIKKAN
“Ingatlah Tuan-tuan. Saya tidak mahu bangsa Melayu diperkotak-katikkan oleh bangsa Melayu sendiri Tuan-tuan. Saya sudah tua Tuan, ingin ke sana (akhirat) sahaja. Kemungkinan inilah kali terawal, kemungkinan inilah kali terakhir.
“Saya dah tak mampu nak berjalan, nak berjalanpun dah tak mampu. Saya tak mampu. Saya pesanlah kepada Tuan-tuan dan Puan-puan, banyak-banyaklah Tuan-tuan fikir. Fikir sampai lima kali, (jika masih) tak masuk jalan yang betul, fikir sampai 10 kali!
“Kalau 10 kali fikir tak masuk juga jalan yang betul, nauzubillah, Allah Taala tunjuk, turun bala yang amat berat sekali. Ingat, ingat kita. Kalau kita nak bercakap Islam kena mengaji, belajar dulu.
“Ingatlah. UMNO sahaja hak orang Melayu. Tumbang Melayu apa akan jadi? Jangan awak suka-suka nak perkotak-katik nak memilih pemimpin tu, pemimpin ini, jangan... Saya minta ampun, minta maaf banyak-banyak.
“Saya tidak mahu bangsa saya dijajah. Semua ini bangsa saya ni semua ini. Fikir habis Tuan-tuan, fikir habis-habis. Ingatlah. Dalam masa dua-tiga bulan ini sahaja lagi (sebelum pilihanaya umum) Tuan boleh berfikir. Ingat,” katanya.
Maka tidak hairanlah, ucapan 40-minit Dato' Sri DiRaja Adnan, sekali-sekala terusik dengan kenderaan yang lalu-lalang di depannya, lalu beliau telah secara berseloroh berkata; "Ini dalam sejarah hari ini," disusuli ketawa para hadirin.
"Tak pernah lagi saya macam ini sebenarnya. Luar biasa... Kita berucap, orang mendengar seberang jalan. Inilah hebatnya Bukit Mendi. Kerana apa? Kerana Tuan Haji Ismail sendiri. Semua kedai dia punya sahaja saya difahamkan.
“Kalau macam inilah… Teringat kisah orang Janda Baik pergi ke Kuala Lumpur kali pertama. Orang Janda Baik menyebut kereta tu, kereto. Dia setiap kali nak melintas kena angkat kaki.
“Jadi diapun, lepas balik dari Kuala Lumpur orang tanya; “Macam mana, seronok tidak pergi Kuala Lumpur. Tak seronok katanya. Kenapa? Dia kata, ‘Angkat kaki, kereto, angkat kaki kereto”. Kita tak faham apa benda. Rupanya, setiap kali dia angkat kaki nak melintas, kereta lalu, setiap kali dia angkat kaki nak melintas, kereta lalu. Maknanya, dia sehari suntuk tak dapat melintas…
"Ha, hari ini begitu jugalah (yakni, sedang bercakap, kenderaan lalu di depannya."
SAYA BENCI ORANG DAP
Menerangkan penglibatannya dengan parti pembangkang DAP yang majoriti ahli dan penyokongnya ialah kaum Cina, Encik Ismail mengakui betapa beliau ‘berkecimpung’ dengan parti tersebut kira-kira 25 tahun lamanya.
Pun begitu, beliau tidak memegang apa-apa jawatan, malah tidak juga mengisi borang untuk menjadi ahli parti tersebut.
“Berapa kali orang besar-besar DAP panggil saya ceramah, saya tak mahu. Isi borang (keahlian DAP)pun saya tak mahu,” kata Encik Ismail yang kini ialah juga seorang usahawan dengan sebaris kedai di perkarangan majlis ini diadakan, ialah miliknya.
Sehubungan dengan itu, Encik Ismail mengingatkan; “Kalau sesiapa yang ingin tahu, nak mengundi DAP, tanya saya dululah… Saya bukan bencikan DAP. Saya benci orang DAP.
“Sekarang Tuan-tuan sendiri lihat dan tengok. Akhbar, televisyen semua ada, radio. Apa sudahnya? Dia (DAP) baharu memerintah Pulau Pinang, sahaja begitulah. Selangorpun (yang diperintah oleh parti pembangkang) lebih kurang,” katanya lagi.
‘JANGAN TAK DAPAT BAJU SEHELAI, MERAJUK’
Beliau seterusnya mengingatkan agar masyarakat termasuk para peneroka, tidak menjadi golongan yang meminta-minta melainkan berusaha sedaya-upaya bagi menjayakan diri sendiri.
“Nak duit saja macam mana? Tak ada siapa yang akan beri duit saja…. Kena (perlu) kerja, kena kerja. Jangan, (apabila) jumpa menteri nak duit, jumpa wakil rakyat nak duit. Tak dapat baju sehelaipun tarik diri (merajuk),” katanya berterus-terang.
Beliau kemudian membawa kisah tok guru pondok zaman dahulu dengan anak muridnya, bagi menggambarkan sikap ‘cakap tak serupa bikin’ sesetengah pihak yang tidak harus dipercayai dan diteladani oleh masyarakat.
Tok guru pondok itu katanya, ada berpesan kepada anak muridnya supaya tidak membuang air kecil sambil berdiri dan menghadap ke arah kiblat di Mekah, Saudi Arabia.
Bagaimanapun katanya, anak murid tersebut yang sering memerhatikan gelagat tok gurunya, ada ternampak tok gurunya itu berbuat demikian disebalik pesan-tegahannya itu, lalu anak muridpun bertanya;
PUTAR-BELIT PEMBANGKANG YANG ENCIK ISMAIL TAK MAHU
“‘Tok Guru. Semalam saya tengok Tok Guru kencing berdiri menghadap kiblat’. Apa kata Tok Guru tu? ‘Aku belok xxxxx aku,’ dia kata, ‘Mu jangan main-main. Aku belok xxxxx aku…’” yang sederap itu menyebabkan hadirin ketawa berdekah-dekah.
“Ha… inilah (putar-belit) yang saya tak mahu ni. Aku tak mahu pakai dasar ini,” kata Encik Ismail dan menambah kata, “Kalau ingin jadi ketua, jalan baik-baik, ikut mana sekalipun”.
Dato’ Sri DiRaja Adnan yang berucap selepas itu, mengalu-alukan penganjuran majlis petang Jumaat itu khususnya dengan keputusan Encik Ismail serta 85 yang lain, untuk menyertai UMNO.
Pada persidangan media kemudian, Dato Sri DiRaja Adnan yang juga Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Negeri turut menyentuh tentang apa yang telah dikatakan oleh warganegara emas itu.
“Tadi kita telah lihat, bagaimana sokongan mereka beri kepada Kerajaan terutama seperti yang disuarakan oleh Tuan Haji Ismail tadi. Beliau selama ini terkenal sebagai orang yang tak pernah menyokong Kerajaan.
PETANDA BAIK MENJELANG PILIHANRAYA
“Tapi hari ini, beliau telah membuat majlis ini dan telah dapat menarik beberapa orang ahli parti pembangkang untuk menyertai UMNO dengan menyerahkan borang UMNO pada hari ini.
“Dan kita lihat, dalam ucapannya tadi, beliau menasihatkan kita semua supaya bersama-samalah dengan Kerajaan yang ada. Ini satu petanda baik menjelang pilihanraya umum yang akan datang.
“Kalau boleh, ramai lagi mereka yang sedar seperti Tuan Haji Ismail ini, maka ia satu petanda baik untuk Kerajaan insya-Allah. Majlis seperti ini sepatutnya diadakan lagi dalam bentuk bersantai, lebih kurang, dengan mengenepikan protokol,” katanya.
Antara yang turut hadir pada majlis petang Jumaat ini ialah kedua-dua wakil rakyat – Encik Fadil Osman (BN – Kemayan) dan Encik Norul Azali Sulaiman (BN – Guai), serta Setiauaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Mohd Azizan Che Omar. – Khabar
MATA KE MATA ;
*** “Saya Hj Ismail bin Hj Yusof, bukan seorang pensyarah. Peneroka Felda biasa sahaja. Saya sudah kenyang makan hasil Felda. (Selama) 45 tahun saya di negeri Pahang. Hari inilah hari yang saya paling gembira. Saya nak bertemu sangat dengan Dato’ Sri (DiRaja) Adnan.
“Daripada tahun 2008 lagi, saya berjanji dengan Allah Taala, ‘Ya Allah ya Tuhanku, panjangkanlah umurku satu penggal lagi’. Insya-Allah, Tuhan panjangkan umur saya hingga ke hari ini.”
*** “Tuan-tuan mesti kena ingat, terutama sekali warga peneroka. (Sudahpun mempunyai) rumah banglo, kereta mewah; (masih) hentam lagi UMNO, hentam lagi Kerajaan.
“Ingatlah Tuan-tuan. Saya tidak mahu bangsa Melayu diperkotak-katikkan oleh bangsa Melayu sendiri Tuan-tuan. Saya sudah tua Tuan, ingin ke sana (akhirat) sahaja. Kemungkinan inilah kali terawal, kemungkinan inilah kali terakhir.”
*** “Ingatlah. UMNO sahaja hak orang Melayu. Tumbang Melayu apa akan jadi? Jangan awak suka-suka nak perkotak-katik nak memilih pemimpin tu, pemimpin ini, jangan... Saya minta ampun, minta maaf banyak-banyak.
“Saya tidak mahu bangsa saya dijajah. Semua ini bangsa saya ni semua ini. Fikir habis Tuan-tuan, fikir habis-habis. Ingatlah. Dalam masa dua-tiga bulan ini sahaja lagi (sebelum pilihanaya umum) Tuan boleh berfikir. Ingat.”
*** “Dan kita lihat, dalam ucapannya tadi, beliau menasihatkan kita semua supaya bersama-samalah dengan Kerajaan yang ada. Ini satu petanda baik menjelang pilihanraya umum yang akan datang.
“Kalau boleh, ramai lagi mereka yang sedar seperti Tuan Haji Ismail ini, maka ia satu petanda baik untuk Kerajaan insya-Allah. Majlis seperti ini sepatutnya diadakan lagi dalam bentuk bersantai, lebih kurang, dengan mengenepikan protokol.”