EID MUBARAK... Semoga kedatangannya disambut dan diisikan dengan amal-ibadah termasuk menunaikan solat-solat sunat terawih di surau-surau dan masjid-masjid.
kamarSUA, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN - Ramadan Al-Mubarak atau bulan puasa tiba lagi. Bagi tahun 1433 Hijrah atau tahun masehi 2012 ini, ia dijangka bermula sama ada pada Jumaat, 20 Julai atau Sabtu, 21 Julai.
Majlis Raja-raja Melayu telahpun menetapkan bahawa tarikh untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk seluruh umat Islam di negara ini ialah pada petang Khamis, 19 Julai atau bersamaan 29 Sya'ban, 1433 Hijrah.
Semarak bulan puasa ini telahpun terasa dalam tempoh beberapa hari ini. Selain iklan-iklan jualan atau juadah berbuka dalam pelbagai media, antara yang paling nyata ialah dengan beberapa kariah surau dan masjid menjalankan kegiatan gotong-royong membersihkan surau dan masjid masing-masing.
Di Kuantan ini khususnya, yang baharu selesai ceria dengan penganjuran Sukan Malaysia XV Pahang 2012 yang penutupannya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Abdul Razak di Stadium Darul Makmur malam tadi;
TENANG DAN NYAMAN, DALAM MASJID NEGERI SULTAN AHMAD 1... Inilah keadaannya yang sempat dirakamkan semasa jemaah menunaikan solat zohor pada tengah hari Selasa, 17 Julai bersamaan 27 Sya'ban 1433 Hijrah atau tiga-empat hari sahaja menjelang bulan Ramadan.
Keceriaan itu bersambung pula dengan kedatangan Ramadan, yang turut dirasai dengan kanopi-kanopi bagi menempatkan gerai-gerai Bazar Ramadan segera didirikan khususnya di tapak berdepan padang MPK 1 berhampiran Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.
Kehadiran penulis bagi menunaikan solat zohor di masjid ini juga terasa akan 'aura' kehadiran bulan Ramadan ekoran ramai daripada biasa para jemaah yang berada di dalamnya sama ada untuk bersolat, beriktiqaf termasuk membaca al-Quran.
'Selamat Meraikan Ramadan Al-Mubarak' kepada semua. - Khabar