Monday, 30 July 2012

Terawih di Surau Al-Muhajirin


RUANG UTAMA SURAU AL-MUHAJIRIN... Jemaah sedang menanti untuk bersembahyang Isya' seterusnya menunaikan solat sunat Terawih pada malam Ahad, 29 Julai. 
  

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Tidak seperti kunjungan sebelum ini bagi menunaikan solat sunat Terawih di Surau Al-Muhajirin – surau batu yang sederhana besar untuk kariah di sini dan persekitarannya;

Kunjungan penulis bagi menunaikan solat yang sama di surau berkenaan malam tadi, Ahad, 29 Julai atau 9 Ramadan, lebih menyelesakan ekoran jemaahnya tidaklah sepadat seperti sebelumnya.

Sebaik-baik mendengar azan dilaungkan menandakan masuknya waktu Isya’, penulis sekeluarga segera berkereta menuju ke sana sungguhpun jaraknya tidak sampaipun 100 meter dari kediaman ini.

Dengan hanya membuat tiga (3) belokan melalui deretan rumah sebuah-sebuah penduduk maka sampailah ke perkarangan surau. Tidak seperti sebelumnya bila kereta harus diletak kira-kira 10 meter jarak ke depan, kali ini, betul-betul berdepan pintu masuk surau.

Tidak seperti sebelumnya bila penulis sekadar dapat tempat di bahagian ‘varandah’ surau itupun saf hampir terkebelakang, nyaris tercantum dengan saf untuk Muslimat,  tetapi kali ini, dapat memasuki ruang solat utama berhawa dingin campur kipas siling dipasang ligat.

INDAHNYA SURAU KAMI... Bersempena Ramadan Al-Mubarak ini, surau ini dinyalakan lampu warna-warninya sebagai menyambut kehadiran jemaah menunaikan solat di dalamnya. 


SURAU PARA PENGHIJRAH

Lalu, berselesalah penulis menunaikan solat Isya’ disusuli solat sunat Terawih berjemaah yang diimamkan oleh anak muda yang lancar bacaannya, sungguhpun tidaklah berlagu sepertimana oleh imam di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 sebelum ini.

Dalam tempoh tak sampai setengah jam, sempurnalah sudah lapan (8) rakaat manakala imam dan jemaah lain (tinggal tak sampaipun dua (2) saf), meneruskan solat hingga mencukupkan 20 rakaat, tambah tiga (3) rakaat solat Witir.

Mengenai surau ini, penulis tertarik pada namanya – Al-Muhajirin. Muhajirin bermaksud penghijrah maka ia tentunya tepat sekali kerana sepertimana penulis yang baharu berhijrah ke sini sejak awal tahun lepas, begitulah juga dengan kesemua penduduknya.

Pengerusi Persatuan Penduduk di sini sendiri, yang juga ialah Pengerusi, Jawatankuasa Surau, Dato’ Ibrahim Taib; setahu penulis berasal dari sama ada Kampung Tengah atau Kampung Jawa, dekat sini.

Dan, asalnya Indera Mahkota ini ialah apa yang disebut Atabara dengan sebahagian besar kawasan ini ditanami pokok-pokok kelapa sawit hinggalah ia dibangunkan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) – PASDEC.

'LANDMARK' TERBAHARU DI INDERA MAHKOTA... Dengan penghuni semakin ramai dan pula 'purchasing power' yang boleh dikatakan tinggi juga, tidak menghairankanlah apabila syarikat pemilik francais restoran makanan segera Mc Donald di Malaysia, Golden Archess Sdn Bhd telah membuka restoran terbaharunya di sini. 


DAHULU RM6.50 KINI RM26 SEKAKI PERSEGI

Ketika itu ialah awal tahun 1980-an semasa penulis, seorang kelahiran negeri Perak, baharu berpindah-kerja ke Kuantan dari Kuala Lumpur dengan menyewa sebuah rumah di sebuah taman perumahan di Jalan Beserah.

Penulis mengenali Dato’ Ibrahimpun ketika itu lagi, dalam pada penulis menjalankan tugas sebagai wartawan manakala Dato’ Ibrahim ialah orang kuat Pesatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) selaku Naib Presiden.

Memandangkan kawasan di Indera Mahkota ini dilihat strategik, penulispun membeli tanah di sini dengan nilai cuma RM6.50 sekaki persegi yang menurut kawan-kawan, nilai semasanya kini (selepas kira-kira 30 tahun) telah melonjak kepada RM26 sekaki persegi!

Apa yang berlaku selepas itu khususnya dengan penulis mengambil pinjaman Kerajaan untuk membina rumah kediaman ini kira-kira dua (2) dekad kemudian kata orang, ialah sejarah.

Penulis percaya, begitulah proses yang ditempuhi oleh penduduk lain di sini maka darpada segi itu, mereka juga ialah penghijrah sepertimana penulis. Maka, amat tepatlah apabila surau ini dinamakan Al-Muhajirin.

Sungghpun seorang penghijrah, penulis tidak pernah lupa untuk sentiasa akur sepenuhnya kepada peribahasa Melayu kita, ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Begiutlah juga dengan para penghijrah lain di sini. – Khabar   
       

MATA KE MATA;

*** Mengenai surau ini, penulis tertarik pada namanya – Al-Muhajirin. Muhajirin bermaksud penghijrah maka ia tentunya tepat sekali kerana sepertimana penulis yang baharu berhijrah ke sini sejak awal tahun lepas, begitulah juga dengan kesemua penduduknya.

*** Dan, asalnya Indera Mahkota ini ialah apa yang disebut Atabara dengan sebahagian besar kawasan ini ditanami pokok-pokok kelapa sawit hinggalah ia dibangunkan oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) – PASDEC Sdn Bhd.

*** Memandangkan kawasan di Indera Mahkota ini dilihat strategik, penulispun membeli tanah di sini dengan nilai cuma RM6.50 sekaki persegi yang menurut kawan-kawan, nilai semasanya (selepas kira-kira 30 tahun) telah melonjak kepada RM26 sekaki persegi!

*** Sungghpun seorang penghijrah, penulis tidak pernah lupa untuk sentiasa akur sepenuhnya kepada peribahasa Melayu kita, ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Begiutlah juga dengan para penghijrah lain di sini.