Wednesday 17 December 2014

Ada 436,910.471 hektar Tanah Rizab Melayu di Pahang



Keluasan ini bersamaan lebih tiga (3) kali ganda saiz Pulau Pinang.

Ia juga bertambah daripada 8.8 peratus sebelum merdeka, kepada 12.1 peratus pada akhir tahun lepas (2013). 

TERIMA KASIH MB... Inilah antara perkataan-perkataan yang tertera pada 'banner' yang dipaparkan oleh Orang Asli sendiri, pada pertemuan mereka dengan Menteri Besar pada pagi Rabu, 17 Disember di perkarangan Dewan Undangan Negeri. 

Pada pertemuan luar jadual dan Menteri Besar pula tetap sudi menemui dan melayani mereka selama kira-kira sejam, beberapa memorandum telah disampaikan dan telah disebutkan oleh Dato' Sri DiRaja Adnan untuk mengkaji atau membawa apa yang telah dibutirkan dalam memorandum ke pengetahuan pihak-pihak berkenaan. 

Foto ini dirakam pada akhir pertemuan tersebut, ketika mana Dato' Sri DiRaja Adnan sedang memuat-masukkan nombor telefon wakil-wakil beberapa kumpulan yang dikatakan mewakili masyarakat Orang Asli itu. 


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini diberitahu, betapa keluasan Tanah Rizab Melayu di negeri ini ialah 436,910.471 hektar.

Yang kalau berasaskan perbandingan yang penulis sendiri lakukan, ialah bersamaan lebih tiga (3) kali ganda saiz seluruh negeri Pulau Pinang yang berkeluasan kira-kira 103,000 hektar.

Dan menurut laporan Jabatan Audit Negara Negeri Pahang pula, keluasan ini (436,910.471 hektar) ialah kira-kira 12.1 peratus daripada keluasan negeri ini (3.6 juta hektar), berbanding cuma 8.8 peratus ketika sebelum merdeka.

Pecahan keluasan ini menurut daerah ialah – 96,734.35 hektar di Jerantut; 60,760.42 hektar di Maran; 59,481.23 hektar di Temerloh; 56,825.79 hektar di Lipis; 52,260.438 hektar di Pekan;

Seluas 38,536.85 hektar di Bera; 31,656.048 hektar di Kuantan; 19,355.3248 hektar di Rompin; 13,582.37 hektar di Raub; 5,034.86 hektar di Bentong; dan, 2,682.79 hektar di Cameron Highlands.

DIALOG MENTERI BESAR DENGAN MASYARAKAT ORANG ASLI... Antara bantahan yang dikemukakan menerusi memorandum yang disampaikan ialah tentang projek hidroletrik Telom di Lipis, yang menurut mereka, akan menghapuskan kewujudan Tanah Adat mereka. 

Kepada bantahan sebegini, Dato' Sri DiRaja Adnan telah menyatakan kesediaannya untuk membawanya ke pengetahuan pihak berkenaan. Dan katanya, beliau sendiri akan ke tapak berkenaan untuk menemui masyarakat Orang Asli di sana bagi mengesahkan sama ada bantahan tersebut adalah daripada majoriti masyarakat di situ. 
 

“…TANAH RIZAB MELAYU AKAN DIGANTI, MESTI DIGANTI, WAJIB DIGANTI”

Butiran tentang keluasan dan pecahan menurut daerah ini dimaklumkan oleh Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob pada sesi soal-jawab, hari ketiga, Rabu, 17 Disember, Persidangan tersebut, di sini.

Ia sebagai menjawab soalan pertama oleh wakil rakyat, Dato’ Mohd Sohaimi Mohamed Shah (BN – Sungai Lembing) yang menanyakan tentang keluasan Tanah Rizab Melayu serta yang berkaitan dengannya.

“… di Pahang ini, kita sudah ada undang-undang, enakmen Tanah Rizab Melayu ini.

“Setiap Tanah Rizab Melayu yang dibangunkan dan hendak dibatalkan sebagai Tanah Rizab Melayu akan diganti, mesti diganti, wajib diganti dengan tanah keluasan yang sama di tempat yang lain,” tegas Menteri Besar itu.

Lanjutan itu, beliau menyatakan betapa yang lebih penting apabila memperkatakan tentang Tanah Rizab Melayu ialah soal kegunaan tanah itu sepenuhnya, demi manfaat orang Melayu.   

“Yang penting, tanah yang ada itu (Tanah Rizab Melayu) diusahakan,” katanya lagi. – Khabar