Thursday 25 December 2014

Misi bantuan banjir Menteri Besar ke kawasan-kawasan terputus hubungan di Hulu Tembeling



MEMUAT-NAIKKAN BARANGAN KEPERLUAN... Dato' Sri DiRaja Adnan sendiri turut membantu dalam memuat-naikkan barangan makanan dan keperluan ke dalam helikopter. Yang turut kelihatan ialah Dato' Wan Amizan. 
 

Alamaya, INDERA MAHKOTA 5, KUANTAN – Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob hari ini menghabiskan masa seharian, mengetuai misi penyerahan bantuan makanan dan keperluan ke kawasan-kawasan terputus hubungan akibat banjir di daerah Jerantut khususnya kawasan Hulu Tembeling.

Beliau ditemani Ketua Polis Negeri, Dato’ Sharifuddin Abdul Ghani; wakil rakyat, Dato’ Wan Amizan Wan Abdul Razak (BN – Tahan); dan, Pegawai Daerah Jerantut, Encik Ali Syahbana Sabaruddin; menaiki helikopter Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) jenis EC 725 bagi menyempurnakan misi itu.

Helikopter buatan Perancis ini ialah alternatif bagi menggantikan helikopter TUDM jenis Nuri yang telah berkhidmat sejak lebih 50 tahun lepas pada tahun 1959 lagi. Dua buah yang pertamanya Kerajaan Malaysia terima daripada pengeluar, Eurocopter Malaysia Sdn Bhd pada akhir tahun 2012.

Selain boleh mengangkut sehingga 11,000 kilogram muatan, helikopter jenis EC 725 ini boleh digunakan dalam semua keadaan cuaca dan dilengkapi dengan kamera dan radar – dua komponen penting terutamanya dalam usaha mencari dan menyelamat.

Misi bermula dengan kerja-kerja pemuatan naik ke helikopter, barangan makanan dan keperluan itu pada pagi Khamis, 25 Disember di padang hoki Jerantut, sebelum berlepas ke kawasan-kawasan di Hulu Tembeling termasuk ke Kampung Bantal.

SETIBANYA DI KAWASAN TERPUTUS HUBUNGAN DARAT, KAMPUNG BANTAL... Dato' Sri DiRaja Adnan kelihatan sedang berkomunikasi dengan penduduk tempatan sebaik-baik helikopter mendarat di kampung mereka. 


BANJIR TERBURUK, SAMA BURUK DENGAN TAHUN 1926

Banjir di kawasan-kawasan Hulu Tembeling ini dikatakan yang terburuk – lebih buruk daripada bencana yang sama tahun 1971. Ia dikatakan sama buruknya dengan kejadian banjir tahun 1926 atau kira-kira 88 tahun lepas!

Misi ini - pada hari cuti umum sempena perayaan Hari Krismas, hanya berakhir pada lewat petang. Foto-foto yang disiarkan dalam laman ini ialah ehsan Dato' Sharifuddin dan Encik Ali Syahbana, yang menghantarnya dari lokasi, menerusi sama ada medium WhatsApp atau sistem pesanan ringkas (SMS). 

MENTERI BESAR DAN HELIKOPTER TUDM EC 725... Kehadiran helikopter TUDM EC 725 sebagai pengganti helikopter Nuri ternyata amat bermanfaat, dalam melancarkan kerja-kerja penghantaran barangan makanan dan keperluan ke kawasan-kawasan terputus hubungan darat di Hulu Tembeling ini. – Khabar