Sunday 28 December 2014

Lawatan PM diiringi MB ke daerah-daerah terjejas banjir di Pahang



… lawatan pada cuti minggu Ahad, 28 Disember

UCAPAN YANG MENENANGKAN OLEH PERDANA MENTERI... 


SEKOLAH KEBANGSAAN CLIFFORD, KUALA LIPIS – Perdana Menteri Dato’ Sri  Mohd Najib Abdul Razak melawat pusat pemindahan banjir di sini, lokasi pertama daripada beberapa kawasan dan pusat pemindahan banjir di Pahang yang beliau lawati pada cuti minggu Ahad, 28 Disember ini.

Beliau yang diiringi Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, tiba di pusat pemindahan yang menempatkan 315 mangsa dari kawasan banjir berdekatan, pada 10.45 pagi.

Sebaik-baik tiba, menurut laporan BERNAMA, beliau terus menziarahi mangsa-mangsa banjir, kemudian berpesan dalam ucapannya kepada mereka, agar bersabar menghadapi musibah di luar jangkaan itu.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kata Dato’ Sri Mohd Najib, sedang bekerjasama rapat untuk melakukan yang terbaik demi meringankan beban yang sedang mereka tanggung.

Dan antara tindakan segera yang Kerajaan Persekutuan ambil ialah memperuntukkan tambahan kira-kira RM500 juta, serta mempercepatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada pertengahan Januari depan berbanding asalnya, pada akhir bulan itu.

BERGERAK CERGAS, ZIARAHI MANGSA-MANGSA BANJIR... Dengan diiringi Dato' Sri DiRaja Adnan, Dato' Sri Mohd Najib sedang bergerak pantas bagi meninjau mangsa-mangsa banjir di kawasan-kawasan yang terjejas dengan bencana itu.
 

SYUKURNYA, DAPAT SAMA-SAMA KETIKA RAKYAT HADAPI MUSIBAH

Sungguhpun peruntukan dan bantuan-batuan tersebut masih tidak mampu untuk menampung segala kerugian yang mangsa-mangsa banjir alami, namun katanya, Kerajaan tetap cuba melakukan yang terbaik untuk mereka.

Semasa lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tengku pula, Dato’ Sri Mohd Najib turut berucap dengan antara lain menyifatkan bencana banjir yang dialami ini sebagai pengajaran kepada semua agar lebih bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu, bagi mengelakkan berlakunya banjir.

Beliau kemudian turut berkongsi kesedihannya dengan apa yang terjadi dan menzahirkan rasa syukur kerana berpeluang dapat bersama-sama rakyat ketika mereka dilanda musibah.

Menurutnya lagi, keputusannya untuk pulang segera daripada percutian bersama keluarga di Hawaii, Amerika Syarikat, ialah pengorbanan kecil beliau berbanding kesusahan yang ditanggung semua mangsa.

“Walaupun keluarga saya juga bersedih kerana ditinggalkan tetapi saya bagi tahu mereka apa yang mereka alami tidak dapat menandingi perasaan yang dirasai mangsa banjir.

SYUKUR JUGA, DAPAT BUAT KEPUTUSAN BAGI KURANGKAN KESEDIHAN MANGSA

“Dan saya bersyukur kerana dapat membuat beberapa keputusan bagi mengurangkan kesedihan mangsa,” katanya.

Selepas daerah Lipis, Dato’ Sri Mohd Najib yang diiringi Dato’ Sri DiRaja Adnan, melawat pula ke beberapa kawasan dilanda banjir dalam daerah-daerah Jerantut, Temerloh, Maran dan akhirnya, kawasan parlimennya sendiri di Pekan. – BERNAMA/Khabar