Friday, 19 December 2014

Kerajaan Negeri mahu anjur Tahun Melawat Pahang 2017



… dengan sasaran kedatangan 15 juta pelancong, dan RM9,900 juta pendapatan, kata Menteri Besar

MENTERI BESAR SEDANG MENGGULUNG PERBAHASAN, DENGAN UCAPAN LUAR TEKS 56-MINITNYA... Foto ini dipetik daripada kumpulan 'whatsapp' Ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri dan Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 


DEWAN UNDANGAN NEGERI, WISMA SRI PAHANG, KUANTAN – Kerajaan Negeri akan menganjurkan program Tahun Melawat Pahang 2017 dengan sasaran kemasukan 15 juta pelancong dan RM9,900 juta hasil pendapatan.

Ketika bercakap pada penggulungan perbahasan atas Ucapan Bajet Negeri 2015 pagi Jumaat, 19 Disember di sini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata, penganjurannya bermatlamat untuk mengembangkan industri pelancongan negeri ke tahap lebih tinggi.

Kali terakhir Kerajaan Negeri menganjurkan program sebegini ialah pada tahun 1994 atau kira-kira-kira 20 tahun lepas, “Dan kita mempunyai produk yang menjadi kekuatan kita – Taman Negara, Pulau Tioman, bunga rafflesia, ada tanahtinggi dan ada acara-acara bertaraf antarabangsa,” katanya.

Ke arah menjayakan Tahun Melawat Pahang 2017 ini katanya lagi, ia akan berlangsung dalam tiga (3) fasa iaitu fasa pertama untuk tahun depan (2015), akan meliputi usaha-usaha perancangan dan persediaan.

Fasa kedua bagi tahun berikutnya, 2016, meliputi gerak-kerja pemasaran dan promosi; dan, fasa ketiga pada tahun 2017, akan merupakan fasa pelancaran dan menjayakan Tahun Melawat Pahang 2017 itu sendiri.

TIADA LAGI TOL BAHARU DI CAMERON SEJAK TAHUN 2000

“Bukanlah bermakna kita menggalakkan orang datang ke Pahang pada tahun 2017 sahaja, tidak…

“Dengan adanya program ini, ‘being part of promoting and marketing’ kita berharap, In-sya-Allah, lebih kurang 15 juta pelancong akan datang ke negeri Pahang dan perbelanjaan ataupun wang yang terlibat, RM9.9 billion,” katanya.

Dalam ucapan penggulungan 56-minitnya (11.11 pagi hingga 12.07 tengah hari), Dato’ Sri DiRaja Adnan turut menyentuh soal pembangunan tanah di Cameron Highlands, betapa Lesen Pendudukan Sementara (TOL) baharu di sana tidak lagi dikeluarkan sejak tahun 2000 lagi.  

“(Sebaik-baik) saya menjawat jawatan Menteri Besar, saya terus ‘stop’kan. Cukup (dengan pengeluaran) TOL yang (sedia) ada. Kita kira dah pada masa itu, cukup…,” tegasnya.  

Dan sejak tahun 2007 pula katanya, kerja-kerja memperbaharui TOL yang sebelumnya boleh dilakukan di pejabat daerah dan tanah-pejabat daerah dan tanah, hanya boleh diluluskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang lazimnya bermesyuarat di Kuantan.

‘DEMI ALLAH, DEMI RASUL…’

Menurutnya, langkah ini diambil bagi menutup segala tuduhan dan tohmahan tentang kononnya berlaku salah guna kuasa dan gejala rasuah di peringkat pejabat daerah dan tanah-pejabat daerah dan tanah berkenaan.

“Tapi, ada pula sesetengah pihak mengeluarkan kenyataan – ahhh… ini menambahkan (lagi) birokrasi. Oh, kat Kuantan pula.

“Sebenarnya kita hendak menolak atau menghindari, untuk kita menjauhi tuduhan-tuduhan, tohmahan-tohmahan dan perbuatan salah guna kuasa dan rasuah di peringkat daerah, (maka) kita bawa ke (MMK) Kuantan,” katanya.

“Aihh. Menteri Besar, (ahli-ahli) Exco (Ahli-ahli MMK) tak makan duit-duit orang menanam sayur ni. Tak ada rasuah, saya berani ‘guarantee’. Demi Allah, demi Rasul, tak ada kita mengambil duit rasuah dari penanam sayur Cina di Cameron Highlands dengan Bukit Tinggi, tak dak…

“Tapi bila tak bersumpah yang (kepada perkara-perkara) lain, jangan pula ingat yang lain – (meng)agak yang lain pula disapunya. Ha ini payah juga. Bersumpah payah, tak bersumpahpun susah. Tak dak, tak dak…,” tegas Dato’ Sri DiRaja Adnan lagi.  

PATUHILAH UNDANG-UNDANG

“Yang pentingnya orang-orang Cameron, ikut undang-undang, patuhi undang-undang, peraturan. Dan Kerajaan – Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, akan cuba membantu di mana yang patut,” katanya.  

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar mereka yang memiliki TOL yang sah supaya meneruskan pekerjaan mereka sebagaimana biasa yang ketika ini bagaimanapun, sedang mengalami masalah ketiadaan pekerja.

Kerajaan Negeri menurutnya, akan cuba menyelaraskan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya mereka akan mendapat kembali pekerja-pekerja yang diperlukan dalam kadar sesegera yang boleh.

Beliau turut mengulas tentang apa yang disebutnya sebagai ‘the new craze’ (BM: Kegilaan terbaharu) iaitu terhadap bahan mineral ‘bauxite’ yang Kerajaan Negeri terima terlampau banyak permohonan untuk pengeluarannya termasuk dari kawasan Rancangan Tanah Felda Bukit Goh dekat sini.

Bagi membendung kegiatan ini katanya, Kerajaan Negeri tidak lagi membenarkan pengeluaran bahan mineral ini menerusi kaedah pemindahan tanah, sebaliknya mereka perlu melalui prosedur sepertimana kerja-kerja perlombongan yang perlu membuat permohonan untuk SKC dan MC.

PELBAGAI LAGI PERKARA TURUT DIULAS

Dalam ucapan penggulungan yang sama itu, Dato’ Sri DiRaja Adnan truut menyentuh beberapa lagi perkara seperti soal pentingnya untuk memelihara keharmonian antara kaum; pemeliharaan alam sekitar;

Begitu juga dengan soal pendidikan; kutipan zakat; pemerkasaan sekolah-sekolah agama; hal-hal berkaitan Orang Asli; peruntukan untuk pembangkang; dan, hutan simpan kekal Lesong. – Khabar