Sunday, 7 December 2014

Banyakkan lagi pendakwaan ke atas pemberi-pemberi rasuah!


“Walaupun undang-undang kita memperuntukkan penerima dan juga pemberi rasuah didera, tetapi kita harap dapat lebih banyak lagi pemberi-pemberi rasuah dibawa ke muka pengadilan,” harapan Menteri Besar kepada SPRM.

SERAH-TERIMA OBOR... Dato' Sri DiRaja Adnan menyalakan obor kemudian diserahkan kepada Dato' Ng Siew Lai yang berlari sejauh 3.2 KM dengannya. 
 

TAMAN GELORA, KUANTAN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diharap dapat membanyakkan lagi pendakwaan ke atas pemberi-pemberi rasuah dalam usaha membendung gejala rasuah di negara ini.

Dalam ucapan luar teks 10-minit (7.34 pagi – 7.44 pagi) merasmikan Larian Hapuskan Rasuah anjuran bersama Kerajaan Negeri, SPRM Negeri, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan parti Gerakan Negeri pagi Ahad, 7 Disember di sini, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob berkata;

“Walaupun undang-undang kita memperuntukkan penerima dan juga pemberi rasuah didera, tetapi kita harap dapat lebih banyak lagi pemberi-pemberi rasuah dibawa ke muka pengadilan”.

Sambil meningatkan SPRM supaya menjalankan tugas dengan tegas, adil dan saksama (fair and square) serta ‘judiciously’, Dato’ Sri DiRaja Adnan berharap agar penekanan badan itu ialah kepada punca berlakunya gejala tersebut.

“Apa juga perkara ini sebenarnya kita kena cari punca. Kalau punca dadah, bukan masalah penagih dadah, tidak. Bila pembekal dadah itu kita dapat bendung, hapuskan; dengan sendirinya dadah tidak ada.

HON PELEPASAN... Hon dibunyikan menandakan pelepasan para peserta untuk menghabiskan laluan 3.2 KM di sekitar Taman Gelora ini.


TANGKAP PEMBERI, TIADALAH PENERIMA 

“Begitu juga rasuah. Tidak ramai orang yang boleh tutup mata bila duit itu diberi kepada dia. Tetapi, kalau pemberi rasuah, pemberi duit itu dapat ditangkap, maka tidak ada penerima rasuah. Ini penting juga untuk kita kaji,” katanya.

Beliau juga menyebut tentang merbahayanya rasuah yang jika tidak dibendung, boleh membawa keruntuhan sesebuah negara dengan memberi contoh bagaimana golongan kaya yang rasuah, akan dapat lakukan segala-galanya termasuk dalam projek-projek infrastruktur yang tidak tentu mutu kerja mereka.

Dalam Islampun katanya, rasuah memang dikeji dan betapa Hadith Nabi ada menyebutkan betapa tempat di akhirrat kelak bagi pelaku rasuah samada pemberi ataupun penerima, ialah neraka.

“Tapi kadang-kadang, yang menjadikan seseorang itu rasuah ialah kerana gaya hidup untuk bergaya, kemudian itu tuntutan mungkin keluarga, mungkin sahabat. Maka ini semua akan menjurus ke arah rasuah,” katanya.

Oleh sebab itulah katanya, Kerajaan telah menubuhkan badan bagi menangani gejala tersebut dengan misalnya dahulu, dikenali sebagai Biro Siasatan Negara (BSN) dan kini,  SPRM.

'EARLY BIRDS'... Ini ialah antara ketua jabatan-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang tiba awal untuk larian pagi minggu ini, antaranya ialah Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri, Dato' Azizan Ahmad (bertopi); PKPj Zainul; Pengarah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Dato' Abdul Wahab Mat Yassin; dan, Pengarah, Jabatan Perhutanan Negeri, Dato' Mohd Paiz Kamaruzaman. 

Foto ini yang dimuat-naik pada jam 7.17 pagi, dipetik dari kumpulan 'whatsapp' ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri, wakil rakyat-wakil rakyat BN dan ketua jabatan-ketua jabatan yang diurus-tadbirkan oleh Dato' Mohd Johari.  


TAHAP RASUAH KITA TAK SETERUK MANA

“Dan sejak Akta Pencegahan Rasuah dipinda beberapa tahun lepas, kita dapat lihat peruntukan-peruntukan yang sangat ketat. Kalau kita berikan kerjasama kepada SPRM, insyaAllah, kita akan dapat, kalaupun tidak menghapuskan rasuah, akan membendung rasuah,” tegasnya.

Dato’ Sri DiRaja Adnan seterusnya memberikan contoh beberapa negara yang keadaannya lebih buruk daripada negara kita termasuk sebuah negara yang dikatakan sebagai pengamal demokrasi terbesar namun gejala rasuahnya ‘paling teruk’.

Namun di negara ini katanya, sungguhpun gejala itu tidak dinafikan wujud tetapi tidaklah seteruk mana.

“Saya tak percaya, kalau kita pergi ke pejabat tanah atau kita pergi ke pejabat pelajaran, kita minta borang, kerani minta duit, tidak ada... Kalau kita pergi ke hospital mendaftar nama (untuk rawatan), kita tidak perlu bayar lebih daripada sepatutnya.

“Bermakna, kita masih lagi dapat membendung perbuatan rasuah ini,” katanya.

MENAMATKAN LARIAN... Seorang peserta remaja ini sedang meluru ke garisan penamat untuk menduduki dalam kalangan lima (5) tempat pertama.


T-SHIRT UNTUK 800 ORANG, TAPI PESERTA HINGGA 1,000 ORANG

Beliau seterusnya memuji usaha SPRM Negeri yang terlibat bersama-sama menganjurkan Larian Hapuskan Rasuah pagi ini, yang disertai oleh kira-kira 1,000 orang, luar daripada jangkaan cuma kira-kira 800 orang.

Usaha ini boleh menyebabkan kehadiran SPRM Negeri dirasai oleh masyarakat. “SPRM must show their presence in the society so (that) the people, members of society will always aware that SPRM is there to check their actions.

“If they (the people) do wrong , SPRM is there. By showing your presence, SPRM in a way, can instill some fear among members of the society and that in a way, will help reduce corruption practices,” katanya lagi.

Beliau samakan pentingnya kehadiran SPRM disedari oleh masyarakat sepertimana kehadiran Polis DiRaja Malaysia, yang dengan kehadiran itu menyebabkan masyarakat ‘berasa segan, berasa malu’ untuk melakukan kesalahan.

“Jadi saya berharap, acara ini salah satu acara bagi SPRM menunjukkan bahawa mereka ada untuk menjaga masyarakat dan untuk pastikan perbuatan rasuah ini, kalaupun tidak dihapuskan, sekurang-kurangnya, dapat dikurangkan supaya negara kita dapat terus membangun,” katanya.

Selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Muhammad Safian Ismail, yang turut hadir menyertai ialah Ahli Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Johari Hussain; Timbalan Ketua Pergerakan Wanita Gerakan Kebangsaan, Dato’ Ng Siew Lai; Pengarah, SPRM Negeri, PKPj Zainul Darus; serta beberapa ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan. – Khabar