Wednesday 17 December 2014

Lagi agihan bantuan kepada mangsa banjir



KDYMM Sultan Pahang telah perkenan mencemar duli, menyempurnakannya.

MENGURNIAKAN SUMBANGAN KEPADA SEORANG DARIPADA MANGSA BANJIR BERKENAAN... 


SEKOLAH KEBANGSAAN BU NUT RENDANG, KUANTAN – KDYMM Sultan Pahang telah perkenan mencemar duli, berangkat ke Majlis Pengurnian Bantuan Mangsa Banjir 2013 pada petang Rabu, 17 Disember, di sini.

Keberangkatan Baginda diiringi anakanda, YAM Tengku Muda Pahang; serta, Menteri Besar Dato’ Sri DiRaja Adnan Yaakob, kerabat-kerabat bergelar dan ahli Exco Kerajaan Negeri yang juga wakil rakyat setempat, Dato’ Shafik Fauzan Sharif (BN – Inderapura).

Begitu juga, Pengerusi, Kelab Putera 1Malaysia yang juga Pengerusi, Biro Kebajikan UMNO Malaysia, Dato’ Sri Abdul Azeez Abdul Rahim serta ketua jabatan-ketuan jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Berikut ialah berita mengenainya, sepertimana dilaporkan oleh BERNAMA;

Bantuan peralatan kepada mangsa banjir di Pahang tahun lepas oleh Biro Kebajikan Umno Malaysia hampir selesai dengan melibatkan lebih 21,822 keluarga.

Pengerusinya, Dato’ Sri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, peralatan berbentuk televisyen, peti ais, tilam dan bantal telah selesai diagihkan kepada mangsa-mangsa di Maran, Temerloh, Rompin, Pekan, Lipis dan Jerantut.

SESUATU YANG MELUCUKAN... KDYMM Sultan Pahang kelihatan tertawa-riang ekoran sesuatu yang melucukan. Yang turut kelihatan dalam foto ini - selain Dato' Sri DiRaja Adnan ialah, YM Tengku Besar Pahang dan Ketua Polis Negeri, Dato' Sharifuddin Abdul Ghani (kiri sekali).


RM15 JUTA NILAI BARANGAN DIAGIHKAN HARI INI

“Hari ini, kita selesaikan agihan di kawasan Parlimen Paya Besar, Pekan, dan Kuantan, yang melibatkan 10,197 unit barangan dengan nilai keseluruhan hampir RM15 juta.

“Yang belum selesai hanyalah agihan untuk kawasan (Parlimen) Indera Mahkota kerana terdapat kekeliruan pada senarai jumlah mangsa terlibat yang diberikan kepada kita.

“Kelewatan pengagihan bantuan sebelum ini juga disebabkan kami di pihak Biro Kebajikan Umno Malaysia, tidak dapat angka yang tepat kerana setiap agensi dan pihak yang berkaitan memberikan angka yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengurnian berkenaan.

Lanjutan itu, Dato’ Sri Abdul Azeez turut mengingatkan para penerima bantuan berkenaan supaya tidak menjual sumbangan yang diperoleh daripada Biro Kebajikan Umno Malaysia itu.

Pihaknya kata Dato’ Sri Abdul Azezz lagi, tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis sekiranya perbuatan tersebut dapat dikesan.

HADIRIN DAN HADIRAT SEKELIAN... Yang termasuklah dalam kalangan para penerima bantuan banjir berkenaan. 
 

JANGAN JUAL BARANGAN YANG DITERIMA

“Ingin saya tegaskan, jangan sesekali jual bantuan yang kita berikan ini sebab kita dapat banyak maklumat dan ada yang memuat naik dalam internet untuk menjual peti ais serta televisyen yang diterima.

“Biro Kebajikan Umno tidak akan teragak-agak melaporkan kepada pihak polis kalau mereka menjualnya. Kalau rasa tidak memerlukan dan tidak mahu bantuan ini, jangan ambil,” tegasnya.

Beliau seterusnya meminta kesemua 191 Bahagian Umno seluruh negara, untuk terus membuat laporan bagi kawasan yang terjejas akibat banjir kepada Biro Kebajian Umno Malaysia, bagi penyaluran bantuan. – BERNAMA/Khabar